home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Si Kecil Merengek Nak Mandi Bersama? Mama, Lakukan 7 Perkara Ini

Si Kecil Merengek Nak Mandi Bersama? Mama, Lakukan 7 Perkara Ini

Ibu ingin mandi, anak pun sibuk mahu turut serta, macam mana? Jika anda ingin mandi bersama anak, ada 7 tip mandi yang perlu anda lakukan.

Boleh ke mandi bersama anak?

Jika itu persoalan yang bermain di minda, sudah tentu jawapannya BOLEH. Malahan sejak si manja lahir ke dunia, pastinya kalian telah melakukan banyak perkara bersama.

Makan sambil menyusukan anak, mengemas rumah sambil mendukung si kecil dan pelbagai perkara lain. Jadi untuk mandi bersama bukanlah 1 isu yang terlalu pelik.

Walau bagaimanapun, jika anda ingin mandi dengan anak, pastinya terdapat beberapa tip mandi yang perlu anda pertimbangkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Selamat ke untuk mandi bersama anak?

Sudah tentulah anda perlu menunggu sekurang-kurangnya bayi anda sudah cukup kuat sebelum mandi bersamanya. Jangan pula pulang dari hospital selepas bersalin, terus ingin mandi bersama anak. Itu bahaya!

Pastinya wujud risiko-risiko tertentu kerana bilik air adalah tempat yang licin sama ada untuk anda mahupun si kecil. Risiko untuk jatuh atau tergelincir adalah tinggi.

Jika mandi menggunakan pancuran air, tekanan pancuran yang terlalu kuat, mungkin boleh mengejutkan anak. Bahkan suhu air yang terlalu sejuk juga tidak sesuai untuk mereka.

7 tip mandi dengan anak

mandi bersama anak

Sedikit sebanyak anda tentu sedar bahawa mandi dengan anak bukanlah 1 perkara mudah, seperti mandi sendirian, dengan risiko bahaya yang menanti.

Jadi berikut 7 tip mandi yang boleh anda pertimbangkan sebelum masuk ke dalam bilik air bersama anak:

  1. Sesuai usianya

Anda tidak boleh mandi bersama si kecil selagi tali pusatnya tertanggal dan sembuh sepenuhnya.

Sebaiknya, tunggulah sehingga bayi anda mampu untuk duduk sendiri, kerana pada waktu itu, mereka sudah cukup kuat untuk menyeimbangkan diri.

Selagi belum sampai waktu tersebut, mandikan si kecil dengan menggunakan span lembut atau kain bersih bersama air suam.

Anda boleh menggunakan teknik mengeratkan hubungan dengan meletakkan si kecil mendakap dada anda sambil mengelap badan mereka.

  1. Suhu air yang bersesuaian

Tip mandi ini terpakai kepada semua individu sama ada dewasa mahupun anak kecil. Jika suhu air terlalu sejuk, sudah tentu ia boleh mengakibatkan rasa terkejut.

Jadi jika anda ingin mandi dengan si kecil, pastikan suhu air adalah bersesuaian. Ia seharusnya mengikut suhu badan atau lebih sedikit daripadanya.

Anda boleh menggunakan termometer jika tidak pasti dengan suhu air.

  1. Kelengkapan tersedia

Jika mandi sendirian, anda mungkin hanya perlu menyediakan tuala untuk mengelap badan selepas mandi.

Akan tetapi sekiranya ingin mandi bersama anak, pastikan segala kelengkapan sama ada untuk semasa mandi atau selepas mandi sudah tersedia.

Ini bagi memudahkan anda ketika mandi dan membolehkan anda untuk fokus kepada si kecil untuk mengelakkan risiko tidak diingini daripada berlaku.

Antara barangan yang perlu disediakan seperti sabun dan syampu anak berserta tuala mereka. Sekiranya ketika sedang mandi anda menyedari ada barangan yang tertinggal, anda ada 2 pilihan:

  • Mengabaikan sahaja barangan yang tidak ada itu
  • Membawa si kecil bersama untuk mengambil barangan tersebut, jika ia adalah barangan yang perlu ada ketika mandi

Elakkan untuk meninggalkan si kecil sendirian dalam bilik air walaupun untuk tempoh beberapa saat. JANGAN!

mandi bersama anak

  1. Satu persatu

Sekiranya anda mempunyai tab mandi, jangan masuk bersama-sama si kecil ke dalam tab tersebut. Ia 1 tindakan yang berbahaya kerana risiko tergelincir tinggi.

Jadi letakkan si kecil terlebih dahulu di dalam kerusi bayi di luar tab mandi, kemudian anda masuk ke dalam tab mandi sebelum mencapai si kecil dari kerusinya.

Cara yang lebih baik, adalah dengan mendapatkan bantuan pasangan anda.

  1. Alas anti slip

Sama ada mandi bersama anak menggunakan tab mandi atau pancuran air, tip mandi yang tidak boleh diabaikan adalah memastikan adanya alas anti slip.

Sudah tentu ia bertujuan untuk mengelakkan anda daripada tergelincir ketika mandi, apatah lagi bersama si kecil. Risiko berdepan bahaya akan berganda.

Jika mandi dengan tab mandi, pastikan anda sentiasa memegang si kecil setiap masa. Ini dapat menghindari situasi si kecil tenggelam.

  1. Jangan menggunakan produk yang sama

Mungkin ketika anda sedang menyabun badan sendiri, anda terfikir untuk terus menyabun si kecil. JANGAN!

Sabun atau syampu individu dewasa bukanlah pilihan terbaik untuk kulit si kecil yang sensitif. Ia boleh menyebabkan kulit mereka kering. Sebab itu pentingnya untuk mengikuti tip mandi #3.

Tetapi anda boleh menggunakan barangan mandian si kecil seperti sabun mereka. Mungkin kulit anda akan selembut kulit mereka!

tip mandi

  1. Selesai mandi

Apabila selesai mandi bersama anak di dalam tab mandian, jangan terus keluar. Sebaliknya letakkan si kecil di dalam kerusi bayi, seperti sebelum mandi dan balutkan mereka dengan tuala.

Anda juga boleh meminta bantuan pasangan untuk mengeluarkan anak daripada bilik air. Ini sudah tentu dapat mengurangkan rasa sejuk mereka.

Jika bersendirian mandi bersama anak menggunakan pancuran, lakukan perkara yang sama. Balutkan badan mereka dengan tuala dan letakkan di dalam kerusi bayi terlebih dahulu sebelum anda mengelap badan sendiri.

Keselamatan perkara utama

1 perkara yang perlu anda ingat, ketika mandi bersama si kecil, anda mungkin akan lebih fokus membersihkan diri mereka berbanding diri sendiri. Jangan terkejut, okay?

Mandi dengan si kecil pastinya 1 pengalaman menyeronokkan bagi kalian berdua. Tetapi sangat disarankan untuk anda mengikuti tip mandi yang diberikan dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bersama.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

https://www.aappublications.org/news/2015/11/11/PPBath111115

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/umbilical-cord/art-20048250

https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/baby/bathing-skin-care/Pages/Bathing-Your-Newborn.aspx

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/healthy-baby/art-20044438

https://www.cpsc.gov/s3fs-public/210.pdf

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 08/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor