Mempunyai lengan yang agak gemuk, gempal atau chubby mungkin akan buat individu rasa tidak selesa dan tidak yakin. Disebabkan itu, anda kena cuba senaman kecilkan lengan.
Kadangkala, anda mungkin sudah cuba pelbagai jenis diet untuk menurunkan berat badan dan ia mungkin berhasil untuk tubuh badan tetapi tidak pula pada bahagian lengan anda.
Jadi, kami akan kongsi beberapa jenis senaman kecilkan lengan yang ideal, mudah lagi efektif!
Kenapa lengan anda boleh jadi chubby?
Lengan anda mungkin akan kelihatan agak gemuk dan gempal angkara lemak yang mungkin telah terkumpul di ‘daerah’ berkenaan, sama juga seperti kawasan tubuh badan lain.
Perbezaannya, lemak di kawasan tubuh badan lain seperti perut mungkin lebih mudah untuk dikurangkan atau dihilangkan namun lain pula halnya jika ia wujud pada lengan.
Pengumpulan lemak pada lengan ini didalangi oleh pelbagai faktor risiko seperti usia kerana pada ketika ini individu akan lebih cenderung mengumpul lemak dan bukan otot.
Dalam pada itu, ia juga mungkin disebabkan oleh tahap metabolisme tubuh badan yang semakin menurun seiring meningkat usia dan akibatnya, lengan anda akan jadi chubby.
Bukan itu sahaja, faktor paling penting seperti kurang aktiviti fizikal juga adalah punca perkara ini berlaku. Jadi, adalah sangat penting untuk anda tahu senaman kecilkan lengan.
Senaman kecilkan lengan sangat penting!
Dalam usaha untuk mendapatkan lengan dengan saiz lebih ideal, anda perlu melakukan beberapa senaman untuk mengurangkan jisim lemak di samping meningkatkan jisim otot.
Justeru, adalah sangat penting untuk kita semua fokus pada otot bisep, otot trisep serta otot bahu agar anda mampu mendapatkan saiz lengan yang diingini. Jadi, sila mula sekarang, ya.
#1. Senaman tekan tubi
Senaman push up ini dapat bantu anda menguatkan lengan dengan cara membakar lemak-lemak yang wujud di kawasan terbabit. Tenang, ia tidak sesukar seperti yang anda sangka.
Pun begitu, gerakan senaman tekan tubi yang salah boleh mencederakan, jadi sila berwaspada:
- Posisikan tubuh badan anda secara meniarap dan menghadap lantai dengan tapak tangan dan lutut atau hujung jari kaki untuk menyokong semua berat
- Bengkokkan siku dengan perlahan dan turunkan tubuh badan sehingga dada hampir menyentuh lantai atau tikar senaman
- Pertahankan posisi ini selama beberapa detik sehingga anda telah dapat rasakan kontraksi pada lengan, perut dan punggung anda
- Dorongkan tubuh badan secara turun naik melalui bengkokan siku dan ulang proses ini sesuai dengan kemahuan serta kemampuan
#2. Lateral plank walk
Senaman kecilkan lengan ini berfungsi dengan cara menguatkan otot serta menghilangkan lemak pada kawasan tersebut dan ia juga mungkin adalah amat mudah untuk dilakukan.
Bagi menjayakan senaman lateral plank walk, anda perlu ikuti langkah-langkah yang berikut:
- Posisikan tubuh badan anda dengan posisi plank yakni sama dengan push up di mana berat badan disokong oleh tapak tangan dan hujung jari kaki
- Silangkan tapak tangan anda dengan cepat ke dalam kemudian ke luar dan dalam masa yang sama juga, gerakkan hujung jari untuk mengangkang dan menguncup secara serentak
- Ulangi proses ini dengan cermat sehingga lengan anda sudah rasa tidak lagi mampu bertahan
#3. Scissors
Sesuai dengan nama senaman ini, scissors atau senaman gunting adalah gerakan yang memerlukan anda untuk membuka dan menutup kaki dan tangan anda secara serentak.
Ia mampu menguatkan otot dan menghilangkan lemak pada tangan. Begini cara untuk buat:
- Posisikan tubuh badan anda dengan berdiri tegak dan lurus
- Pastikan kedua-dua belah kaki anda terbuka sedikit lebar daripada bahu
- Depakan kedua-dua belah tangan anda dengan luas ke samping anda
- Silangkan tangan dan kaki anda ke dalam secara serentak
- Ulangi proses ini beberapa kali dan pastikan anda melakukannya dengan urutan di mana tangan kanan dan kaki kanan perlu di atas tangan kiri dan tangan kanan serta sebaliknya secara berulang kali
#4. Opposite arm and leg lift
Senaman kecilkan lengan ini juga bagus untuk menguatkan otot pada bahagian tangan, kaki serta punggung di samping mendapatkan postur tubuh badan yang lebih bagus.
Anda keliru bagaimana ia perlu dilakukan? Berikut adalah cara-cara untuk senaman unik ini:
- Posisikan tubuh badan menghadap ke lantai atau tikar senaman dengan tapak tangan dan lutut anda menyokong berat badan seperti sedang menonggeng
- Mulai dengan angkat tangan kanan anda lurus ke depan dan kaki kiri anda lurus ke belakang
- Ulangi dengan angkat tangan kiri anda lurus ke depan dan kaki kanan anda lurus ke belakang
- Lakukan pergerakan ini dan tahan posisi tersebut sekurang-kurangnya beberapa minit sehingga terasa ada kontraksi pada otot-otot yang berkenaan
#5. Senaman olahraga kardio
Akhir sekali, anda juga mungkin boleh melakukan senaman kecilkan lengan dengan olahraga kardio di rumah kerana ia mungkin mampu untuk meningkatkan kekuatan dan mengurangkan kemerosotan otot!
Tidak juga sukar, anda hanya perlu bersenam ringan dengan berjalan, berlari, berjoging, berenang, berbasikal atau sebarang aktiviti yang sesuai dengan kondisi tubuh badan.
Bukan sahaja ia akan membuat saiz lengan anda tampak lebih ideal, senaman olahraga kardio ini juga sudah tentu sangat bagus untuk kesihatan dan kecergasan yang total.
[embed-health-tool-bmi]