backup og meta

Bila Anak Sudah Pandai Menipu, Ini 4 Tindakan Bijak Yang Ibu Ayah Boleh Buat

Bila Anak Sudah Pandai Menipu, Ini 4 Tindakan Bijak Yang Ibu Ayah Boleh Buat

Ada orang cakap kanak-kanak tidak pandai menipu. Apa yang dia nampak itulah yang akan dia perkatakan. Namun, ini hanya situasi semasa anak kecil dan belum terdedah kepada persekitaran serta rakan sebaya.

Lazimnya, semakin membesar kanak-kanak, mereka akan semakin bijak berkata-kata. Ketika ini, pergaulan mereka juga semakin meluas dengan rakan-rakan di sekitar rumah mahupun di sekolah. Semakin banyak mereka bergaul dan bertemu dengan orang, semakin banyak cerita yang mereka dapat. Jadi, tidak dapat dinafikan ada kanak-kanak yang sudah mula belajar bercakap bohong, biarpun telah dididik sejak kecil supaya tidak sesekali berbohong.

Mengapa kanak-kanak mula menipu?

Antara sebab mereka mula belajar menipu adalah kerana takut untuk menghampakan ibu bapa. Contohnya, ketika menyampaikan keputusan ujian mereka. Mereka takut untuk memberitahu ibu bapa mengenai keputusan ujian mereka dan akhirnya mereka belajar menipu bagi menyelamatkan diri.

Selain itu, ada juga kanak-kanak yang menipu bagi mengelakkan didenda. Contohnya, kanak-kanak takut untuk memberitahu pasu bunga ibu telah pecah kerana terkena bola. Disebabkan takut dihukum, kanak-kanak mengambil pendekatan untuk berbohong atau tidak menyatakan kebenaran tentang hal pasu tadi.

Kanak-kanak juga akan menipu apabila inginkan perhatian daripada orang sekelilingnya. Contohnya, ada rakan-rakan yang bercerita mengenai pengalaman pergi bercuti ke sesuatu tempat dan mendapat perhatian ramai. Jadi, bagi mendapatkan perhatian juga, si kecil akan turut menipu pernah sampai ke tempat-tempat sedemikian.

Mengapa kanak-kanak menipu?

Punca utama yang menyebabkan kanak-kanak menipu adalah apabila melihat orang rapat di sekelilingnya turut menipu. Hal ini membuatkan mereka berfikir bahawa perbuatan menipu itu tiada salahnya dan dibenarkan kerana ibu/ bapa/ kakak/ abang mereka juga pernah menipu.

Apa tindakan ibu bapa jika anak menipu?

Pada awalnya, semua kanak-kanak takut untuk menipu. Namun, mereka akan terbiasa jika tidak ditegur. Oleh itu, jika anda mendapati anak anda sudah pandai menipu, ambil langkah segera sebelum dia lali dengan perbuatannya. Amat penting untuk anda memberitahu anak bahawa amalan menipu itu adalah tidak elok untuk diikuti. Jadi, langkah seterusnya untuk anda menghentikan tabiat anak menipu adalah dengan:

Membuat peraturan rumah

Jika sebelum ini anda tidak pernah mendedahkan anak kepada peraturan rumah, tibalah masa untuk anda memberitahu mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan di rumah. Nyatakan dengan jelas bahawa setiap orang di dalam rumah perlu bercakap benar.

Tunjukkan contoh yang baik

Anak-anak adalah cermin diri ibu bapa. Tunjukkan contoh yang baik kepada anak. Misalnya, jika anda tidak dapat datang kerja, jangan gunakan alasan bohong seperti anda demam di hadapan anak-anak anda.

Jangan menghukum

Jika anda mendapati anak anda menipu, jangan terus menghukumnya. Sebaliknya, berikan dahulu amaran awal kepada anak anda. Contohnya, “Ibu bagi peluang sekali lagi untuk Kakak beritahu hal sebenar. Jika Ibu tahu Kakak menipu, Kakak akan terima hukuman.”

Bercakap dengan lembut

Setelah mendapatkan penjelasan daripada anak anda, cubalah memujuknya dengan mengungkapkan kata-kata pujian seperti, “Ayah tahu pasti sukar untuk Kakak mengaku pecahkan cawan, tapi Ayah lebih suka jika Kakak berterus-terang.”

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://raisingchildren.net.au/preschoolers/behaviour/common-concerns/lies

childmind.org/article/why-kids-lie/

https://www.parents.com/kids/development/behavioral/the-truth-about-lying/

Versi Terbaru

07/06/2022

Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Anak Penghidap Hemofilia? Ketahui Cabaran & Harapan Di Dalam Bajet 2025!

Mak Ayah, Fikir Dahulu Sebelum Hantar Anak Anda Duduk Bersama Datuk Nenek!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 07/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan