Apakah itu pengguguran bayi?
Pengguguran bayi merujuk kepada tindakan membuang atau menyingkir janin melalui proses pembedahan. Terdapat banyak sebab yang menyebabkan wanita hamil memilih untuk melakukan pengguguran bayi. Antara sebabnya adalah faktor risiko kesihatan ibu dan bayi selepas bersalin (mungkin disebabkan oleh ketidaknormalan genetik atau fizikal) dan juga faktor peribadi.
Jika anda pernah melakukan pengguguran bayi, anda pasti berasa risau akan keupayaan anda untuk hamil pada masa akan datang.
Adakah pengguguran bayi akan menjejaskan kesuburan wanita?
Menurut kajian, pengguguran bayi tidak akan menyebabkan sebarang isu atau komplikasi terhadap kehamilan yang akan datang. Walaupun terdapat banyak perdebatan dan penentangan yang mengundang kontroversi jika dilihat dari segi etika, pengguguran bayi yang dilakukan oleh pakar perubatan profesional dianggap sebagai selamat. Tidak ada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan bahawa pengguguran bayi yang dilakukan dengan prosedur yang selamat akan menjejaskan kehamilan pada masa akan datang.
Apakah risikonya?
Namun begitu, pengguguran bayi juga akan mendatangkan beberapa risiko terhadap kehamilan anda. Berikut merupakan antara komplikasi yang mungkin berlaku ketika kehamilan yang akan datang:
- Pendarahan vagina semasa awal kehamilan
- Kelahiran bayi pra-matang
- Kelahiran bayi kurang berat
- Masalah pada plasenta (plasenta tersekat)
Selain itu, terdapat dua lagi komplikasi utama yang boleh berlaku akibat pernah melakukan pengguguran bayi iaitu infeksi dan kerosakan rahim. Jika anda pernah melakukan pengguguran bayi lebih daripada dua kali, anda lebih berisiko untuk menghidapi infeksi selepas prosedur. Kebanyakan infeksi adalah mudah dirawat dengan ubat-ubatan tetapi infeksi yang teruk seperti penyakit radang pelvis mampu merosakkan organ reproduktif anda jika tidak dirawat sebetulnya. Ini akan menjadi punca ketidaksuburan ataupun kehamilan luar rahim. Walaupun kerosakan rahim merupakan kes yang sangat jarang berlaku, ini masih boleh berlaku lalu merosakkan dan melemahkan serviks. Ini sekaligus akan menyebabkan kesukaran untuk hamil pada masa akan datang atau menyebabkan keguguran. Walau bagaimanapun, kondisi ini boleh dirawat dengan melakukan pembedahan yang memerlukan jahitam yang kuat pada sekitar kawasan serviks bagi memastikannya sentiasa tertutup.
Kesan sampingan pengguguran bayi terhadap psikologi
Sebagai tambahan, pengguguran bayi sebenarnya boleh menyumbang kepada gangguan emosi terhadap wanita. Wanita yang pernah melakukan pengguguran bayi akan cenderung untuk mengelak sebarang perlakuan intim akibat rasa bersalah dan perasaan bercampur baur yang dialami. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap kesuburan wanita. Walaupun pengguguran bayi adalah tidak digalakkan, anda yang masih mahu melakukannya perlu berbincang terlebih dahulu dengan individu yang dipercayai. Jika anda mahu hamil kelak, ambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk tubuh badan anda sembuh sepenuhnya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-due-date]