Ketika ramai yang fokus pada senaman untuk membina stamina atau kekuatan, mungkin ada yang tertinggal satu jenis senaman yang amat penting iaitu senaman keseimbangan badan.
Sebaiknya, senaman keseimbangan perlulah dilakukan bersama-sama senaman kekuatan, ketahanan dan fleksibiliti untuk membentuk satu rutin yang lengkap.
Walau bagaimanapun, mungkin masih ramai yang tidak tahu kebaikan sebenar jenis senaman ini.
Keseimbangan badan sebenarnya mempunyai fungsi yang amat penting dalam pelbagai aktiviti yang kita lakukan setiap hari.
Misalnya, keseimbangan badan yang baik dapat membantu kita untuk berjalan dan menaiki tangga.
Ramai yang tidak sedar betapa lemahnya keseimbangan diri setelah mereka melakukan senaman.
Oleh sebab itu, jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang kebaikan senaman keseimbangan badan, jom baca artikel yang kami sediakan di bawah!
Kepentingan
Apa itu jenis senaman keseimbangan dan kepentingannya?
Senaman keseimbangan badan dapat membantu anda kekal yakin dan seimbang walau berapa pun umur anda.
Malah, individu yang melakukan senaman keseimbangan akan memperoleh manfaatnya ketika mereka menginjak ke hari tua.
Jika anda merupakan orang dewasa, senaman keseimbangan amat penting untuk membantu anda mengelakkan kemalangan seperti jatuh, sesuatu yang amat lazim berlaku lebih-lebih lagi dalam kalangan pesakit strok.
Senaman jenis ini juga amat bermanfaat untuk mereka yang obes kerana berat badan mereka selalunya tidak seimbang.
Oleh sebab itu, mereka lebih berisiko untuk hilang imbangan jika mereka bergerak secara tiba-tiba.
Ujian keseimbangan
Bagaimana hendak menguji jenis keseimbangan badan?
Sebenarnya, anda boleh menguji keseimbangan badan anda dengan beberapa langkah yang mudah:
- Cuba tutup mata dan berdiri sambil merapatkan kaki. Sepatutnya, anda boleh kekal dalam posisi tersebut tanpa terjatuh atau bergerak selama sekurang-kurangnya 30 saat.
- Kemudian, cuba berdiri dengan satu kaki ke depan sambil menutup mata. Sama seperti senaman tadi, pastikan anda tidak jatuh atau bergerak sekurang-kurangnya selama 30 saat.
- Cuba angkat tangan anda ke hadapan untuk 30 saat. Mereka yang mempunyai masalah keseimbangan badan selalunya sukar untuk kekal tegak ketika melakukan aktiviti ini.
- Berdiri sambil mengangkat sebelah kaki selama 30 saat. Individu yang boleh bertahan dalam posisi ini dalam masa yang ditetapkan mempunyai keseimbangan badan yang baik.
- Akhir sekali, cuba berdiri dengan satu kaki sambil menutup mata. Jika anda tidak boleh melakukannya, anda mungkin perlu lakukan sesuatu untuk memperbaiki keseimbangan badan anda.
Manfaat
Kebaikan jenis senaman keseimbangan badan
Untuk rutin senaman yang lebih komprehensif, cuba masukkan sekali komponen keseimbangan badan. Antara kebaikan senaman jenis ini yang anda mungkin tidak tahu ialah:
1. Meningkatkan ‘kesedaran’ tubuh badan
Maksud kesedaran atau awareness di sini merujuk kepada keupayaan badan untuk mengesan kedudukan anggota badan tanda melihatnya.
Sebagai contoh, mereka yang kurang kesedaran tubuh badan perlu melihat kaki mereka ketika mereka menuruni tangga. Ini merupakan salah satu tanda kurangnya keseimbangan badan.
Malah, mereka yang mempunyai kesedaran tubuh badan sukar untuk mengalami kecederaan seperti jatuh atau lain-lain.
2. Masa reaksi badan yang lebih pantas
Mereka yang kehilangan keseimbangan badan juga tidak mampu untuk memberikan reaksi lebih pantas jika berlakunya sebarang kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan.
3. Lebih cepat sembuh
Masalah keseimbangan badan juga lebih banyak berlaku dalam kalangan pesakit yang sedang sembuh daripada penyakit strok atau osteoporosis.
Senaman keseimbangan badan dapat membantu memperbaiki keseimbangan diri dan mengurangkan risiko pesakit untuk mengalami kemalangan seperti jatuh ketika mereka berada di rumah.
4. Menyempurnakan jenis senaman lain
Individu yang melakukan senaman keseimbangan badan dapat menguatkan badan, lebih-lebih lagi jika mereka turut sama menjalani senaman jenis lain seperti kekuatan dan juga ketahanan.
Oleh sebab itu, rejimen senaman mereka kini lebih sempurna dan mereka juga akan mempunyai tubuh badan yang lebih sihat!
Kesimpulan
Jika anda gemar bersenam, pastikan anda turut melakukan senaman keseimbangan untuk menyempurnakan rutin anda.
Malah, senaman jenis ini merupakan kunci untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang tidak diingini ketika kita semakin berusia.
Jika anda berminat, cuba lakukan senaman seperti yoga atau Tai Chi untuk memperbaiki keseimbangan badan anda.
Anda pasti nampak perbezaannya!
[embed-health-tool-heart-rate]