backup og meta

Wanita Hendak Selesa Ketika Bersenam, Yang Mana Perlu Pakai: Bra Sukan Atau Coli Biasa?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/01/2023

    Wanita Hendak Selesa Ketika Bersenam, Yang Mana Perlu Pakai: Bra Sukan Atau Coli Biasa?

    Bagi wanita yang aktif, sports bra atau bra sukan merupakan satu keperluan. Di samping penggunaan kasut serta pakaian yang betul, pemakaian bra sukan semasa bersenam juga penting dan ada pelbagai kebaikan dari segi kesihatan.

    Malah, disebabkan populariti dan keselesaan yang dijanjikan oleh sports bra, ramai juga wanita memilih untuk memakainya setiap hari.

    Tetapi, apa sebenarnya manfaat kesihatan yang ada pada bra sukan jika dibandingkan dengan bra biasa? Adakah pemakaiannya wajib semasa bersenam, atau hanya sekadar pelengkap gaya?

    Paling penting sekali, bolehkah bra dipakai setiap hari?

    Jom, ikuti artikel kami untuk ketahui 5 sebab mengapa anda perlu pakai sports bra dan bukan bra biasa ketika bersenam.

    1. Elakkan kecederaan dengan pemakaian bra sukan

    bra sukan

    Pernahkah anda dengar mengenai ligamen Cooper? Ligamen ini merupakan sejenis tisu penghubung yang mengekalkan bentuk serta menyokong buah dada wanita.

    Ligamen ini dinamakan sempena pakar bedah yang menemuinya pada tahun 1840, Astley Cooper. Untuk pengetahuan anda, ligamen ini mudah tercedera lebih-lebih lagi ketika anda melakukan senaman.

    Ketika bersenam, buah dada wanita akan menerima hentakan sebanyak 5 kali ganda berbanding berat asalnya.

    Tanpa perlindungan daripada sports bra, ligamen Cooper akan tercedera dan lama-kelamaan akan membuatkan buah dada jadi kendur.

    Pemakaian bra sukan ketika bersenam amat penting kerana ligamen Cooper yang telah tercedera tidak akan kembali ke bentuknya yang asal. Oleh sebab itu, buatlah pilihan yang bijak ya!

    2. Kurangkan kesakitan ketika berlari

    Semua wanita pasti faham rasa sakit yang dialami ketika berlari. Disebabkan pergerakan yang berlaku ketika bersukan, ramai wanita yang akan pulang ke rumah dengan keadaan sakit belakang dan buah dada.

    Sebab itulah ramai pakar menggalakkan pemakaian sukan semasa bersenam. Rekaannya juga bertujuan untuk mengurangkan pergerakan dan memaksimumkan sokongan.

    Malah, ada juga bra untuk bersukan yang mempunyai pencirian seperti tali yang lebih lebar, fabrik yang lebih mudah menyerap peluh dan tidak menggunakan sebarang wayar besi untuk keselesaan yang optimum semasa bersukan.

    Oleh sebab itu, pemilihan sports bra amat penting untuk mengekalkan keselesaan. Malah, tekanan pada bahu dan belakang badan juga dapat dikurangkan.

    3. Elakkan kerlingan nakal

    bra sukan

    Sukar untuk wanita mengelakkan segala pandangan yang dilemparkan daripada orang lain ketika bersenam.

    Malah, semua kerlingan nakal ini bukan sahaja annoying, ia juga boleh buatkan kita rasa tidak selesa.

    Walaupun semua ini 100% bukan salah wanita, pemakaian bra sukan dapat membantu mengurangkan semua pergerakan ‘ekstrem’ ini.

    Disebabkan sports bra dapat memberikan sokongan yang lebih baik, pemakaiannya ketika bersenam juga dapat membantu wanita dengan saiz buah dada yang lebih besar.

    Walaupun ia mungkin tidak boleh menghentikan semua pergerakan, tetapi sekurang-kurangnya anda akan rasa lebih selesa ketika bersenam jika tiada lagi mata-mata yang memandang.

    4. Lebih bergaya dengan bra sukan

    Banyak jenama sukan telah mengeluarkan rekaan sports bra yang lebih trendy dan bergaya.

    Malah, mereka juga mempunyai teknologi tersendiri untuk mengekalkan keselesaan wanita ketika bersenam.

    Tidak mampu membeli bra sukan daripada jenama terkenal? Jangan risau, pasaran atas talian juga dipenuhi dengan lambakan bra sukan yang cantik dan mampu milik.

    Oleh sebab itu, bukan alasan lagi untuk anda tidak menggunakan sports bra ketika bersenam. Lagipun, anda boleh nampak lebih cantik dan bergaya walaupun ketika sedang berjoging!

    5. Sokongan tambahan untuk pemulihan

    Jika anda pernah melakukan sebarang prosedur kesihatan, anda amat digalakkan untuk menggunakan sports bra untuk pemulihan yang lebih baik.

    Malah, jika anda pernah melakukan pembedahan plastik di sekitar kawasan payudara, pakar bedah juga menyarankan agar wanita menggunakan bra sukan berbanding bra biasa untuk mempercepatkan pemulihan.

    Selain itu, sesuaikan juga bra dengan jenis senaman yang anda lakukan.

    Jika anda suka berlari, bra yang sesuai digunakan mungkin berbeza dengan bra untuk wanita yang gemar melakukan yoga.

    Tidak salah jika anda inginkan rekomendasi daripada jurujual di kedai sukan kegemaran anda. Mana tahu, mereka mungkin dapat membantu anda untuk memilih bra sukan yang terbaik.

    Gunakan bra sukan yang sesuai

    bra sukan

    Setelah membaca penjelasan kami di atas, pasti anda ingin membeli sehelai dua sports bra untuk bersenam.

    Tapi, tunggu dulu! Untuk pengetahuan anda, bra untuk bersukan tidak dicipta untuk dipakai di bawah baju atau untuk dipakai setiap hari.

    Tidak salah jika ada ingin memakainya bawah baju biasa. Tetapi, sports bra kurang seksi dan tidak mempunyai potongan yang feminin. Oleh sebab itu, janganlah pakai bra sukan jika anda ingin menggayakan kebaya atau blaus.

    Walaupun bra sukan menjanjikan keselesaan kepada semua pemakainya, anda perlu ingat bahawa ia dicipta untuk bersenam dan bukannya untuk pemakaian harian.

    Selain itu, pastikan bra yang anda pilih selesa dan dapat memberikan sokongan yang anda inginkan.

    Bukan sahaja ia baik untuk kesihatan, malah pemakaian bra yang betul juga boleh meningkatkan keyakinan diri anda!

    Jadi, tunggu apa lagi, jom cari bra sukan yang sempurna untuk bersenam!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan