backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan

Jimat Masa Iron Zup Zap Sudah Siap, Ini 7 Tip Pakaian Mudah Gosok, Tak Perlu Iron Kayangan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/04/2023

Jimat Masa Iron Zup Zap Sudah Siap, Ini 7 Tip Pakaian Mudah Gosok, Tak Perlu Iron Kayangan!

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, pasti agak malas untuk seterika baju yang menimbun setiap kali hujung minggu. Ini kerana ia boleh mengambil masa yang agak lama untuk habis diseterika. Untuk gosok baju hari-hari, terasa malas dan tidak efisyen pula. Jadi, bagaimana ingin gosok baju yang menggunung di rumah dengan lebih pantas dan senang?

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.

Tak perlu seterika mahal, ikut sahaja tip ini

Kami tahu, tidak semua orang berkemampuan untuk membeli seterika mahal seperti yang sering diviralkan dalam media sosial.

Harga seterika tersebut yang mencapai ribuan ringgit pasti membuatkan ramai suri rumah terpaksa melupakan impian untuk mendapatkannya.

Walau bagaimanapun, kerja gosok baju juga boleh menjadi lebih mudah dan senang biarpun anda tidak mempunyai seterika kayangan itu.

Ikut sahaja tip-tip yang kami sediakan di bawah ini.

#1. Gunakan mesin pengering baju (dryer)

Jika anda mempunyai mesin pengering baju atau juga disebut dryer di rumah, ia sebenarnya boleh membantu memudahkan kerja-kerja seterika baju.

Ia juga lebih sesuai untuk jumlah baju yang banyak. Caranya mudah sahaja, semburkan sedikit air pada pakaian yang hendak digosok.

Kemudian, masukkannya ke dalam mesin pengering baju selama beberapa minit.

Haba dalam mesin pengering akan menyebabkan air bertukar menjadi wap atau stim dan seterusnya mengurangkan kedutan pada baju.

Ia pasti lebih memudahkan kerja-kerja menggosok pakaian.

#2. Semburkan air ketika seterika baju

seterika baju

Mungkin ramai yang sudah tahu cara ini. Namun, adakah ia benar-benar berkesan mempercepatkan proses menggosok pakaian?

Ya, semburan air pada pakaian yang hendak digosok sangat membantu menghilangkan kedutan dengan cepat tanpa perlu bersusah payah menggosok berkali-kali.

Selain itu, ia juga menjadikan pakaian anda lebih cantik dan kemas.

#3. Sidai baju sejurus membasuh

Salah satu cara mengurangkan kedutan pada pakaian yang hendak digosok adalah dengan menggantungkannya dengan pantas selepas dicuci.

Selepas anda mencuci baju atau mengeringkannya, sidai dengan menggunakan penyangkut pakaian secepat yang boleh.

Ini kerana, pada waktu ini, pakaian masih agak lembap atau suam.

Jadi, kedutan lebih kurang terjadi dan ia meluruskan segala kedutan yang ada pada pakaian anda. 

#4. Kibaskan pakaian sebelum gosok

seterika baju

Setiap kali selepas mencuci dan mengeringkan pakaian, anda perlu mengibas-ngibas setiap helai baju anda sebelum proses seterika baju.

Kibasan ini membantu mengembalikan semula bentuk baju anda dan melepaskan segala lipatan pada baju.

Dengan itu, baju akan menjadi lebih mudah untuk diseterika nanti.

#5. Gosok pakaian secara lurus

Biasanya, pakaian akan digosok dengan satu gerakan memanjang yang lurus.

Namun, jika anda menggosok pakaian dengan gerakan seterika yang berpusar atau membulat, sila hentikan kaedah tersebut dengan segera.

Kaedah menggosok pakaian secara berpusar hanya akan merosakkan fabrik pakaian.

Ia juga boleh menarik atau mengembangkan jahitan pakaian anda.

Seeloknya, gosok pakaian dengan satu arah memanjang sama ada dari kiri ke kanan atau atas ke bawah sahaja. 

#6. Gantikan alas papan gosok sebelum seterika baju

seterika baju

Jika papan seterika sudah agak lama dan lusuh, cuba periksa alasnya terlebih dahulu.

Besar kemungkinan, alas papan gosok sudah rosak atau menipis sehingga keadaan permukaan papan seterika boleh dirasa dengan tangan.

Jika ia sudah tidak elok, gantikan dengan alas yang baru dan cuba lapikkan dengan span tahan panas sebelum dibalut dengan alas.

Span boleh membantu proses menggosok menjadi lebih pantas dan mudah. 

#7. Balut papan seterika dengan aluminium foil

Sebelum anda seterika pakaian, cuba tanggalkan alas papan gosok terlebih dahulu.

Kemudian, ambil kerajang aluminium atau aluminium foil dan balutkan keseluruhan permukaan papan seterika.

Setelah itu, pasang semula alas papan gosok dan anda boleh mula menggosok seperti biasa.

Dengan cara ini, anda mungkin tidak perlu menggosok pakaian pada dua-dua sisi.

Ini kerana, sewaktu anda menggosok satu sisi pakaian, kerajang aluminium akan turut memanaskan sisi di bawah dan sekali gus mengurangkan kedutan pada pakaian sewaktu digosok. 

Kesimpulan 

Jika anda mampu, belilah seterika baju wap yang mahal itu untuk memudahkan kerja-kerja gosok baju anda.

Jika tidak, ikuti sahaja 7 tip yang kami kongsikan di atas kerana ia turut memberikan kesan yang sama ketika anda menggosok pakaian.

Selamat mencuba!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.



Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/04/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan