home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Wanita Penghisap Vape, Ada Risiko Jika Anda Menyusukan Bayi, Si Manja Akan Dapat Sakit Ini!

Wanita Penghisap Vape, Ada Risiko Jika Anda Menyusukan Bayi, Si Manja Akan Dapat Sakit Ini!

Apabila anda menghisap vape, nikotin di dalamnya akan diserap masuk ke sistem badan. Tetapi ada ke kesan nikotin vape dalam susu badan jika seorang ibu itu penghisap rokok elektronik tegar?

Wujudkah kesan nikotin vape dalam susu badan?

Jawapan untuk persoalan anda itu adalah YA.

Nikotin yang disedut akan memasuki darah ibu melalui paru-parunya dan kemudian akan masuk ke dalam susu ibu dengan mudah.

Ia tidak terhenti di situ. Sebaliknya terdapat kesan sampingan yang dialami si manja.

Penyelidikan menunjukkan nikotin dalam susu ibu boleh menjejaskan corak tidur bayi, meningkatkan risiko kadar gula darah dan masalah tiroid yang menyebabkan anak mengalami isu berat badan berlebihan.

Kesan nikotin vape juga dikatakan boleh mengurangkan penghasilan susu ibu yang menyusu badan. Keadaan tersebut mungkin berpunca daripada penurunan tahap prolaktin – hormon perangsang susu badan.

Dalam 1 kajian mendapati kandungan kotinin (cotinine) adalah 10x ganda lebih banyak pada bayi yang menyusu badan daripada ibu yang merokok berbanding bayi yang diberikan susu formula oleh ibu perokok.

Ini membuktikan nikotin tersebut datang melalui susu ibu.

Kotinin adalah bentuk lain nikotin. Ia terbentuk apabila nikotin dimetabolismekan oleh pengoksidaan.

Umumnya, ia mempunyai kitaran separuh hayat di dalam badan, iaitu kira-kira 20 jam. Kotinin biasanya dijumpai dalam badan setelah merokok beberapa hari hingga seminggu.

Bagaimana nikotin boleh berada dalam susu badan?

Nikotin akan mudah masuk ke dalam susu ibu semasa merokok. Jumlah nikotin akan berada pada tahap yang tinggi di dalam susu apabila anda selesai menghisap rokok elektronik atau e-rokok.

kesan nikotin vape

Umumnya, nikotin dalam susu badan boleh:

  • Mengubah rasa dan menekan selera untuk menyusu
  • Menyebabkan bayi menjadi cerewet, menolak susu ibu, menangis secara berlebihan dan meningkatkan kolik
  • Cenderung mengakibatkan anak muntah dan loya
  • Menyebabkan cirit-birit
  • Meningkatkan kadar denyutan jantung bayi
  • Mewujudkan masalah gangguan tidur
  • Meningkatkan risiko SIDS
  • Menjejaskan perkembangan paru-paru bayi normal
  • Menjadi faktor risiko kegemukan dan disfungsi tiroid apabila anak meningkat dewasa

Sememangnya, berbeza daripada rokok tradisional, jumlah nikotin dalam e-rokok sukar untuk ditentukan dengan jelas. Ia mungkin mengandungi dos berbeza berbanding apa yang dinyatakan pada label.

Ini kerana wujud kes nikotin telah dijumpai pada vape yang dilabelkan tidak mempunyai nikotin.

Maka wujud kemungkinan individu penghisap vape mungkin menerima dos nikotin lebih tinggi berbanding rokok biasa.

Mungkin kandungan bahan kimia di dalam vape kurang berbanding rokok tradisional.

Tetapi ia mungkin masih mengandungi sejumlah bahan yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan ibu dan juga bayi yang diberikan susu badan.

Lakukan sedikit perubahan

Sememangnya vape boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan. Namun ia bukanlah alasan untuk ibu yang menghisap rokok elektronik ini menghentikan penyusuan badan kepada bayi.

Ini kerana pada hakikatnya, susu badan adalah sangat baik untuk si manja. Jadi adalah lebih baik menyusukan bayi walaupun anda masih menghisap vape.

Bahkan, American Academy of Pediatrics and the American College of Obstetrics and Gynecologists juga mengesyorkan susuan badan diteruskan walaupun ibu menggunakan e-rokok disebabkan manfaat penyusuan susu untuk bayi dan ibu itu sendiri.

Sekiranya ia bukan masa yang tepat untuk anda berhenti merokok, lakukan perubahan untuk mengurangkan pendedahan bayi terdapat kesan nikotin vape dengan:

  • Jangan menghisap vape semasa menyusukan bayi. Jika dilakukan, tindakan itu akan menyebabkan si kecil menyedut lebih banyak asap atau boleh terbakar
  • Elakkan daripada vape berdekatan dengan si manja. Sebaiknya, lakukan di luar rumah. Jadikan rumah dan kenderaan anda bebas asap untuk mengelakkan si manja menjadi perokok pasif
  • Selepas menghisap e-rokok, tukar pakaian dan basuh tangan sebelum memegang si kecil
  • Seeloknya, susukan si manja sebelum anda menghisap vape. Ini membolehkan badan anda untuk mempunyai lebih banyak masa mengeluarkan nikotin daripada susu badan
  • Jangan putus asa untuk berhenti menghisap vape

susu badan

Sebaiknya hentikan tabiat tidak sihat ini

Jika anda ingin menghisap rokok elektronik, pastikan ia dilakukan sejurus selepas menyusukan bayi dan wujudkan jurang masa antara vape terakhir dengan sesi penyusuan badan yang seterusnya.

Tindakan itu sekurang-kurangnya boleh memastikan jumlah nikotin dalam susu badan dapat dikurangkan.

Sesungguhnya, vape bukanlah 1 pilihan yang selamat. Jadi BERHENTI sepenuhnya adalah pilihan terbaik.

Seandainya anda merancang kehamilan lain, jika boleh pastikan anda mempunyai matlamat untuk berhenti vape sepenuhnya sebelum anda mengandung.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 07/08/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor