backup og meta

Selalu Susah Nak Tidur? Hati-hati! Makanan & Minuman Ini Boleh Sabotaj Waktu Tidur Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/05/2023

    Selalu Susah Nak Tidur? Hati-hati! Makanan & Minuman Ini Boleh Sabotaj Waktu Tidur Anda

    Adakah anda mengalami kesukaran tidur pada waktu malam? Jika ya, secara tidak sedar anda mungkin mempunyai insomnia! Apa yang boleh dilakukan?

    Tidur adalah salah satu keperluan yang penting bagi manusia untuk berfungsi dan berfikir secara jelas.

    Masalah gangguan tidur seperti insomnia mampu memberikan kesan negatif terhadap kesihatan dan kehidupan secara menyeluruh.

    Jika tidak diuruskan, dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan tidak cukup tidur kronik yang tentunya memberikan impak pada psikologi dan fizikal.

    Tanpa tidur yang cukup, otak tidak dapat berfungsi sepenuhnya dan hari-hari yang dijalani menjadi kurang produktif.

    Selain insomnia, sesetengah makanan serta minuman juga mampu mengganggu kualiti tidur seseorang. Ingin tahu dengan lebih lanjut? Ikuti artikel ini sampai habis ya!

    Makanan dan minuman yang boleh sabotaj tidur

    Terdapat beberapa jenis makanan dan minuman yang boleh menjadi penyebab kesukaran tidur, namun antara pemakanan dan tabiat yang paling berisiko adalah nikotin dan kafein.

    Kafein adalah musuh utama bagi mereka yang mempunyai insomnia atau kesukaran tidur, lagi-lagi jika diambil pada waktu malam.

    Apa yang lebih membimbangkan, kafein juga boleh terkandung dalam beberapa jenis makanan dan minuman seperti coklat, teh dan soda, yang orang ramai sering terlepas pandang.

    Justeru, jika anda ingin menjaga dan mengekalkan kualiti tidur yang baik, sentiasa berhati-hati dengan bahan tersembunyi dalam makanan serta sentiasa pastikan untuk memeriksa label dengan teliti.

    Selain kafein, makanan pedas dan berasid juga boleh mengganggu tidur anda kerana ia berisiko untuk menyebabkan masalah pedih ulu hati.

    Pedih ulu hati akan menjadi suatu masalah serius terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit gastroesophageal reflux (GERD), juga dikenali sebagai refluks asid.

    Antara makanan lain yang boleh akibatkan kesukaran tidur, termasuk:

    • Saderi

    Elakkan daripada makan saderi terutamanya sebelum tidur. Saderi dan makanan lain dengan kandungan air yang tinggi seperti timun adalah bersifat diuretik yang boleh menyebabkan anda terjaga di tengah malam dengan pundi kencing yang penuh.

    tomato

    • Tomato

    Tomato kaya dengan tyramine, asid amino yang membuatkan otak untuk melepaskan norepinefrin, perangsang yang meningkatkan aktiviti otak dan mampu ‘menunda’ tidur.

    Selain tomato, makanan kaya tyramine yang lain termasuk terung, kicap, dan anggur merah.

    • Coklat gelap

    Makan coklat gelap setiap hari dalam kuantiti yang kecil dikatakan dapat membantu dalam mengekalkan kesihatan jantung.

    Pun begitu, lain ceritanya jika dimakan sebelum waktu tidur. Ini kerana, coklat gelap dikatakan mengandungi kafein.

    Kafein, seperti yang kalian sudah sedia maklum mampu memberi kesan negatif terhadap waktu rehat anda.

    • Brokoli

    Brokoli adalah sayuran yang tinggi khasiatnya, tetapi seratnya yang lambat dicerna usus akan menjadikan badan anda bekerja keras sepanjang malam.

    Brokoli dan sayuran seangkatan dengannya seperti kubis bunga dan kubis brussel juga mengandungi gula kompleks yang akan menghasilkan sejumlah besar gas lalu menyebabkan kekembungan.

    • Tabiat merokok

    Bukan hanya pemakanan, malah nikotin yang terkandung di dalam rokok turut boleh menyebabkan insomnia dan kesukaran tidur.

    Menurut kajian, merokok dalam tempoh masa beberapa jam sebelum waktu tidur harus dielakkan kerana sifatnya sebagai perangsang, lebih baik jika anda tidak merokok sama sekali.

    Nak tidur berkualiti? Cuba tip-tip ini

    Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, selain menjaga pemakanan dan mengelakkan senarai minuman serta makanan di atas, anda juga harus:

    • Tidak tidur sehingga tubuh benar-benar penat
    • Menetapkan jadual tidur yang tetap untuk bangun pada waktu pagi, walaupun ketika hujung minggu
    • Tidak tidur pada waktu siang
    • Mengelakkan kafein, alkohol, dan nikotin pada waktu malam
    • Tidak menonton TV, makan, atau membaca di tempat tidur
    • Mengikuti rutin tidur yang sama setiap malam
    • Mengelakkan senaman yang berat terutamanya 3  jam sebelum tidur

    Nak jaga tidur? Jangan lupa untuk bersenam juga ya

    penawar darah tinggi

    Melakukan aktiviti senaman beberapa jam sebelum boleh mengganggu waktu tidur, tetapi senaman yang teratur dan berkala pada waktu siang dapat memberikan kepuasan tidur yang lebih baik.

    Seperti yang kita semua tahu, bersenam sememangnya memberikan banyak manfaat terhadap kesihatan seperti menjaga berat badan, tekanan darah, dan kolesterol.

    Ia juga meningkatkan tahap tenaga dan stamina untuk berfungsi pada siang hari dan membantu anda tidur lebih nyenyak ketika waktu malam.

    Untuk manfaat jangka pendek, bersenam boleh membantu melepaskan bahan kimia endorfin baik, dan melakukan aktiviti fizikal ini bagi tempoh jangka masa panjang boleh menghasilkan protein yang dapat meningkatkan fungsi dan mood otak.

    Dalam masa yang sama senaman juga akan meningkatkan pelepasan serotonin yang berkurangan ketika anda berdepan dengan emosi dan mood kemurungan.

    Secara konklusinya, bersenam merupakan satu gaya hidup sihat yang amat digalakkan.

    Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti kesihatan fizikal dan mental secara menyeluruh, malah memberikan kualiti tidur yang lebih baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan