backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Habit Sihat & Kesannya Kepada Badan Kita: Bagaimana Ingin Memulakannya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/06/2021

Habit Sihat & Kesannya Kepada Badan Kita: Bagaimana Ingin Memulakannya?

Kami faham, bukan mudah untuk mematahkan sebarang tabiat yang tidak baik. Tetapi, jika anda ingin berubah dan cuba melakukan habit atau amalan baik untuk memastikan badan anda kekal sihat, mungkin inilah masa yang paling sesuai!

Salah satu isu yang mungkin anda hadapi pada awalnya adalah bagaimana untuk kekal komited. Pasang azam memang mudah, tetapi, hendak melakukannya itu yang susah!

Walau apapun aktiviti yang anda lakukan untuk kesihatan anda, ingatlah, perubahan hanya akan berlaku jika anda kekal berdisiplin.

Ya, mungkin sukar untuk anda terus melakukan semua amalan yang sihat ini. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil juga!

Tetapi, sebelum anda melakukan apa-apa perubahan dari segi habit, penting untuk anda kenal pasti apakah amalan baik dan tabiat yang tidak baik untuk kesihatan anda.

Jom, baca kupasan lanjut kami di bawah!

Baca lebih lanjut tentang Habit Sihat di sini.

Apakah contoh amalan baik untuk badan sihat?

Sebenarnya, ada banyak amalan baik yang boleh dilakukan setiap hari untuk fizikal dan mental yang lebih sihat. Tetapi, secara asasnya, ada 6 komponen utama yang perlu anda tahu.

1. Katakan tidak kepada amalan merokok

amalan baik

Semua orang tahu, amalan merokok merupakan sesuatu yang tidak sihat.

Malah, kerajaan juga sudah lama cuba membanteras amalan ini dengan cara meningkatkan harga cukai rokok dan mengharamkan orang ramai daripada menghisap rokok di tempat awam.

Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan anda kekal sihat adalah dengan berhenti merokok.

Walau bagaimanapun, berhenti hanyalah langkah pertama. Jalan yang perlu anda tempuh masih jauh dan ia mungkin tidak semudah yang anda sangka.

Oleh sebab itu, mereka yang ingin berhenti merokok perlulah mempunyai sistem sokongan yang kuat. 

Pastikan ahli keluarga faham dan menyokong anda jika anda ingin berhenti merokok.

Malah, ada banyak produk yang dapat membantu perokok untuk meninggalkan habit yang tidak baik ini secara perlahan-lahan. 

Apa yang penting, gunakan kesemua sumber yang ada untuk bantu anda tinggalkan amalan ini.

2. Kurangkan pengambilan alkohol

Selain merokok, amalan minum minuman beralkohol juga perlulah dikurangkan.

Walau bagaimanapun, tidak seperti merokok, pengambilan alkohol masih boleh diterima dengan syarat ia diambil secara sederhana. 

3. Selalu bersenam untuk badan sihat

Bersenam secara rutin merupakan salah satu perkara penting yang anda boleh lakukan untuk kekal sihat.

Malah, semua orang boleh mendapatkan manfaat daripada aktiviti fizikal, tidak kiralah apa jua umur, jantina, bangsa atau bentuk badan.

Untuk pengetahuan anda, amalan bersenam secara rutin dapat membantu anda untuk kekal sihat hingga ke hari tua.

Tambah lagi, mereka yang bersenam juga kurang berisiko untuk mengalami depresi dan lebih mudah untuk tidur dengan nyenyak pada waktu malam.

4. Diet yang seimbang

Definisi ‘diet yang seimbang’ mungkin berbeza mengikut individu.

Namun, pengambilan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin penuh, dan lemak yang sihat seperti telur, keju dan sebagainya merupakan sebahagian daripada diet yang sihat.

Pada masa yang sama, elakkan mengambil terlalu banyak daging yang diproses, minuman tinggi gula dan makanan bergaram.

5. Pastikan berat badan sihat

Anda lebih berisiko untuk terkena penyakit jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau berat badan yang kurang daripada normal. 

Oleh sebab itu, untuk kekal sihat, anda perlulah mempunyai berat badan yang ideal.

Dengan kalkulator BMI, anda boleh mengira berapa berat badan ideal anda. Secara amnya, berat badan yang normal mempunyai bacaan BMI sebanyak 18.5-24.9.

[health_tool_article id=’32121″]

6. Jaga kebersihan diri

Untuk mempunyai badan yang sihat, kebersihan diri perlulah dijaga! 

Sebagai contoh, cuba pastikan kebersihan badan terjaga terutamanya pada bahagian kuku, mulut, rambut, tangan dan kaki.

Secara amnya, badan kita akan berfungsi lebih baik jika badan kita kekal bersih. Malah, orang sekeliling juga akan selesa untuk mendekati kita jika kita bersih dan wangi!

Langkah memupuk amalan baik dalam kehidupan

Bukan mudah untuk memupuk amalan yang baik dalam kehidupan seharian. Malah, meninggalkan habit yang buruk juga umpama satu pertarungan!

Oleh sebab itu, jika anda benar-benar ingin meninggalkan semua amalan yang tidak baik untuk kesihatan anda, ada beberapa langkah yang perlu diambil. Sebagai contoh:

1. Kenal pasti pemicu

amalan baik

Pertama sekali, anda perlu kenal pasti pemicu atau ‘trigger’ yang membuatkan anda melakukan habit yang tidak baik. 

Kadangkala, amalan seperti merokok, makan makanan ringan dan mengambil minuman keras mempunyai ‘trigger’nya yang tersendiri.

Sebagai contoh, jika anda rasa stres atau tertekan disebabkan kerja, besar kemungkinan untuk anda melakukan amalan yang tidak sihat seperti merokok atau makan makanan yang tidak berkhasiat untuk melegakan stres. Nampak kan kaitannya?

Sebab itulah, sebagai langkah pertama untuk berubah, anda perlu mengenal pasti pemicu atau penyebab utama yang membuatkan anda rasa teringin untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat.

Setelah anda kenal pasti ‘trigger’ tersebut, anda boleh teruskan dengan langkah kedua.

2. Lakukan ‘gangguan’

Setelah ‘trigger’ dapat dikenal pasti, tibalah masa untuk anda melakukan ‘gangguan’.

Anda boleh lakukan langkah ini dengan cara mengalihkan objek yang boleh menyebabkan anda melakukan amalan yang tidak baik.

Sebagai contoh, anda boleh bertindak mengalihkan rokok daripada pandangan jika anda ingin berhenti.

Elakkan juga membeli snek atau makanan yang tidak sihat untuk mengelakkan anda daripada mengambilnya terlalu banyak.

3. Gantikan dengan amalan sihat

Kemudian, cuba gantikan amalan tidak baik tersebut dengan amalan lain yang lebih sihat.

Sebenarnya, lebih sukar jika anda bertindak berhenti terus daripada satu amalan yang buruk. Sebab itulah, nasihat seperti ‘berhenti sahajalah’ selalunya tidak berkesan.

Oleh sebab itu, cuba perlahan-lahan gantikan amalan tersebut dengan amalan yang baik. 

Sebagai contoh, jika anda ingin merokok, cuba gantikannya dengan mengunyah buah-buahan. Lebih sihat bukan!

4. Pastikan semuanya simple!

Elak melakukan sesuatu yang sukar jika anda ingin memupuk amalan yang baik. Menurut kajian, kita sukar untuk melakukan perkara baru jika ia terlalu sukar.

Oleh sebab itu, lakukan aktiviti yang simple terlebih dahulu supaya ia lebih mudah diterapkan ke dalam kehidupan seharian.

5. Terus gigih mengubah amalan tidak baik

amalan baik

Kunci untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik ialah disiplin dan juga kegigihan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Benar, bukan mudah untuk meninggalkan amalan yang tidak baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh memberikan anda kelegaan daripada stres dan tekanan.

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan amalan baik yang cuba dipupuk akan menjadi lebih mudah untuk dilakukan.

Malah, habit buruk yang anda cuba tinggalkan juga mungkin akan jadi sesuatu yang sukar untuk anda lakukan pada masa hadapan!

Apa yang penting, jangan cepat menyerah kalah ya!

Jadi, bila boleh mula melakukan amalan baik?

Sebenarnya, langkah yang terbaik untuk memupuk habit yang baik dalam diri seseorang adalah dengan cara menerapkannya ketika mereka masih kecil.

Dengan pertolongan ibu bapa dan orang sekeliling, amalan yang sihat boleh dijadikan kebiasaan dalam kehidupan seharian. 

Malah, amalan buruk seperti merokok juga boleh dipatahkan jika ibu bapa sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/06/2021

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan