backup og meta

Ibu Hamil, Ini Cara Lakukan Urutan Pada Perineum, Barulah Kurang Risiko Koyak Nanti!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/09/2022

    Ibu Hamil, Ini Cara Lakukan Urutan Pada Perineum, Barulah Kurang Risiko Koyak Nanti!

    Pada trimester ketiga kehamilan, ibu mengandung disaran melakukan urutan perineum yang dipercayai dapat mengurangkan risiko faraj terkoyak semasa proses bersalin nanti.

    Tidak tahu bagaimana urutan tersebut dilakukan? Hello Doktor akan tunjukkan caranya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Urutan perineum pada trimester ketiga kehamilan

    Memasuki minggu ke-34 atau menghampiri penghujung trimester ketiga kehamilan, wanita berbadan dua dinasihat melakukan urutan pada perineum.

    Di manakah terletaknya bahagian perineum itu?

    Ia adalah kawasan tisu antara bukaan faraj dan dubur. Terletak pada otot yang menyokong organ pembiakan, usus dan pundi kencing  – lantai pelvis. 

    Umumnya, mengurut bahagian perineum ini adalah bertujuan untuk meregang dan memanipulasi tisu perineum dengan menggunakan 1 atau 2 jari.

    Ia bermatlamat untuk mempersiapkan tisu pada bahagian ini untuk meregang bagi memberi laluan kepada kepala dan tubuh bayi semasa proses kelahiran faraj. 

    urutan perineum

    Urutan ini boleh dilakukan sendiri atau dengan bantuan pasangan.

    Manfaat melakukan urutan perineum

    Dianggarkan lebih kurang 40 hingga 80% wanita akan mengalami koyakan faraj kesan daripada kelahiran secara normal.

    Sekitar ⅔ daripadanya memerlukan jahitan. 

    Kerosakan pada bahagian perineum boleh menyebabkan masalah dengan lantai pelvik, seperti inkontinen urin, rahim jatuh atau ketidakselesaan seksual.

    Berikut antara manfaat melakukan urutan ini pada trimester ketiga kehamilan, seperti:

    • Mempersiapkan tisu. Urutan perineum dapat meningkatkan aliran darah dan membantu tisu serta kulit meregang dengan mudah bersama kurang rasa sakit semasa bersalin
    • Mengurangkan risiko koyakan. 1 daripada 15 wanita yang kerap melakukan urutan ini tidak memerlukan episiotomi atau mengalami koyakan faraj yang perlu dijahit
    • Merendahkan risiko dijahit. Walaupun urutan mungkin tidak mencegah koyakan, tetapi ia dikatakan dapat mengurangkan keperluan jahitan sehingga 10%. Ini bermakna urutan tersebut membantu mengurangkan risiko koyakan teruk
    • Persiapkan diri untuk kelahiran anak. Urutan ini membolehkan anda fokus dan memahami sensasi yang mungkin akan dialami ketika melahirkan anak nanti. Ia membantu secara fizikal dan mental

    Berdasarkan kajian, pengkaji mendapati wanita yang melakukan urutan di bahagian perineum ini, pada fasa bersalin untuk meneran, akan mempunyai risiko koyakan tahap ketiga dan keempat lebih rendah.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan atau keraguan, dapatkan rundingan doktor sebelum melakukan urutan pada bahagian perineum ini.

    urutan perineum

    Langkah demi langkah

    Berikut cara-cara untuk melakukan urutan ini pada trimester ketiga kehamilan:

    Langkah 1: Basuh tangan sebelum memulakan urutan perineum 

    Mulakan setiap sesi urutan dengan mencuci tangan. Gunakan sabun yang tidak merengsakan kulit sekitar perineum.

    Jangan lupa untuk memotong kuku! Ia boleh mengurangkan risiko luka atau tercucuk kulit.

    Langkah 2: Posisi selesa

    Lakukan pada ruang peribadi yang selesa.

    Anda boleh lakukan urutan ini sambil berbaring di katil atau sofa dengan kaki terbuka dan lutut dibengkokkan.

    Pertimbangkan untuk menggunakan bantal sebagai sokongan bahagian atas tubuh jika ingin melakukan urutan secara duduk.

    Pilihan lain adalah dengan mengurut semasa mandi, sambil berdiri dengan sebelah kaki diangkat dan diletakkan di atas kerusi atau tandas duduk.

    Anda juga boleh melakukan urutan semasa duduk di tandas.

    Paling penting, pilihan posisi itu adalah bersih, peribadi dan selamat daripada risiko jatuh.

    Baca juga:

    Langkah 3: Mulakan urutan

    Sapukan permukaan tangan dengan sedikit minyak semula jadi. Kemudian masukkan 1 atau 2 ibu jari kira-kira 1 hingga 1 ½ inci ke dalam faraj.

    Pertimbangkan untuk menggunakan cermin bagi sesi urutan perineum kali pertama bagi memastikan anda mendapat kawasan yang betul.

    Tekan ibu jari di sepanjang dinding bawah faraj, ke arah dubur.

    Elakkan tekan terlalu kuat. Tetapi pastikan anda memberikan tekanan yang cukup untuk dapat merasakan regangan bersama sedikit sensasi terbakar.

    Langkah 4: Meregang

    Pastikan jari berada pada posisi ini untuk tempoh selama 1 hingga 2 minit.

    Kemudian lakukan gerakan berbentuk U secara perlahan dengan menggerakkan jari ke kiri dan ke kanan.

    Ingat bahawa anda sedang menyasarkan tisu di bahagian dalam faraj. Namun sensasi bahagian luar dan dalam faraj seharusnya dapat dirasai.

    urutan perineum

    Langkah 5: Bertenang semasa urutan perineum

    Cuba untuk bertenang dan berehat sebanyak mungkin semasa urutan dilakukan.

    Maksud berehat ini melibatkan urutan tubuh dan minda anda.

    Dari masa ke masa, anda mungkin akan menjadi lebih selesa dengan sensasi yang dirasai pada tisu yang semakin meregang.

    Tetapi pastikan setiap sesi urutan ini tidak melebihi tempoh 5 minit. 

    Tip kepada pasangan

    Pasangan boleh membantu melakukan urutan jika anda tidak mahu mengurut sendiri atau tidak dapat mencari posisi yang selesa dengan keadaan perut pada trimester ketiga kehamilan.

    Ajarkan pasangan untuk mengikuti arahan yang sama seperti melakukan urutan sendiri. Tetapi minta mereka menggunakan jari telunjuk dan bukannya ibu jari.

    Kekalkan berkomunikasi dengan pasangan jika merasakan mereka harus memberikan lebih atau kurang tekanan bergantung kepada sensasi ketidakselesaan atau terbakar yang dirasai.

    Kesimpulannya

    Urutan perineum adalah kaedah yang baik dilakukan sebagai salah satu persiapan diri untuk bersalin.

    Kaedah ini tidak menjamin tiada koyakan faraj atau prosedur lain seperti episiotomi atau jahitan, tetapi membantu anda membiasakan diri dengan sensasi yang akan dialami semasa bersalin nanti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan