backup og meta

Pendidikan Seksual: Kepentingannya Terhadap Kanak kanak

Pendidikan Seksual: Kepentingannya Terhadap Kanak kanak

Ibarat kain putih yang suci dan bersih, usia kanak kanak adalah usia di mana individu masih lagi sedang belajar mengenai kehidupan dan persekitaran mereka. Disebabkan itu, mereka masih lagi naif di dalam hal-hal keduniaan dan memerlukan tunjuk ajar daripada ibu bapa.

Sebagai ibu bapa yang prihatin terhadap perkembangan anak, anda haruslah menjadi ibu bapa yang sentiasa memberi bimbingan, panduan serta asuhan untuk anak anda menjalani kehidupan yang baik. Ini perlu merangkumi setiap aspek dalam kehidupan mereka.

Antara aspek yang paling penting adalah pendidikan. Tanpa pendidikan, sudah pasti seseorang kanak kanak itu tidak dapat membesar menjadi modal insan yang baik. Bukan sahaja pendidikan asas seperti mata pelajaran di sekolah, ada banyak lagi pendidikan lain yang sebenarnya perlu mereka pelajari.

Selain pendidikan teras dan elektif di sekolah seperti bahasa, matematik, sejarah dan lain-lain, kanak kanak sewajarnya belajar pendidikan seksual di sekolah. Ini bukanlah bertujuan untuk mendedahkan mereka dengan perkara-perkara negatif seawal usia mereka. Untuk tujuan ini, ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka dan membuka mata seluas-luasnya.

Ingin tahu mengapa pendidikan seksual seharusnya diajar kepada kanak kanak di sekolah dan juga di rumah? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

kanak kanak

Kepentingan pendidikan seksual terhadap kanak kanak

Menurut sebuah laporan mengenai Hak Asasi Manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Malaysia mencatatkan sebanyak 28,741 kes rogol antara tahun 2005 hingga 2014. Daripada jumlah ini sahaja, dianggarkan 10 orang wanita dirogol setiap hari, dan separuh daripadanya adalah remaja berumur di bawah 16 tahun.

Ia bukan lagi isu picisan yang boleh ditolak tepi, tetapi harus dipandang dengan lebih serius. Setiap wanita yang terbabit dalam kes rogol akan mengalami kesan fizikal, mental dan spiritual. Ia bukan akan hilang dalam sehari dua malahan mungkin bertahun-tahun atau seumur hidup, hanya selepas perbuatan yang memakan masa selama kurang daripada 30 minit itu.

Malu tapi hipokrit

Perbincangan tentang isu yang berkaitan dengan seks adalah sesuatu yang sangat sensitif di Malaysia. Ia seolah-olah dilihat kotor untuk disebutkan di pentas umum. Membeli kondom di kedai 7 Eleven pun mungkin dipandang serong.

Namun, di sebalik ‘kesopanan’ itu, apa yang berlaku di media sosial dan di dalam kamar hotel adalah berbeza. Perkataan-perkataan lucah mudah sekali dilontarkan. Tindakan ‘ringan-ringan‘ dengan selambanya ditonjolkan di pasar raya dan di pusat-pusat peranginan.

Apabila ingin bercakap tentang pendidikan seksual, ia pula dianggap akan lebih menggalakkan seks. Sedangkan, drama atau filem yang ditayangkan di televisyen pun kadangkala lebih menggalakkan remaja atau kanak kanak terjebak dalam masalah sosial ini.

Pendidikan seksual bukan mengajar untuk buat seks

Masyarakat perlu sedar bahawa pendidikan seks lebih luas daripada apa yang berlaku di dalam bilik tidur seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia melibatkan emosi, fikiran, sosial dan spiritual di samping fizikal. Oleh itu, pendidikan seks komprehensif, atau istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu comprehensive sexuality education (CSE) adalah sangat diperlukan.

Apabila kanak kanak atau remaja memahami seks hanya sekadar hubungan kelamin, mereka akan hilang rasa hormat pada orang lain dan tidak merasakan kepentingan menjaga kehormatan serta harga diri masing-masing. Seolah-olah hubungan manusia hanya bersifat fizikal semata-mata.

Kes rogol dan penderaan seksual yang berlaku adalah kerana mereka gagal memahami topik ini dengan betul. Selain itu, institusi keluarga juga mungkin boleh terjejas disebabkan kefahaman yang kurang tentang pendidikan seksual.

Memperkasa pendidikan seksual sejak di peringkat awal

Di Malaysia, pendidikan seksual telah wujud di sekolah melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang merentasi beberapa mata pelajaran termasuk Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Ini adalah usaha daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang harus dipuji dan digalakkan. Namun, tentunya pelaksanaannya harus dinilai dari semasa ke semasa. Selain itu, terdapat beberapa persoalan yang mungkin akan timbul semasa pelaksanaannya, antaranya:

  • Sejauh manakah kandungannya relevan dan sesuai dengan latar belakang serta umur pelajar?
  • Bagaimana impak dan kesan daripada subjek tersebut?
  • Adakah guru-guru yang mengajar diberikan latihan yang mencukupi?

Melihat kepada pertambahan kes rogol atau cabul dalam kalangan pelajar sekolah rendah atau kanak kanak, ia mungkin perlu dimulakan di peringkat prasekolah lagi. Bagi pasangan orang Islam yang ingin berkahwin pula, subjek ini perlu diperkasakan di dalam kursus wajib praperkahwinan.

Sikap melihat topik ini sebagai sesuatu yang ‘haram’ dibincangkan perlu diubah dengan segera. Ia harus dibincangkan dengan terbuka dalam suasana yang matang dan aman. Jika tidak, mereka akan belajar daripada enjin carian internet seperti ‘Google’ atau di media sosial. Ini tentunya lebih membimbangkan.

Pendidikan seksual di Eropah dan Amerika

Kita boleh belajar beberapa perkara daripada Eropah dan Amerika berkenaan isu ini. Masyarakat di sana lebih terbuka dan matang dalam membincangkan soal ini. Namun, bukan semuanya harus diteladani. Negara-negara maju ini juga mencatatkan antara kes rogol tertinggi di dunia. Contohnya, Sweden, Belgium dan Amerika Syarikat.

Justeru, apa yang dilaksanakan oleh negara-negara ini boleh diambil dan disesuaikan dengan budaya masyarakat Malaysia yang lebih sopan dan beragama. Jika pendidikan yang diberikan terlalu bebas dan liberal, banyak kes seks luar tabii yang mungkin berlaku kerana tiada batasan.

Bagi orang Islam, agamanya akan menentukan had batasannya. Begitu juga dengan agama-agama lain di negara ini termasuklah Buddha dan Hindu. Jika bukan agama sekalipun, sekurang-kurangnya budaya masyarakat timur dijadikan cerminan.

Pendidikan seksual seharusnya diterapkan kepada kanak kanak seawal usia mereka lagi bagi mengelakkan gejala negatif seperti seks bebas, seks rambang, kehamilan anak luar nikah atau lebih menakutkan, salah laku seksual terhadap kanak kanak.

kanak kanak

Salah laku seksual terhadap kanak kanak

Selain di sekolah, ibu bapa juga perlu mengajar pendidikan seksual di rumah anda sendiri. Ini kerana guru atau tenaga pengajar anak anda di sekolah mungkin tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap seorang kanak kanak sahaja. Oleh itu, anda sebagai ibu bapa yang prihatin perlu menggalas tanggungjawab ini.

Bak kata pepatah mencegah adalah lebih baik dari merawat, lebih baik ibu bapa memainkan peranan dalam mengajar anak mengenai pendidikan seksual sendiri di rumah. Ini bertujuan untuk memberi mereka kefahaman yang betul mengenai isu ini. Persoalannya, bagaimanakah untuk mengajar kanak kanak mengenai pendidikan seksual dengan cara yang mudah dan sesuai?

Jawapannya adalah pendidikan seksual perlu diajar seawal usia mereka. Paling penting, ibu bapa perlu didik anak tentang salah laku seksual yang sering terjadi kepada kanak kanak pada zaman kini. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh ibu bapa gunakan untuk mengajar kanak kanak mengenai salah laku seksual.

#1. Ajar anak nama bahagian sulit tubuh badan

Anda perlu ajar anak anda tentang bahagian tubuh badan pada awal tumbesarannya dan tidak perlu berselindung atau berlapik dengan mereka. Anda boleh memilih nama yang sesuai atau mungkin gunakan terma dan istilah bahagian tubuh yang betul. Elakkan guna perkataan salah yang boleh menimbulkan salah faham.

Sebagai contoh, seorang kanak kanak perempuan tidak sepatutnya menggelarkan ‘faraj’ sebagai ‘bahagian bawah’ atau pelbagai nama lain yang tidak mempunyai apa-apa maksud. Mengetahui istilah yang sebenar dapat membantu anak anda untuk menyampaikan kepada anda dengan lebih jelas jika sesuatu terjadi kepada mereka.

#2. Ajar anak bahagian sulit tubuh badan adalah peribadi

Anda perlu ajar anak anda mengenali bahagian tubuh badan yang sulit dan tidak patut didedahkan kepada individu lain. Biar mereka tahu bahawa selain ibu bapa, tiada sesiapa patut melihat bahagian sulit mereka. Jika perlu pemeriksaan doktor, mereka mungkin boleh melihat bahagian ini tanpa pakaian jika ditemani oleh ibu bapa semasa pemeriksaan dijalankan.

Tegaskan kepada anak anda bahawa tiada siapa boleh mengambil foto atau video bahagian sulit mereka. Ini kerana terdapat ramai golongan pedofilia di luar sana yang menunggu peluang untuk merakam gambar bogel kanak kanak dan menyebarkannya sesama mereka untuk tujuan melampiaskan nafsu serakah mereka.

#3. Ajar anak untuk tidak berahsia dengan anda

Sudah pasti, pelaku salah laku seksual akan memujuk atau memaksa mangsa terutamanya kanak kanak untuk merahsiakan salah laku seksual yang dilakukan oleh mereka. Oleh itu, anda perlu ajar anak anda bahawa adalah tidak baik untuk berahsia walau dalam apa jua situasi. Ini kerana anda sebagai ibu bapa harus mengetahui apa yang berlaku.

Jika mereka masih takut atau malu untuk memberitahu anda, yakinkan kepada anak anda bahawa tiada apa yang akan berlaku jika mereka memberitahu anda rahsia tersebut.

#4. Ajar anak anda mengetahui batasan

Ibu bapa biasanya akan ajar anak agar tidak membenarkan sesiapa menyentuh bahagian sulit mereka. Walau bagaimanapun, ibu bapa sendiri sering terlupa untuk ajar anak agar tidak menyentuh bahagian sulit individu atau kanak kanak lain. Ini kerana dalam kebanyakan kes salah laku seksual, pelaku meminta mangsa menyentuh tubuh badan mereka atau individu lain.

#6. Ajar anak anda bahasa rahsia

Ya, tetamu yang bertandang ke rumah sememangnya perlu anda layan dengan baik. Pun begitu, tidak semua tetamu yang hadir ke rumah adalah individu yang baik. Ada juga tetamu yang menyimpan niat yang tidak baik terhadap anda atau anak anda.

Oleh itu, bagaimana untuk kanak kanak menyatakan ketidakselesaannya jika individu terbabit ada di depannya? Bina satu bahasa rahsia. Bila anak anda menggunakan bahasa tersebut, anda akan mengetahui bahawa mereka memerlukan bantuan anda.

#5. Ajar anak untuk mengelakkan atau melarikan diri

Kebanyakan kanak kanak sukar untuk mengatakan ‘tidak’ kepada individu lain. Oleh itu, ibu bapa perlu ajar anak bahawa ia bukan satu kesalahan untuk menolak apa-apa permintaan. Buat mereka tahu jika berlaku atau terjadi sesuatu yang mereka rasakan tidak selamat, pilih untuk beredar dari situ. Sekiranya individu terbabit tidak membenarkan mereka pergi, beritahu anak anda untuk menjerit bagi mendapatkan bantuan individu dewasa lain.

Pun begitu, kebanyakan ibu bapa masih lagi kekok dan segan untuk membicarakan mengenai pendidikan seks dengan anak mereka. Ini kerana ada ibu bapa yang beranggapan bahawa ia akan mendekatkan anak mereka dengan perbuatan seks. Disebabkan itu, setiap pertanyaan kanak kanak mengenai seks sering diendahkan dan tidak dijawab.

Sebenarnya ini adalah salah sama sekali. Anda sama sekali tidak boleh berbuat demikian kerana ia hanya akan menyebabkan kanak kanak kehilangan tempat untuk mereka bergantung atau berharap sekiranya apa-apa salah laku seksual terjadi kepada mereka. Sebenarnya, apa yang ibu bapa perlu lakukan apabila anak bertanya tentang seks?

kanak kanak

Apa perlu dijawab jika anak anda bertanya tentang seks?

Menjelang usia seorang kanak kanak 3 – 4 tahun, kebanyakan daripada mereka sudah mula mengenali dan memahami bahagian tubuh badannya sendiri. Selain itu mereka juga mungkin akan mula menyedari terdapat perbezaan antara anatomi tubuh badannya dengan individu lain yang berlainan jantina.

Ini bererti anda perlu mempersiapkan diri dengan jawapan yang jujur apabila mereka bertanyakan soalan tentang seks. Tidak wujud usia yang terlalu muda untuk memulakan topik ini. Apa yang penting adalah anda sebagai ibu bapa perlu tahu cara dan kesesuaian jawapan mengikut tahap anak anda.

Secara semula jadinya, seorang kanak kanak sangat gemar belajar dan bersikap ingin tahu mengenai tubuh badan mereka dan individu lain. Dengan menjawab pertanyaan yang mereka tanyakan kepada anda, ia akan membantu mereka untuk lebih memahami tubuh badan dan perasaan mereka serta perasaan orang lain.

Pun begitu, ini semuanya bergantung kepada tahap anak anda. Sekiranya mereka berpuas hati dengan jawapan anda dan tidak bertanyakan soalan yang lebih lanjut, anda mungkin telah memberikan mereka maklumat yang mencukupi. Bila mereka bertanyakan soalan lain, anda boleh memaklumkan mereka dengan lebih lanjut.

Sebenarnya, anda tidak perlu memberitahu secara terperinci. Jawapan yang singkat dan sederhana mungkin sudah mencukupi dan memadai.

Sebagai contoh, antara soalan yang mereka mungkin sering tanya adalah:

“Apa itu hubungan seks?”

Anda boleh jelaskan kepada anak anda bahawa hubungan seks itu sebagai salah satu cara menunjukkan kasih sayang dan cinta suami isteri seperti ayah dan ibu. Tekankan perkataan suami isteri untuk mengajarkan moral kepentingan ikatan untuk sebuah hubungan intim.

Buat anak anda faham bahawa terdapat cara menunjukkan kasih sayang antara suami isteri seperti berpeluk dan berpegang tangan yang boleh dilihat oleh individu lain. Sementara ada juga cara khusus yang tak dilihat orang lain dalam ruang tertutup dan dikunci. Melalui hubungan seks sperma daripada ayah dan sel telur ibu bertemu.

Sekiranya anak anda lebih berusia dan lebih tinggi tahap kefahamannya, anda boleh melanjutkan dengan penjelasan yang lebih terbuka jika mereka bertanya dengan lebih lanjut.

“Dari mana bayi datang?”

Anda perlu kenal pasti dahulu apa yang sebenarnya ingin mereka tahu. Jangan memberi jawapan yang lebih rumit daripada yang sepatutnya. Anda boleh menjawab dengan mengatakan “bayi tumbuh seperti pokok dalam perut ibu, dan ketika mereka sudah bersedia, mereka akan muncul ke dunia.” Jawapan ini sudah mencukupi.

Sekiranya anak anda masih belum berpuas hati dan bertanya lebih lanjut, “bagaimana bayi boleh berada di dalam perut ibu?” Anda boleh menjawabnya dengan “ayah meletakkan benih di dalamnya.” Atau bila anak anda bertanyakan “bagaimana cara bayi keluar?” anda boleh menjawab, “melalui laluan khusus dalam tubuh wanita yang dikenali sebagai faraj.”

Berikut merupakan antara contoh-contoh soalan dan jawapan yang boleh anda gunakan untuk menjawab soalan mereka mengenai seks. Mudah sahaja, bukan?

Konklusi

Konklusinya, pendidikan seksual sangat perlu diajar kepada anak anda tidak kira di sekolah oleh guru ataupun di rumah oleh anda. Ini sangat penting untuk membuat mereka lebih mengenali dan memahami perbuatan seks sekali gus dapat mengelak salah laku seksual. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda dan anak anda untuk mengetahui mengenai pendidikan seksual dengan lebih lanjut.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

10 Ways to Teach Your Child the Skills to Prevent Sexual Abuse http://www.parents.com/advice/big-kids/problems/how-do-i-get-my-ten-year-old-to-stop-talking-like-a-baby/. Accessed on June 19, 2019.

 

Comprehensive Sex Education: Research and Results. http://www.advocatesforyouth.org/publications/1487. Accessed on June 19, 2019.

 

Sex Education: Politicians, Parents, Teachers and Teens. https://www.guttmacher.org/gpr/2001/02/sex-education-politicians-parents-teachers-and-teens. Accessed on June 19, 2019.

 

Sex Education for Children: Why Parents Should Talk to their Kids About Sex. http://www.aboutkidshealth.ca/En/HealthAZ/FamilyandPeerRelations/Sexuality/Pages/Sex-Education-for-Children-Why-Parents-Should-Talk-to-their-Kids-About-Sex.aspx. Accessed on June 19, 2019.

 

The Key To Teaching Our Children To Value Respect And Care For Each Other? Sex Education. https://www.weforum.org/agenda/2017/05/committing-to-cse-healthy-respectful-sex-education-across-asean. Accessed on June 19, 2019.

 

Didik Mengenai Seks Perlu Serius, Ikut Trend. http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/12/06/didik-mengenai-seks-perlu-serius-ikut-trend/. Accessed on June 19, 2019.

 

Sexual Health. http://www.nhs.uk/Livewell/Talkingaboutsex/Pages/Talkingtoyourchild.aspx. Accessed on June 19, 2019.

 

Bila Anak Bertanya Soal Seks. http://www.parenting.co.id/usia-sekolah/bila+anak+bertanya+soal+seks. Accessed on June 19, 2019.

 

Versi Terbaru

27/04/2022

Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Sailfish Swim Academy Tawar Kelas Berenang Serendah RM120 Sebulan! Sangat Berpatutan & Berbaloi

Anak Pendiam? 7 Ciri Yang Mungkin Menandakan Anak Seorang Introvert


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 27/04/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan