Asyik-Asyik Nak Terkencing Malam. Sebenarnya, Apa Yang Terjadi Pada Tubuh?
Setiap individu pasti pernah alami situasi kerap kencing terutama di waktu malam. Tetapi jika situasi kerap kencing ini berulang setiap hari tidak kira waktu siang atau malam, ia sudah tentu memenatkan. Jadi, kerap kencing tanda apa ?

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Urologi, anda boleh klik di sini.
Berapa kali perlu kencing normal dalam sehari?
Secara umum, kebanyakan orang dewasa membuang air kecil sekitar 7 hingga 8 kali sehari.
Pada waktu malam pula, bangun sekali ketika usia meningkat adalah perkara lazim, tetapi bangun dua kali atau lebih dikira bermasalah kerana ia sudah mengganggu kualiti tidur.
Jika anda bangun untuk kencing setiap 30minit hingga ke 1 jam, anda sedang alami masalah kerap kencing.
Adakah normal jika kerap kencing?
Ia bergantung pada situasi. Kerap kencing selepas minum banyak air, teh atau kopi memang normal.
Namun, jika frekuensinya meningkat tanpa sebab jelas, atau disertai gejala lain seperti perit semasa kencing, dahaga melampau atau kencing berdarah, ia mungkin tanda masalah kesihatan yang perlu disiasat.
Buat pengetahuan anda, individu yang berumur lebih daripada 70 tahun, sedang hamil dan sedang alami pembengkakan prostat, situasi ini adalah normal untuk anda.
Apa punca kerap kencing ?
Kerap kencing tanda apa ? Anda mungkin sedang alami situasi berikut:
- Minum terlalu banyak cecair menjelang tidur : Jika anda minum air kopi, teh, minuman bergas dan alkohol.
- Diabetes: Paras gula darah yang tinggi menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak air kencing.
- Jangkitan saluran kencing (UTI): Menyebabkan rasa mahu kencing yang kerap dan mendesak.
- Pundi kencing terlebih aktif (overactive bladder) yang menyebabkan pundi mengecut tanpa dijangka.
- Pembengkakan kelenjar prostat pada lelaki, yang menghalang pundi kosong sepenuhnya.
- Kehamilan dan menopaus, akibat perubahan hormon dan tekanan pada pundi.
- Masalah jantung atau buah pinggang, apabila cecair yang terkumpul di kaki ketika siang kembali ke aliran darah semasa berbaring.
- Sleep apnea dan sesetengah ubat seperti diuretik.
Bagaimana cara mengatasi kerap kencing?
Langkah pertama ialah mengenal pasti puncanya. Antara tip yang boleh dicuba:

- Kurangkan minum 2 hingga 3 jam sebelum tidur, tetapi jangan kurangkan pengambilan air sepanjang hari.
- Elak kafein dan alkohol pada waktu petang dan malam.
- Kosongkan pundi sebelum masuk tidur.
- Angkat kaki pada waktu petang jika kaki mudah bengkak.
- Latih otot dasar pelvis (senaman Kegel) untuk memperkukuh kawalan pundi.
- Kawal penyakit asas seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Cara hilangkan kerap kencing
Tiada satu cara ajaib yang sesuai untuk semua orang kerana rawatan bergantung pada punca.
Jika puncanya gaya hidup, perubahan tabiat biasanya cukup.
Jika ada keadaan perubatan seperti UTI, prostat membesar atau diabetes, doktor akan mencadangkan rawatan yang sesuai, termasuk ubat atau latihan pundi.
Jangan berhenti mengambil ubat sedia ada tanpa nasihat doktor.
Bila perlu jumpa doktor?
Dapatkan pemeriksaan jika anda mengalami:
- Bangun dua kali atau lebih setiap malam secara berterusan
- Perit atau pedih semasa kencing, atau air kencing berdarah
- Dahaga melampau atau berat badan turun tanpa sebab
- Aliran kencing lemah atau susah untuk bermula
- Kaki bengkak atau sesak nafas
Kesimpulan
Kerap kencing malam bukan sesuatu yang perlu diterima begitu sahaja.
Kadangkala punca mudah seperti minum terlalu banyak sebelum tidur, tetapi ia juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius.
Perhatikan corak anda dan jangan lengah berjumpa doktor jika tidur mula terganggu.