backup og meta

6 Risiko Kesihatan Ini Boleh Dialami Bayi Pramatang, Ibu Ayah Kena Bersedia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 19/08/2021

    6 Risiko Kesihatan Ini Boleh Dialami Bayi Pramatang, Ibu Ayah Kena Bersedia

    Bayi lahir prematur boleh mengalami pelbagai isu kesihatan sepanjang kehidupan mereka. Semakin awal tempoh kelahiran, lebih besar risiko masalah kesihatan bayi yang boleh terjadi.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Masalah kesihatan bayi lahir prematur

    Kelahiran pramatang adalah penyebab utama kematian bayi yang baru dilahirkan.

    Syukur, dengan kemajuan teknologi dalam bidang perubatan dan rawatan neonatal untuk bayi lahir prematur, ia telah meningkatkan peluang si manja untuk bertahan hidup walaupun kepada bayi yang paling kecil.

    Namun, peluang survival bukanlah satu-satunya ukuran. 

    Ini kerana bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu masih terdedah kepada peningkatan risiko kematian serta pelbagai kesan jangka pendek dan panjang akibat kelahiran pramatang.

    Terdapat pelbagai risiko masalah kesihatan bayi pramatang boleh dialami oleh semua anak yang dilahirkan tidak cukup bulan.

    bayi lahir prematur

    Malah bayi yang dilahirkan hanya 4 hingga 6 minggu lebih awal juga boleh mendapat kesan kelahiran pramatang seperti kesukaran bernafas, masalah penyusuan, penyakit kuning serta kesan pada fungsi otak.

    Masalah pernafasan

    Berdepan risiko masalah kesihatan serius adalah perkara biasa pada bayi tidak cukup bulan. Bahkan, ada bayi yang mungkin memerlukan alat sokongan hidup – ventilator.

    Semua bayi ini berkemungkinan untuk mengalami masalah pernafasan sepanjang tahun pertama kehidupan dan berdepan peningkatan risiko asma pada kemudian hari.

    Baca juga:

    Mama, Jangan Samakan Bayi Pramatang Dengan Baby Cukup Bulan, Proses Tumbesarannya Berbeza!

    Masalah jantung pada bayi lahir prematur 

    Masalah kesihatan bayi pramatang melibatkan keadaan jantung yang paling biasa disebut sebagai patent ductus arteriosus (PDA).

    Ductus arteriosus adalah bukaan antara dua saluran darah utama jantung. 

    Pada bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan, keadaan ductus arteriosus mungkin sentiasa terbuka (patent) dan tidak tertutup sebagaimana yang sepatutnya selepas dilahirkan.

    Jika keadaan ini berlaku, ia boleh menyebabkan darah berlebihan dipam melalui paru-paru pada hari-hari pertama kehidupan. 

    Cecair boleh berkumpul pada paru-paru dan masalah kegagalan jantung boleh terjadi pada bayi pramatang.

    Masalah pada saluran pencernaan

    Masalah kesihatan bayi lahir prematur ini dikenali sebagai necrotizing enterocolitis (NEC). Ia merupakan penyakit serius yang boleh menjejaskan usus bayi baru lahir.

    Walaupun kebanyakan bayi dengan NEC akan bertambah baik, namun ada sesetengah bayi yang mungkin mengalami masalah usus berterusan seperti parut atau tersumbat. 

    Prosedur pembedahan mungkin diperlukan untuk mengatasi masalah ini.

    Pun begitu, ada bayi yang menjalani pembedahan membuang sebahagian usus ini mungkin menghadapi masalah untuk menyerap nutrien daripada makanan.

    Risiko bayi lahir prematur alami penyakit kuning

    Jenis penyakit kuning paling biasa dalam kalangan bayi pramatang adalah penyakit kuning berlebihan iaitu fisiologi (exaggerated, physiologic jaundice).

    bayi lahir prematur

    Dalam keadaan ini, hati tidak dapat menyingkirkan bilirubin daripada badan.

    Ia merupakan bahan berwarna kuning yang dihasilkan semasa pemecahan normal sel darah merah.

    Kesannya, bilirubin akan terkumpul dalam darah bayi dan tersebar ke tisu mengakibatkan kulit bayi menjadi kekuningan.  

    Biasanya penyakit kuning atau jaundis bukan 1 masalah kesihatan bayi yang serius. Tetapi sekiranya tahap bilirubin terlalu tinggi, wujud risiko untuk mengalami keracunan.

    Bahan ini juga boleh naik dan berkumpul pada otak hingga menyebabkan kerosakan pada otak. 

    Tahap bilirubin normal pada bayi baru lahir mestilah di bawah 5 mg/dL.  

    Tahap bahaya bilirubin adalah apabila ia mencapai atas pada 15-20 mg/dL. Namun, biasanya prosedur fototerapi akan dilakukan sebelum bayi mencapai tahap bilirubin tinggi. 

    Anemia

    Bayi pramatang juga berisiko mengalami masalah kesihatan berkaitan darah seperti anemia.

    Anemia adalah keadaan di mana badan tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi. 

    Walaupun semua bayi baru lahir akan mengalami penurunan jumlah sel darah merah yang perlahan pada bulan-bulan pertama kehidupan, namun penurunan agak ketara bagi bayi tidak cukup bulan.

    bayi lahir prematur

    Risiko jangkitan pada bayi lahir prematur

    Bayi yang lahir awal sering menghadapi masalah melawan kuman, ini kerana sistem imun tubuh mereka masih tidak berkembang sepenuhnya. 

    Keadaan tersebut sekali gus boleh mengakibatkan mereka mendapat jangkitan lebih mudah dan situasi ini boleh berterusan walaupun bayi sudah membesar.

    Antara risiko jangkitan yang boleh dihadapi adalah sepsis, radang paru-paru, meningitis dan sebagainya. 

    Kesimpulannya

    Terdapat beberapa masalah kesihatan bayi lahir prematur tidak dapat dicegah.

    Namun percayalah pakar di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) telah berjaya menyelamatkan banyak nyawa dan mereka akan terus membantu bayi pramatang untuk bertahan.

    Jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai keadaan kesihatan atau perubatan melibatkan bayi pramatang, dapatkan rundingan dengan pakar neonatologi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 19/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan