home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Kurang Minum Air Semasa Hamil? Ini Risiko Yang Boleh Terjadi Kepada Ibu

Kurang Minum Air Semasa Hamil? Ini Risiko Yang Boleh Terjadi Kepada Ibu

Masalah dan risiko dehidrasi boleh berlaku kepada setiap individu yang tidak mempunyai air yang mencukupi dalam tubuh mereka. Namun, dehidrasi adalah lebih membimbangkan jika dialami oleh wanita hamil.

Semasa hamil, tubuh anda memerlukan air secukupnya untuk memastikan sel-sel tubuh dapat menjalankan tugas dengan baik. Tanpa air yang cukup boleh memberikan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan anda.

Ini bermakna, ibu hamil perlu kekal hidrat bukan sahaja untuk tubuhnya, bahkan juga untuk perkembangan bayi yang sihat.

Dalam artikel ini, kita akan dapat lihat mengenai simptom dan risiko dehidrasi semasa kehamilan, dan bagaimana untuk anda kekal selamat daripada dehidrasi yang teruk.

Bagaimana untuk tahu jika saya mengalami dehidrasi?

manfaat air lemon

Dehidrasi boleh berlaku pada sepanjang tempoh kehamilan. Namun, selalunya ia berlaku pada awal kehamilan, iaitu semasa trimester pertama ketika kebanyakan ibu mengalami mabuk hamil dan muntah-muntah.

Cecair yang banyak keluar dari tubuh semasa muntah menyebabkan wanita hamil mengalami dehidrasi.

Salah satu petanda awal yang menunjukkan anda dehidrasi adalah rasa dahaga. Individu yang rasa dahaga selepas berpeluh, terlalu lama terdedah kepada cuaca panas, atau tidak minum dalam tempoh yang lama adalah lebih cenderung mendapat dehidrasi.

Selain itu, cara terbaik untuk mengetahui sama ada anda dehidrasi adalah dengan melihat kepada warna urin anda. Anda tidak mendapat cukup air jika warna urin anda lebih gelap. Simptom lain yang menunjukkan anda dehidrasi termasuklah:

  • Rasa kering pada tekak atau mulut
  • Bibir kering dan merekah
  • Kulit kelihatan kering
  • Kurang membuang air kecil
  • Tubuh tidak berpeluh, walaupun berada di bawah cuaca panas
  • Berasa lemah atau letih
  • Sembelit, najis keras, dan buasir
  • Pening kepala

Malahan, sesetengah ibu hamil akan mengalami kontraksi Braxton Hicks jika mereka dehidrasi.

Jika anda mengalami dehidrasi yang teruk, anda akan mengalami tanda-tanda seperti pening dan mengalami kekeliruan, jantung berdegup kencang, perubahan dalam pola bergerakan bayi, dan tekanan darah rendah, sehingga menyebabkan pening atau pitam.

Selain itu, dehidrasi teruk boleh menyebabkan kegagalan organ dan membahayakan bayi.

Apakah punca dehidrasi?

Dehidrasi boleh berlaku jika wanita hamil tidak minum cukup air. Anda disarankan untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari. Meskipun begitu, keperluan air adalah berbeza bagi setiap individu.

Individu yang aktif secara fizikal atau berada dalam cuaca yang panas adalah memerlukan lebih banyak air. Selain air kosong, anda juga boleh minum jus buah, sup, ataupun susu.

Beberapa keadaan perubatan seperti wanita hamil yang mengalami muntah dan cirit-birit juga boleh membuatkan sukar untuk tubuh menyerap air yang diperlukan oleh badan.

Selain itu, masalah kesihatan lain yang menyebabkan dehidrasi ialah kegagalan buah pinggang, gangguan metabolik luar biasa tertentu, serta gangguan usus seperti penyakit Crohn atau penyakit seliak, menjadikan sukar untuk tubuh menyerap nutrien.

Risiko dehidrasi semasa hamil

penyebab air ketuban pecah

Semasa kehamilan, air dalam tubuh ibu digunakan untuk membentuk plasenta, yang menyalurkan nutrien pergi kepada bayi anda. Tubuh anda menggunakan jumlah air yang lebih banyak semasa kehamilan.

Jika anda tidak menggantikan kehilangan air, maka dehidrasi adalah keadaan yang membimbangkan buat wanita hamil.

Dehidrasi ringan selalunya bukanlah masalah berbahaya semasa kehamilan, asalkan anda segera mendapatkan cukup air dalam tubuh. Bagaimanapun, dehidrasi teruk boleh membahayakan untuk kedua-dua ibu dan bayi.

Dehidrasi semasa hamil boleh menjurus kepada paras rendah cecair amnion, yang akan mempengaruhi perkembangan bayi dalam kandungan, membawa kepada kelahiran pramatang dan boleh menjejaskan penghasilan susu badan.

Selain itu, dehidrasi semasa hamil juga boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuklah kecacatan tiub neural dan kecacatan kelahiran.

Bagaimana untuk mencegah risiko dehidrasi semasa hamil?

Tidak sukar untuk mengelakkan masalah dehidrasi semasa hamil. Anda perlu mendapatkan air yang cukup bagi menghalang dehidrasi berlaku.

Jika anda mengalami mabuk hamil yang menyebabkan anda selalu muntah, cuba untuk minum banyak air apabila anda tidak berasa loya.

Selain itu, elakkan daripada terlalu banyak minum minuman berkafein. Had kafein harian yang disarankan semasa hamil ialah 200 mg.

Kesimpulannya, setiap orang boleh mengalami dehidrasi, cuma ibu hamil adalah lebih berisiko jika tidak mendapat cukup air dalam tubuh. Cara terbaik untuk mengelakkan dehidrasi adalah dengan kekal hidrat.

health-tool-icon

Kalkulator Tarikh Bersalin

Gunakan kalkulator ini untuk menentukan tarikh akhir anda. Walau bagaimanapun, ini hanyalah anggaran semata-mata! Kebanyakan wanita akan melahirkan anak dalam masa seminggu sebelum atau selepas tarikh ini.

Panjang Kitaran

28 hari

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Can dehydration affect pregnancy? https://www.medicalnewstoday.com/articles/322230.php Accessed January 23, 2019.

Symptoms of Severe Dehydration During Pregnancy. http://www.healthline.com/health/pregnancy/dehydration#2. Accessed January 23, 2019.

Dehydration During Pregnancy. http://americanpregnancy.org/pregnancy-complications/dehydration-pregnancy/ Accessed January 23, 2019.

How will I know if I’m dehydrated and what can I do about it? https://www.babycentre.co.uk/x7233/how-will-i-know-if-im-dehydrated-and-what-can-i-do-about-it  

Accessed January 23, 2019.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin Disemak pada 13/01/2021
Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel