Pembengkakan payudara kebiasaannya berlaku ketika 2 hingga 5 hari selepas bersalin. Ini kerana payudara anda mempunyai kandungan susu yang terlalu banyak. Ketika ini, payudara anda akan menjadi lebih besar, lebih hangat, lebih berat serta sakit ketika menyusukan bayi. Kadangkala, situasi ini membuatkan bayi sukar untuk menyusu. Namun begitu, anda tidak perlu risau kerana kondisi ini adalah normal dan boleh dirawat di rumah. Berikut merupakan beberapa cadangan untuk mengatasi payudara membengkak selepas bersalin.
Bagaimanakah meredakan pembengkakan payudara?
Jika anda menyusukan bayi anda dengan susu badan, ikuti langkah-langkah berikut untuk membuat proses menyusukan bayi lebih senang dan selesa:
- Lembutkan payudara sebelum menyusukan bayi dengan menanggalkan baju dalam anda. Anda juga boleh membuat payudara anda lebih hangat dengan menuamkan ia dengan air panas selama beberapa minit atau mandi air panas sebelum menyusukan bayi. Namun begitu, payudara yang terlalu hangat juga akan menyukarkan aliran susu kepada payudara anda. Gunakan tangan atau pam untuk mengalirkan lebih banyak susu.
- Susukan bayi anda dengan kerap. Ketika bayi anda tidak menyusu, pam keluar sedikit susu daripada payudara anda.
- Urutkan payudara anda perlahan-lahan ketika sedang menyusukan anak. Ini akan membantu susu mengalir keluar dengan lebih mudah.
- Jika payudara anda berasa tidak selesa selepas menyusukan anak, cuba keluarkan sedikit susu daripada payudara anda.
- Tuamkan payudara anda dengan sesuatu yang sejuk untuk mengurangkan bengkak selepas menyusukan anak. Anda boleh menggunakan ais atau daun kubis.
Jika anda tidak menyusukan bayi dengan susu badan, ikuti langkah-langkah berikut untuk meredakan pembengkakan payudara:
- Jika payudara anda berasa sangat sakit, pam keluar sedikit susu. Ini akan membuat anda berasa sedikit lega. Namun begitu, jangan pam keluar terlalu banyak susu sehingga kering.
- Tuamkan payudara anda dengan sesuatu yang sejuk sekurang-kurangnya 15 minit dalam setiap jam. Lapikkan tuaman dengan kain untuk mengelakkan keradangan pada kulit.
- Gunakan baju dalam yang sesuai. Pastikan baju dalam yang anda pakai selesa dan menyokong payudara anda.
Jika payudara anda masih membengkak selepas menggunakan tip-tip berikut, dapatkan bantuan pakar. Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan,
Bagaimanakah mengelakkan pembengkakan payudara?
Tidak semua wanita akan mengalaminya. Sesetengah wanita mungkin akan perasan payudara mereka menjadi lebih besar namun tidak mendatangkan sebarang ketidakselesaan. Anda boleh mengurangkan risiko terjadinya pembengkakan payudara dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Susukan bayi anda dua jam selepas kelahiran bayi anda. Dapatkan bantuan doktor atau jururawat untuk melakukannya.
- Susukan bayi anda apabila anda mengetahui bayi anda sedang lapar. Bayi anda akan menunjukkan tanda dia sedang lapar dengan memasukkan jari ke dalam mulut.
- Susukan bayi anda sekerap yang boleh. Ini dapat memastikan susu tidak terkumpul di dalam payudara anda. Susukan bayi anda sekurang-kurangnya setiap dua hingga tiga jam sehari ketika dia masih belum mencecah usia sebulan.
- Anda perlu membantu anak anda ketika mereka sedang cuba untuk menyusu. Halakan puting anda ke dalam mulut bayi anda bagi membantu memudahkan bayi anda menyusu.
- Biarkan anak anda menghabiskan susu pada sebelah payudara anda terlebih dahulu sebelum beralih ke sebelah yang lain.
- Penggunaan nursing bra juga dapat membantu mengelakkan pembengkakan.
Pembengkakan payudara selepas bersalin kebiasaannya pulih dengan sendiri dan cepat buat kebanyakan wanita. Kondisi ini boleh kebah dalam masa 24 hingga 48 jam jika anda mengeluarkan susu setiap dua hingga 3 jam sehari. Jika tidak dirawat, pembengkakan payudara boleh melarat sehingga sepuluh hari lamanya.
Bagi mengatasi payudara membengkak selepas bersalin, anda perlu menyusukan bayi dengan susu badan. Jika tidak, anda mungkin memerlukan bantuan daripada pakar perubatan untuk melegakan tekanan yang dialami oleh payudara anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]