Belum lagi reda dengan virus baru Omicron, dunia dikejutkan sekali lagi dengan dakwaan penemuan varian virus COVID-19 terbaharu. Varian terbaharu ini dikenali sebagai Deltacron.
Bunyinya seakan-akan gabungan antara varian Delta dan Omicron bukan? Adakah ia benar-benar ada di sekeliling kita, atau masih belum disahkan lagi?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Saintis dakwa temui virus baru varian Deltacron
Pada minggu lepas, sekumpulan saintis yang berpengkalan di Cyprus mendakwa bahawa mereka telah menemui virus terbaharu COVID-19 yang disebut sebagai varian Deltacron.
Kumpulan saintis ini menyatakan bahawa, strain virus ini mempunyai gabungan varian Delta dan juga Omicron.
Menurut Ketua Penyelidik tersebut, Profesor Leondios Kostrikis yang berkhidmat di University of Cyprus, strain virus baru ini disebut sebagai Deltacron memandangkan ia mempunyai ciri-ciri genetik yang menyerupai varian Omicron yang berada dalam genom varian Delta.
Menurut Profesor Kostrikis lagi, kumpulan penyelidiknya telah menemui 25 kes jangkitan yang melibatkan varian Deltacron ini.
Kata beliau, tidak terdapat banyak kajian lagi mengenainya terutamanya jika varian virus baru ini lebih berbahaya berbanding varian-varian sebelumnya.
Pada 7 Januari 2022, kumpulan saintis yang terlibat telah menghantar jujukan varian Deltacron ini ke GISAID, sebuah organisasi yang mengumpulkan data-data berkenaan virus dari seluruh dunia untuk dikaji dengan lebih mendalam.
Tapi, ada yang kata virus baru varian Deltacron ini satu kesilapan
Di sebalik penemuan varian Deltacron ini, ada beberapa saintis lain yang berpendapat bahawa ia bukanlah varian baharu COVID-19.
Sebaliknya ia merupakan kesilapan data atau kesilapan yang berlaku dalam makmal.
Krista Queen, Pengarah Genomik dan Pengawasan Virus di Lousiana State University Health Shreveport berkata, sumber kesilapan boleh dilihat kembali ketika teknik penjujukan virus digunakan bagi mengenal pasti sampel COVID-19.
Krista mengesyaki bahawa sampel varian Omicron telah bercampur dengan varian Delta dalam piring yang sama ketika pasukan penyelidik tersebut melakukan penjujukan varian Delta.
Pendapat ini serupa dengan sebilangan saintis lain yang berpendapat bahawa, penemuan varian baharu ini merupakan hasil daripada pencemaran terhadap sampel yang berlaku di dalam makmal.
Seorang Pensyarah Mikrobiologi dan Imunologi di Lousiana State University Health Shreveport, Jeremy Kamil berkata, penemuan virus baru varian Deltacron ini sebagai satu kesilapan 100%.
Begitu juga dengan Dr. Krutika Kuppali, Ahli Kumpulan Teknikal COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meragui penemuan tersebut.
Menurut Dr. Krutika, Deltacron merupakan satu perkara yang tidak benar dan menyatakan bahawa penemuan virus baharu tersebut adalah disebabkan pencemaran sampel serpihan varian Omicron dalam sampel varian Delta.
WHO iktiraf penemuan varian Deltacron?
Sebenarnya, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak memberi sebarang pengesahan atau pengiktirafan mengenai penemuan varian terbaharu ini.
Malah, tidak terdapat sebarang varian baharu lain yang diiktiraf penemuannya sejak penemuan varian Omicron.
Dalam kata yang lebih mudah, tiada varian baharu yang diiktiraf secara rasmi sejak penemuan Omicron.
Sebelum dakwaan penemuan Deltacron, Israel juga pernah menyatakan penemuan jangkitan baharu yang disebut sebagai Flurona sebelum ini.
Menurut penemuan tersebut, Flurona telah dikesan pada pesakit yang didiagnosis dengan selesema bermusim dan COVID-19 pada masa yang sama.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu varian baharu virus COVID-19 dan tidak diiktiraf oleh WHO.
Baca juga:
Prof Kostrikis tarik balik penemuannya
Sebelum ini, Prof Kostrikis dan kumpulan penyelidiknya telah menghantar sampel varian Deltacron ke GISAID untuk kajian lanjut.
Namun pada 11 Januari 2022, Prof Kostrikis telah memberitahu pihak GISAID untuk menarik balik kajian lanjut terhadap jujukan varian tersebut.
Ini berkemungkinan setelah menerima pandangan daripada pakar-pakar lain di seluruh dunia berkenaan kemungkinan berlakunya pencemaran silang terhadap sampel tersebut.
Tidak perlu risau berkenaan Deltacron
Memandangkan Prof Kostrikis telah menarik balik sampel Deltracon, ini bermakna kita tidak perlu bimbang berkenaan varian ini kerana ia bukanlah varian baharu.
Sebaliknya, hanya kesilapan ketika proses penjujukan dilakukan.
Namun begitu, kita masih perlu berwaspada dengan varian Omicron sedia ada kerana ia amat mudah merebak berbanding varian-varian lain.
Untuk pengetahuan anda, varian Omicron telah menyebabkan peningkatan kes jangkitan dengan mendadak seperti yang berlaku di United Kingdom dan juga Amerika Syarikat.
Kita tidak mahu kes jangkitan mendadak seperti itu berlaku di negara kita.
Oleh itu, teruskan tanggungjawab anda dengan mematuhi segala SOP yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Pakai pelitup muka terutamanya apabila anda keluar rumah dan pergi ke tempat-tempat awam.
Selain itu, kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun atau hand sanitizer.
Jangan lupa untuk sentiasa menjaga jarak fizikal dengan individu lain bagi mengurangkan transmisi jangkitan virus COVID-19.
Jika anda mengalami sebarang simptom jangkitan, jauhkan diri anda daripada individu lain dan lakukan kuarantin kendiri di rumah.
Lindung diri, lindung semua!
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus