backup og meta

Nak Tahu Keadaan Janin, Kena Pantau Degupan Jantung Bayi Dalam Perut, Tapi Selamat Ke?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

    Nak Tahu Keadaan Janin, Kena Pantau Degupan Jantung Bayi Dalam Perut, Tapi Selamat Ke?

    Boleh ke kalau nak buat pemantauan kadar denyutan jantung janin atau ia berisiko mendatangkan mudarat? Ini apa yang ibu mengandung harus fahami sebelum melakukannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini. 

    Pemantauan kadar denyutan jantung janin

    Pemantauan kadar denyutan jantung janin atau fetal heart monitoring adalah prosedur untuk mengukur degupan jantung dan irama bayi dalam kandungan (janin).

    Ini membolehkan doktor melihat bagaimana keadaan bayi anda.

    Pemantauan itu mungkin dilakukan semasa lewat kehamilan dan ketika prosedur bersalin berlangsung. 

    Denyutan jantung janin secara purata adalah antara 110 dan 160 degupan seminit. Ia boleh berubah-ubah antara 5 hingga 25 denyutan seminit. 

    Perubahan berlaku ketika bayi bertindak balas terhadap keadaan di dalam rahim anda.

    Jika kadar denyutan janin tidak normal, itu mungkin bermaksud bahawa bayi anda tidak mendapat cukup oksigen atau mempunyai masalah lain. 

    2 jenis pemantauan kadar denyutan jantung 

    Umumnya, terdapat 2 kaedah untuk melakukan pemantauan jantung janin:

    Pemantauan jantung janin luaran

    Kaedah ini menggunakan alat untuk mendengar dan merakam degupan jantung bayi melalui perut (abdomen) ibu mengandung. 

    Salah satu jenis monitor adalah alat ultrasound Doppler. Ia sering digunakan semasa temujanji pranatal untuk mengira degupan jantung janin. Alat yang sama turut digunakan untuk memeriksa degupan jantung bayi semasa bersalin. 

    Untuk melakukan prosedur ini, probe ultrabunyi (transducer) diikat ke perut anda. Ia akan menghantar bunyi kadar denyutan jantung bayi ke komputer. 

    Kadar dan corak degupan itu akan dipaparkan pada skrin dan dicetak ke atas kertas.

    kadar denyutan jantung

    Pemantauan jantung janin dalaman

    Kaedah ini menggunakan wayar nipis (electrode) yang diletakkan pada kulit kepala bayi anda. Wayar itu akan dimasukkan daripada saluran serviks dan disambungkan ke monitor.

    Umumnya, kaedah ini dikatakan dapat memberi bacaan yang lebih baik kerana isu seperti pergerakan tidak akan mempengaruhinya. 

    Namun cara ini hanya dapat dilakukan apabila kantung yang berisi cecair yang mengelilingi bayi semasa kehamilan (kantung amniotik – air ketuban) telah pecah dan saluran serviks dibuka.

    Doktor mungkin akan menggunakan prosedur pemantauan kadar denyutan jantung bayi dalaman jika pemantauan luaran tidak memberikan bacaan yang baik.

    Selain itu, kaedah ini juga akan dilakukan untuk membolehkan doktor memerhatikan bayi lebih dekat semasa proses kelahiran.

    Semasa bersalin, doktor akan memerhatikan kontraksi rahim dan denyutan jantung bayi anda. Ia membolehkan kekerapan anda kontraksi dan tempohnya diketahui. 

    Oleh sebab degupan jantung janin dan kontraksi dicatatkan pada masa sama, hasilnya dapat dilihat bersama dan dibandingkan.

    Doktor mungkin akan memeriksa tekanan di dalam rahim semasa melakukan pemantauan jantung janin dalaman. Bagi melakukannya, tiub nipis (catheter) melalui serviks dan ke dalam rahim.

    Hasil bacaan tekanan rahim akan dihantar ke monitor.

    Perlu ke ibu mengandung melakukan pemantauan ini?

    Pemantauan degupan jantung janin sangat membantu jika kandungan berisiko tinggi. Kehamilan akan dikategorikan sebagai berisiko jika anda menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi.

    Ia juga berisiko tinggi jika bayi tidak berkembang atau membesar sebagaimana yang sepatutnya. 

    Prosedur pemantauan kadar denyutan jantung janin mungkin digunakan untuk memeriksa bagaimana ubat-ubatan bersalin pramatang mempengaruhi bayi anda.

    Ubatan tersebut digunakan untuk membantu mengekalkan proses bersalin agar tidak berlaku terlalu awal.

    Pemantauan kadar jantung janin boleh digunakan dalam ujian lain seperti:

    • Ujian tanpa tekanan mengukur degupan jantung janin semasa bayi bergerak
    • Ujian tekanan kontraksi – mengukur degupan jantung janin bersama dengan pengecutan rahim. Kontraksi dicetuskan dengan ubat atau kaedah lain
    • Profil biofizik (BPP) – menggabungkan ujian tanpa stres dengan ultrabunyi

    Perkara yang boleh mempengaruhi degupan jantung janin semasa bersalin adalah:

    • Pengecutan rahim
    • Ubat sakit atau anestesia (anesthesia) yang diberikan semasa bersalin
    • Ujian dilakukan semasa bersalin
    • Mendorong semasa fasa kedua bersalin

    Doktor mungkin mempunyai sebab lain untuk melakukan kaedah kadar denyutan jantung janin.

    Risiko yang perlu ibu mengandung fahami

    Radiasi tidak digunakan dalam ujian ini. Transduser biasanya tidak akan menimbulkan rasa tidak selesa.

    Pun begitu anda mungkin akan mendapati tali pinggang elastik yang menahan transduser menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Tetapi tali pinggang tersebut boleh dilaraskan mengikut keperluan.

    kadar denyutan jantung

    Dalam prosedur pemantauan kadar denyutan jantung dalaman, anda mungkin akan mengalami sedikit ketidakselesaan ketika elektrod dimasukkan ke dalam rahim anda. 

    Walau bagaimanapun, wujud risiko pada kaedah pemantauan dalam termasuklah jangkitan dan lebam pada kulit kepala bayi atau bahagian badan yang lain. 

    Kaedah pemantauan dalaman juga tidak boleh dilakukan jika ibu mengandung positif HIV. Ini kerana anda mungkin menyebarkan jangkitan kepada bayi. 

    Risiko lain mungkin boleh berlaku bergantung kepada keadaan kesihatan khusus anda.  

    Jika terdapat sebarang kebimbangan atau keraguan, anda disarankan berbincang dengan doktor sebelum melakukan sebarang prosedur.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan