backup og meta

Kanser bibir

Definisi

Apakah kanser bibir?

Kanser atau barah bibir adalah sejenis penyakit berkenaan sel yang tidak membesar secara normal sehingga tidak terkawal yang mana membentuk luka (lesi) dan ketumbuhan pada bibir. Kanser bibir dan kanser-kanser mulut yang tergolong dalam kumpulan kanser kepala dan leher. Kanser bibir sangat boleh dirawat sekiranya dikenal pasti dari awal.

Adakah kanser bibir sering berlaku?

Kanser bibir adalah kanser yang paling biasa berlaku bagi kumpulan kanser mulut. Untuk maklumat lanjut, berbincanglah dengan doktor anda.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom kanser bibir?

Simptom-simptom biasa muncul bagi kanser bibir adalah:

  • Kudis, luka, lepuh (gelembung berisi air), ulser, atau benjolan pada mulut yang mana tidak surut / berkurang
  • Tompokan merah atau putih pada bibir
  • Pendarahan atau kesakitan pada bibir
  • Pembengkakkan pada geraham

Kanser bibir mungkin tidak menunjukkan apa-apa simptom dan adakalanya hanya pertama kali dikenal pasti oleh doktor gigi apabila pesakit membuat pemeriksaan gigi yang biasa. Sekiranya anda mendapati ada kudis atau benjolan pada bibir anda, ia tidaklah bermakna anda mempunyai kanser bibir. Namun, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor atau doktor perubatan. Boleh jadi juga terdapat simptom yang tidak seperti disenaraikan di atas. Jika anda risaukan tentang tanda-tanda yang tidak normal pada bibir anda, hendaklah anda berunding dengan doktor anda. Bilakah sepatutnya saya bertemu dengan doktor?

Anda dinasihatkan untuk bertemu berbincang dengan doktor anda sekiranya anda mempunyai simptom-simptom seperti di atas (kudis, luka, dan sebagainya pada bibir) ataupun anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang simptom-simptom tersebut. Setiap orang mungkin berbeza. Sangat baik sekiranya anda dapat berbincang dengan doktor anda tentang apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca-punca

Apakah punca kanser bibir?

Berdasarkan kajian dari ‘National Institute of Dental and Craniofacial Research’, kebanyakan kes kanser mulut adalah dikaitkan dengan penggunaan tembakau dan pengambilan alkohol yang tinggi.

Terdedah dengan cahaya matahari juga merupakan faktor yang utama, terutamanya bagi orang yang bekerja di luar bangunan kerana mereka lebih terdedah dengan cahaya matahari untuk tempoh yang lama.

Faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada kepada kanser bibir?

Terdapat banyak faktor risiko yang menyebabkan kanser bibir, antaranya:

  • Merokok atau menggunakan produk yang berasaskan tembakau (rokok, cerut, paip atau gula-gula getah tembakau)
  • Pengambilan alkohol yang tinggi
  • Terdedahnya kepada cahaya matahari (yang semulajadi atau buatan), termasuklah penggunaan alat katil pesamakan (‘tanning bed’, iaitu alat katil pencahayaan sinar UV ke atas badan), untuk satu tempoh yang lama
  • Mempunyai kulit yang lembut ataupun berkulit cerah
  • Berjantina lelaki
  • Dijangkiti virus ‘human papillomavirus’ (HPV), sejenis virus penyakit kelamin
  • Anda berumur 40 tahun dan ke atas

Secara majoritinya, kanser mulut berkait dengan penggunaan tembakau. Risikonya lebih tinggi bagi seseorang yang menggunakan tembakau (merokok dan sebagainya) serta mengambil alkohol, berbanding dengan seseorang yang menggunakan salah satu daripadanya.

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan ini tidaklah mengetepikan sebarang nasihat perubatan berkenaannya. SILA berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah kanser bibir dipastikan?

Jika anda mempunyai simptom-simptom kanser bibir, anda disarankan untuk bertemu dengan doktor anda. Mereka akan melakukan pemeriksaan fizikal pada bibir anda dan bahagian dari mulut anda untuk mencari kawasan yang tidak normal dan cuba untuk mengenal pasti punca-punca yang berkaitan.

Doktor anda akan menggunakan jari bersarung tangan untuk merasai sendiri dalam bibir anda dan menggunakan cermin dan lampu untuk pemeriksaan di salam mulut anda. Mereka juga kan memeriksa leher anda untuk mengenal pasti kelenjar-kelenjar limfa yang membengkak.

Doktor anda akan bertanya pada anda tentang:

1. Latar belakang kesihatan

2. Sejarah tabiat merokok dan pengambilan alkohol

3. Penyakit di masa lalu

4. Rawatan perubatan dan pergigian yang pernah diterima

5. Sejarah latar belakang kesihatan keluarga

6. Apa-apa ubat-ubatan yang diambil

Jika anda disyaki kanser bibir, biopsi akan dijalankan untuk menentukan diagnosis. Semasa prosedur ini, sampel kecil diambil dari kawasan yang tidak normal ini untuk dikaji di bawah mikroskop dalam makmal patologi. Sekiranya doktor mengesahkan anda mempunyai kanser bibir, mereka akan melaksanakan beberapa ujian pemeriksaan lagi bagi memastikan sejauh mana teruknya barah tersebut atau untuk melihat adakah ia telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Ujian-ujian yang tersebut termasuklah:

  • Imbas CT
  • Pengimejan resonan magnetik (MRI)
  • Pengimejan PET (Positron emission tomography)
  • Pengimejan sinar-X (bahagian dada)
  • Kiraan darah lengkap (Complete blood count)
  • Endoskopi (alat saluran yang halus yang dimasukkan melalui torehan kulit untuk membolehkan doktor melihat di dalam badan)

Bagaimanakah kanser bibir ini dirawat?

Pembedahan, terapi sinar radiasi dan kemoterapi adalah sebahagian rawatan yang disediakan untuk merawat kanser bibir. Selain itu, rawatan pilihan yang ada adalah seperti ‘terapi bersasar’ (targeted therapy) dan ‘rawatan bersiasat’ (investigative treatment)seperti immunoterapi dan terapi genetik.

Sepertimana kanser-kanser yang lain, rawatan kanser bibir bergantung kepada tahapan kanser tersebut dan sejauhmana perkembangannya (termasuklah saiz ketumbuhannya) dan keadaan kesihatan pesakit secara umum.

Jika ketumbuhan itu kecil, pembedahan biasanya akan dilaksanakan untuk membuangnya. Ini akan melibatkan semua tisu yang terbabit dengan kanser tersebut, dengan tambahan rawatan (pembedahan plastik) menstrukturkan semula bibir tersebut (tujuan kosmetik mahupun fungsinya)

Sekiranya tumor itu lebih besar ataupun sudah tahap yang teruk, rawatan terapi sinar radiasi dan kemoterapi akan digunakan untuk mengecutkan tumor itu sebelum atau selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko penyakit itu berulang.

Bagi yang merokok, berhenti dari merokok sebelum rawatan dapat meningkatkan kejayaan hasil rawatan tersebut.

Ubah gaya hidup dan rawatan dari rumah.

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan dari rumah membantu menguruskan penyakit kanser bibir ini?

Berikut dalah beberapa perubahan gaya hidup dan rawatan rumah yang membantu untuk menurunkan risiko kanser bibir.

Kanser bibir boleh dihalang dengan mengelakkan diri dari menggunakan tembakau dalam apa-apa sahaja bentuknya, elakkan daripada mengambil alkohol secara berlebihan dan bataskan diri anda dari terdedah kepada sinaran matahari, sama ada yang semula jadi ataupun buatan, khususnya bagi penggunaan ‘tanning bed’.

Kebanyakan kanser bibir ini biasanya dikenal pasti buat pertama kalinya ke atas seseorang pesakit oleh doktor. Oleh demikian, ia amat penting untuk kita sentiasa melakukan pemeriksaan gigi secara rutin dengan membuat temu janji dengan pengamal pergigian yang profesional dan berdaftar. Terutamanya sekiranya anda berisiko tinggi mendapat kanser bibir.

Jika anda mempunyai sebarang apa-apa persoalan berkaitan, silalah berbincang dengan doktor untuk mendapatkan kefahaman dan solusi yang terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Versi Terbaru

27/11/2019

Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Betul Ke Biji Aprikot Boleh Rawat Kanser? Klik Artikel Untuk Jawapan

Ada Ahli Keluarga Menghidap Barah? Ini Tip Jaga Pesakit Kanser Daripada Penjaga Profesional


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 27/11/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan