backup og meta

Berikan Sokongan Emosi Buat Ibu Dengan Kehamilan Berisiko Tinggi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/08/2020

    Berikan Sokongan Emosi Buat Ibu Dengan Kehamilan Berisiko Tinggi

    Bukan senang nak kuatkan diri tatkala menerima berita berkenaan dengan kehamilan berisiko tinggi. Nyawa ibu dan anak boleh terancam dek masalah kesihatan seperti preeklampsia, diabetes gestasi, dan gravidarum hiperemesis. Sokongan emosi merupakan satu bentuk pertolongan yang sangat berharga buat ibu-ibu yang mengalami kehamilan berisiko tinggi. Namun sejauh manakah keberkesanannya dalam membantu golongan ibu untuk terus tabah mengharungi cabaran yang akan mereka hadapi sehingga si manja lahir? 

    Baca artikel ini untuk mengetahui kepentingan mendapatkan pertolongan golongan profesional dalam mencapai kestabilan emosi sewaktu mengandung.

    Kehamilan berisiko tinggi

    Fasa kehamilan merupakan proses semula jadi yang dialami oleh hampir kesemua wanita. Ia bermula daripada saat sebelum kehamilan, kehamilan itu sendiri (selama lebih kurang 9 bulan), kelahiran dan penjagaan selepas bersalin. Susun aturnya cantik dan selepas 2 – 14 hari selepas bersalin, para wanita berupaya untuk meneruskan kehidupan mereka sebagai ibu.

    Namun begitu, bukan semua proses kehamilan berjalan dengan lancar. Ada juga wanita yang berisiko untuk mendapat komplikasi yang berkaitan dengan kehamilan tersebut. Keadaan ini dipanggil sebagai kehamilan berisiko tinggi dan ia boleh mengancam nyawa ibu dan bayi jika tidak diuruskan dengan betul. Antara faktor yang mempengaruhi terjadinya kehamilan berisiko tinggi ini adalah seperti berikut:

    Usia ibu 

    Wanita yang berusia di bawah 17 tahun atau melebihi 35 tahun berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis masalah kesihatan berkaitan dengan kehamilan. Ini termasuklah diabetes gestasi, preeklampsia, risiko keguguran, kecacatan genetik, kelahiran pramatang, anemia (kurang darah merah) semasa hamil dan sebagainya. Semakin lanjut usia wanita itu, semakin tinggilah kebarangkalian mereka untuk mengalami keadaan kesihatan tersebut. 

    Keadaan kesihatan yang wujud sebelum kehamilan

    Banyak keadaan kesihatan ibu yang sering dikaitkan dengan kehamilan berisiko tinggi. Ini termasuklah masalah hipertensi, kencing manis, masalah jantung, penyakit autoimun, jangkitan kelamin dan jangkitan kronik seperti jangkitan human immunodeficiency virus (HIV). Mereka yang mempunyai sejarah atau masalah dengan kehamilan yang lepas juga berisiko untuk mengalami masalah kesihatan pada kehamilan yang seterusnya. Namun begitu, perkara ini boleh dipantau dan dirawat.

    Keadaan kesihatan yang wujud semasa kehamilan

    Beberapa jenis masalah kesihatan cenderung untuk berlaku pada wanita ketika hamil. Apa yang anda akan perasan adalah masalah tersebut akan hilang atau beransur sembuh sebaik sahaja bayi dilahirkan. Namun, tanpa rawatan, ibu dan bayi boleh mengalami komplikasi yang boleh mengancam nyawa. Masalah seperti diabetes gestasi boleh berlarutan sehingga menyebabkan masalah kencing manis jenis 2. Mereka yang mengalami keadaan kesihatan seperti ini kebiasaannya akan dipantau secara berkala.

    Kehamilan kembar

    Mereka yang mengalami kehamilan kembar mudah untuk mendapat masalah kelahiran pramatang, diabetes gestasi dan hipertensi atau preeklampsia sewaktu tempoh kehamilan. Pasangan suami isteri yang memilih untuk menjalani rawatan kesuburan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat kehamilan kembar. Faktor lain seperti usia, sejarah keluarga dan sindrom hiperovulasi juga memainkan peranan.

    Plasenta previa

    Ini merupakan keadaan di mana plasenta (uri) menutupi serviks. Pendarahan tanpa kesakitan merupakan simptom lazim yang sering dialami oleh wanita. Bergantung kepada tahap plasenta previa, wanita tersebut akan mempunyai kelainan pada kaedah bersalin. Jika uri menutupi sebahagian atau keseluruhan serviks, wanita tersebut perlu melahirkan anak melalui pembedahan cesarean section (czer).

    Kelahiran pramatang

    Tiada tanda spesifik yang boleh digunakan untuk meramal sama ada seseorang wanita itu akan mengalami kelahiran pramatang ataupun tidak. Namun faktor-faktor seperti jangkitan semasa hamil, serviks pendek dan sejarah kelahiran pramatang membuatkan wanita tersebut berisiko untuk mengalami keadaan kesihatan tersebut. Wanita hamil yang mengalami tanda-tanda kelahiran sebelum mencecah usia kandungan 37 minggu dikatakan melalui kelahiran pramatang.

    Rujuk profesional untuk dapatkan sokongan emosi

    Pada Disember 2019, kajian yang dibuat di Universiti Rutgers telah mendapati bahawa wanita yang mengalami kehamilan berisiko tinggi perlu mendapatkan bantuan profesional dalam memastikan kestabilan emosi. Kajian tersebut telah diterbitkan di dalam Jurnal Psikologi Wanita bagi mengurangkan insiden kelahiran pramatang melalui pendekatan psikologi yang betul.

    Menurut kajian tersebut, kira-kira 15% daripada kehamilan di seluruh dunia dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi. Keadaan ini boleh meningkatkan insiden bayi lahir kurang berat, kelahiran pramatang dan masalah keguguran jika tidak dirawat. Di Amerika Syarikat sendiri, hampir 10% daripada jumlah mereka yang hamil perlu ditahan di hospital berikutan keseriusan penyakit seperti hiperemesis gravidarum, preeklampsia dan diabetes gestasi.

    Mereka yang mengalami kehamilan berisiko tinggi lazimnya menghadapi gangguan emosi dan tekanan stres yang tinggi. Tiada kelas atau pendidikan yang cuba memberikan nasihat secara khusus berkenaan dengan cara menyesuaikan diri, berfikiran positif atau bertenang dalam menghadapi kehamilan berisiko tinggi. Jika dibiarkan berlarutan, wanita tersebut berisiko untuk mendapat kemurungan atau keresahan yang boleh membebankan lagi kehamilan tersebut.

    Bagaimanakah caranya untuk kita membendung masalah psikologi ini? Rujuk pakar dan profesional yang terlibat. Anda boleh berbincang dengan ahli keluarga anda namun tanpa pemahaman yang cukup berkenaan dengan kesan kehamilan berisiko tinggi terhadap fizikal dan mental, nasihat yang diberikan kebiasaannya tidak membawa apa-apa nilai melainkan untuk menenangkan sahaja.

    Rujuk pakar anda jika anda merasa tertekan

    Setiap wanita melalui tekanan psikologi yang berbeza jika mereka mengalami kehamilan berisiko tinggi. Tidak semestinya apa yang dilalui oleh wanita A akan sama dengan apa yang dialami oleh wanita B. Walau bagaimana sekalipun, langkah terbaik dalam menghadapi perkara ini adalah dengan memberitahu perkara tersebut kepada pakar atau doktor perubatan yang menguruskan kehamilan anda.

    Menurut kajian tersebut, terdapat pelbagai jenis pendekatan atau terapi psikologi yang boleh membantu golongan ini untuk menenangkan diri. Jika anda tidak pasti sama ada anda mengalami tekanan emosi hasil daripada kehamilan berisiko tinggi, ingatlah bahawa tekanan tersebut tidak semestinya dizahirkan dalam bentuk kemurungan atau keresahan semata-mata.

    Kadangkala wanita hamil mempunyai dilema di antara dua pilihan dan tidak tahu bagaimana untuk membuat sesuatu keputusan. Jadi apa yang anda perlu buat? Beritahu kepada doktor anda. Nasihat boleh diberikan dan jika perlu, anda akan diberikan rawatan.

    Konklusi

    Tekanan emosi dan mental sewaktu hamil boleh mempengaruhi tahap kesihatan bayi di dalam kandungan secara tidak langsung. Jika anda merasa tertekan atau berasa berat dengan dugaan yang melanda, luahkan segalanya kepada golongan profesional atau doktor anda. Mereka sedikit sebanyak bukan sahaja boleh memberikan nasihat terhadap dilema tersebut, malah menyaring jika terdapat sebarang keperluan untuk melibatkan anda dalam rawatan dan terapi tertentu. 

    Matlamat pemantauan kehamilan di klinik dan hospital adalah untuk memastikan kesihatan ibu berada pada tahap yang optimum. Ini termasuklah kesihatan mental yang seringkali terlepas pandang kerana ia bukanlah satu masalah yang boleh dilihat secara zahir. Beritahu kepada doktor anda berkenaan dengannya dan jalanilah kehamilan anda dengan sihat.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan