backup og meta

Rajinkan Diri Untuk Makan Ulam, Ini 8 Jenis Ulam Yang Popular, Rugi Tak Cuba Makan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 02/03/2022

    Rajinkan Diri Untuk Makan Ulam, Ini 8 Jenis Ulam Yang Popular, Rugi Tak Cuba Makan!

    Adakah anda masih makan ulam? Apakah khasiat ulam-ulaman yang anda tahu? Urbanisasi, pilihan gaya hidup tidak sihat, selain genetik, semuanya memainkan peranan dalam pertambahan kadar obesiti di Malaysia.

    Dengan faktor risiko yang diteruskan generasi demi generasi, golongan muda dan kanak-kanaklah yang paling terkesan.

    Apatah lagi, menurut laporan Euromonitor, kadar pengambilan makanan proses di Malaysia meningkat sebanyak 105% dalam masa 5 tahun.

    Malaysia bukan sahaja antara negara dengan kadar obesiti kanak-kanak paling tinggi di dunia, bahkan, menurut kajian, pengambilan serat dalam kalangan remaja Malaysia tidak sampai 10% daripada saranan WHO.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan rawatan tradisional dan herba, anda boleh klik di sini.

    kadar obesiti

    imej ihsan Newsweek

    Melihatkan senarai pilihan makanan harian di Malaysia yang kaya karbohidrat dan lemak, mungkin kita akan mudah mengecop budaya makan Malaysia sebagai menggemukkan.

    Tetapi jika cara pemakanan tradisional dikaji, pasti kita akan mendapati bahawa budaya makan masyarakat terdahulu sebenarnya sangat seimbang. Rahsianya? Dengan makan ulam sebagai pelengkap hidangan.

    Apa itu ulam-ulaman?

    Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.

    Di Malaysia, lebih daripada 120 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam-ulaman, daripada tumbuhan herba kecil dan melata, jenis semusim seperti pegaga, sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas, yang biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara.

    Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terung juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Dalam erti kata lain, ulam-ulaman ini sama sahaja seperti salad dalam diet barat.

    Berikut merupakan beberapa jenis ulam-ulaman yang popular:

    1. Ulam Raja

    khasiat ulam-ulaman

    Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.

    Menariknya dibandingkan dengan buah-buahan seperti strawberi, plum, oren, epal dan tomato, ulam raja mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi. Maka layaklah tumbuhan ini dikenali dengan nama ulam raja.

    Ulam raja juga mempunyai kesan melindungi tulang yang dapat mengurangkan risiko osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.

    2. Sambung Nyawa

    sabung nyawa

    Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens didapati berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan.

    Menariknya, kajian dalam haiwan menunjukkan ulam-ulaman ini mempunyai khasiat untuk menurunkan gula dalam darah pada haiwan yang diabetes, dan tidak pada haiwan yang normal.

    3. Daun Selom

    daun selom

    Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori.

    Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering. Ulam ini juga sesuai dibuat ‘urap’ iaitu campuran kelapa parut, cili api, gara, belacan yang ditumbuk halus dan digaul dengan daun selom.

    4. Cekur

    makan ulam

    Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi.

    Selain di makan sebagai ulam, daun cekur turut digunakan untuk merawat bengkak, pening kepala, sakit perut, sakit gigi dan reumatisme (radang dan sakit pada otot dan sendi).

    5. Pegaga

    daun pegaga

    Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda.

    Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa ulam-ulaman ini mempunyai khasiat yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk penyembuhan luka.

    Maka tidak hairanlah kini ekstrak pegaga digunakan dalam produk krim muka, dikenali sebagai cica cream yang boleh didapati daripada jenama-jenama produk terkenal.

    6. Daun Kaduk

    makan ulam

    Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper Sarmentosum, agak menyerupai daun sireh tetapi tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat sebaliknya tumbuh di atas tanah.

    Makan ulam kaduk yang mempunyai rasa agak payau dan sedikit pahit ini dikatakan mempunyai manfaat untuk masalah sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.

    7. Petai

    makan ulam

    Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah.

    Kandungan antioksidan yang tinggi dalam petai didapati pada bahagian biji dan pod tumbuhan ini.

    Dalam perubatan tradisional Melayu, buah petai dipercayai berkesan dalam merawat penyakit jantung dan kencing manis selain membersihkan buah pinggang.

    Digabungkan dengan serat, petai memberikan rangsangan tenaga yang cepat, berterusan dan mencukupi. Penyelidikan telah membuktikan bahawa dengan hanya dua hidangan petai menyediakan tenaga yang mencukupi untuk latihan berintensiti tinggi selama 90 minit.

    Salah satu kesan sampingan utama ketika makan ulam petai adalah ia memberikan nafas yang agak berbau dan gas perut yang berbau. Ia mengandungi asid amino tertentu yang memberikan bau yang kuat kepada air kencing seseorang, kesan yang dapat dilihat sehingga dua hari selepas pengambilan dalam pemakanan.

    8. Makan ulam jering

    khasiat ulam-ulaman

    Selain petai, ulam lain dengan bau yang kuat ialah jering. Jering mempunyai kandungan asid amino yang unik, asid djenkolic yang mempunyai kesan antidiabetes.

    Kajian dalam haiwan mendapati kesan positif pada kandungan gula dalam darah, selera makan dan berat badan haiwan yang diabetes dan normal.

    Tetapi, dalam masa yang sama, pengambilan jering boleh menyebabkan masalah jantung, buah pinggang, hati, paru-paru dan pankreas pada haiwan normal. Oleh itu, pengambilan jering hendaklah secara terkawal.

    Terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang popular seperti rebung buluh, pucuk betik, kacang botol dan peria katak. Semuanya mempunyai pelbagai rasa yang berbeza untuk anda terokai.

    Mengapa anda patut makan ulam?

    Tahukah anda, sehingga kini, kebanyakan ulam-ulaman tidak ditanam secara komersial?

    Ini bererti pelengkap hidangan ini kebanyakannya merupakan tumbuhan liar yang dipetik sendiri oleh penjual atau ditanam sendiri oleh pengguna tempatan.

    Jadi, bayangkan sahaja khasiat makan ulam yang tumbuh dalam persekitaran semula jadinya, tanpa menggunakan racun serangga.

    Ini juga bermakna kebanyakan tumbuh ini dapat bertahan daripada serangga perosak. Tanaman selom, contohnya, didapati tidak mempunyai sebarang penyakit dan serangga perosak yang direkodkan.

    Selain itu, mengamalkan pengambilan ulam juga mencipta permintaan pasaran kepada hidangan yang kian ditelan zaman ini.

    Apatah lagi, sesetengahnya merupakan spesis tumbuhan yang kian berkurang sepertimana dalam rekod International Union for Conservation of Nature.

    Permintaan pasaran akan menggalakkan usaha penanam semula oleh petani tempatan walaupun sekadar kecil-kecilan.

    Makan ulam juga selalu digandingkan dengan pencicah juga meningkatkan manfaat amalan pemakanan ini.

    Pencicah seperti cincalok, budu, sambal belacan dan tempoyak semuanya dihasilkan melalui proses fermentasi, menghasilkan produk kaya dengan probiotik atau bakteria baik yang membantu sistem penghadaman badan.

    khasiat ulam-ulaman

    Mungkin, bagi sesetengah ahli masyarakat, makan ulam dan pencicahnya dilihat sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Sementara pemakanan salad yang dipopularkan kulinari barat kelihatan lebih hipster dan moden.

    Hidangan salad walaupun sihat, kadangkala ditambah sos dressing komersial siap yang penuh pengawet. Kebanyakan dressing salad dalam botol siap adalah tinggi dengan lemak tepu, garam dan gula tambahan.

    Sedangkan ulam-ulaman bukan sahaja lebih segar kerana hasil tempatan, bahkan kebanyakan pencicahnya kaya dengan probiotik.

    Oleh itu, mengapa anda perlu mencari sayuran yang diimport daripada luar dengan harga yang mahal, kandungan nutrien yang tidak setanding khasiat ulam-ulaman tempatan?

    Jadi, mulakan inisiatif makan ulam ini daripada dapur rumah anda sendiri. Rajin-rajinlah mendapatkan bekalan ulam-ulaman yang penuh khasiat ini daripada pasar tani setempat.

    Walaupun anda tidak biasa makan ulam, cubalah dahulu. Kerana dari mulut, pasti turun ke hati!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 02/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan