Semasa hamil, adalah dinasihatkan supaya anda memberi perhatian kepada pemakanan anda memandangkan makanan dan minuman memberikan kesan yang ketara kepada perkembangan bayi dalam kandungan. Ramai individu percaya bahawa wanita hamil tidak boleh menyentuh kopi. Walaupun kenyataan ini sedikit kejam, namun kajian menyarankan supaya bakal ibu untuk mengawal pengambilan kafein mereka.
Saya kini hamil, jadi perlukah saya berhenti minum kopi dan mengambil sebarang sumber makanan yang mengandungi kafein?
Jika anda sedang hamil, adalah lebih baik jika anda mengehadkan pengambilan kafein anda. Akan tetapi, berapa banyak yang boleh anda ambil? Selepas pelbagai kajian dan perdebatan dilakukan, masih tiada sebarang jawapan jelas mengenai jumlah kafein yang dikatakan selamat untuk diambil semasa hamil. Menurut American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), wanita hamil perlu mengehadkan pengambilan kafein mereka kepada kurang daripada 200 miligram sehari, yang bersamaan dengan kira-kira satu cawan kopi.
Apakah kebimbangan jika minum kopi semasa hamil?
Semasa minum kopi, kafein akan memasuki plasenta, pergi ke cecair amniotik dan mengalir ke aliran darah bayi anda. Sungguhpun tubuh anda boleh menghilangkan kafein, namun berbeza dengan tubuh bayi yang masih belum terbentuk sempurna dan tidak boleh menghilangkan kafein. Sebagai akibatnya, pendedahan bayi kepada kesan kafein adalah lebih panjang berbanding dengan kesan yang anda alami.
Sehingga ke hari ini, para penyelidik masih berterusan menentukan kesan sebenar kafein kepada ibu hamil dan bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, satu kajian penting menunjukkan ibu yang mengambil kafein lebih daripada 300 miligram sehari melahirkan bayi yang lebih kecil untuk usia gestasi mereka.
Selain itu, kafein juga boleh menyebabkan insomnia dan membuatkan anda berasa berdebar-debar. Selain bertindak sebagai perangsang, kafein juga meningkatkan kadar jantung anda, tekanan darah, dan membuatkan anda berasa pedih hulu hati, dengan cara menyebabkan pengeluaran asid perut.
Semasa hamil, kesan yang disebabkan oleh kafein kelihatan lebih ketara jika bayi dalam kandungan semakin meningkat minggu. Kemampuan tubuh anda untuk menghapuskan kafein juga semakin perlahan. Akhirnya, anda akan mengalami paras yang lebih tinggi dalam aliran darah anda. Dalam trimester kedua pula, badan anda mengambil dua kali lebih lama untuk menghapuskan kafein daripada badan berbanding dengan jika anda tidak hamil. Dan, semasa trimester ketiga pula, ia mengambil masa tiga kali lebih lama.
Satu lagi sebab untuk anda mengurangkan pengambilan kafein adalah kerana minuman ini akan menyukarkan tubuh anda untuk menyerap zat besi. Jika anda minum kopi atau teh, adalah lebih baik untuk anda menikmatinya di antara hidangan supaya ia memberikan kurang kesan kepada penyerapan zat besi.
Apakah jenis makanan dan minuman yang mengandungi kafein?
Selain kopi, terdapat beberapa jenis minuman yang mengandungi kafein, termasuklah:
- Teh
- Minuman ringan
- Minuman tenaga
- Coklat
- Aiskrim kopi
- Ubatan tanpa preskripsi (over-the-counter)
[embed-health-tool-ovulation]