Menurut World Health Organization (WHO), virus Zika kini merupakan antara virus utama yang menyerang ibu hamil pada abad ke-21 ini. Meskipun sering kedengaran dan terpampang di artikel-artikel atas talian, masyarakat umum masih belum mengetahui tentang bahaya sebenar virus ini. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkaitan virus Zika dengan kehamilan.
Virus Zika: Apakah sebenarnya ia dan mengapakah virus ini berbahaya?
Virus Zika merupakan virus bawaan nyamuk yang boleh merebak melalui gigitan nyamuk yang telah terinfeksi dengan genus nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes merupakan nyamuk yang turut membawa penyakit demam kuning dan demam denggi. Nama virus ini berasal daripada nama hutan Zika yang terdapat di Uganda di mana monyet di situ merupakan haiwan yang pertama didiagnosis dengan virus ini pada tahun 1947.
Mungkin kepada individu normal, simptom penyakit Zika adalah tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan hospitaliti. Namun begitu, penyakit ini adalah berbahaya kepada wanita yang sedang hamil.
Kajian menunjukkan bahawa virus Zika akan menjadi punca kepada kelahiran bayi yang tidak normal termasuklah microcephaly (masalah pertumbuhan pada kepala dan saiz otak) dan glaucoma (masalah saraf mata yang disebabkan oleh tekanan dalaman). Menurut U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC), ibu hamil yang dijangkiti virus Zika berisiko 20 kali ganda untuk melahirkan kandungan cacat berbanding dengan ibu hamil yang tidak dijangkiti virus ini. Dalam beberapa kes, virus Zika boleh membawa maut atau menyebabkan kandungan meninggal dunia. Buat masa ini, masih tidak terdapat vaksin untuk virus Zika.
Bagaimana virus ini merebak?
Cara utama virus ini merebak adalah melalui gigitan nyamuk. Apabila nyamuk ini menghisap darah daripada individu yang telah terinfeksi, nyamuk ini akan menjadi pembawa virus ini lalu merebakkannya kepada individu lain pula. Proses ini akan berulangan setiap kali. Namun begitu, virus ini juga mampu dipindahkan melalui beberapa cara yang lain seperti hubungan seksual, pemindahan darah atau dipindahkan daripada ibu ke anak. Surih virus Zika ini juga ditemui di dalam susu badan ibu. Walaubagaimanapun, ini tidak akan mendatangkan sebarang kesan negatif kepada bayi yang sedang menyusu.
Tanda-tanda dan simptom infeksi Zika
Simptom penyakit Zika adalah lebih kurang sama dengan infeksi arbovirus seperti demam denggi dan kebiasaannya kekal selama 1 minggu atau kurang. Berikut merupakan simptomnya:
- Demam
- Ruam
- Sakit pada bahagian otot dan sendi
- Pening kepala
- Konjunktivitis
Buat masa sekarang, terdapat banyak kajian dijalankan untuk melihat sekiranya ibu hamil lebih mudah terdedah kepada virus ini atau tidak.
Langkah mengatasi penyakit Zika
- Musnahkan tempat takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
- Gunakan penyembur racun serangga yang selamat digunakan oleh ibu hamil.
- Lindungi diri anda dengan pakaian baju dan seluar panjang.
- Jangan lakukan hubungan seks yang tidak selamat.
- Jika anda sedang hamil, elakkan melancong ke negara yang berpotensi menyebarkan virus Zika terutamanya kebanyakan negara di Selatan Amerika.
- Sekiranya anda seorang wanita yang telah terjangkiti virus ini, anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 8 minggu sebelum memutuskan untuk hamil. Bagi lelaki pula, anda perlu menunggu sekurang-kurangnya bulan sebelum merancang untuk mempunyai anak bersama pasangan anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-due-date]