backup og meta

Tidur Tanpa Pakaian "Undang" Gangguan? Ini 6 Manfaat Tidur Bogel Yang Selama Ini Anda Tak Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/12/2021

    Tidur Tanpa Pakaian "Undang" Gangguan? Ini 6 Manfaat Tidur Bogel Yang Selama Ini Anda Tak Tahu!

    Seakan pertunjukan fesyen, terdapat banyak variasi busana tidur yang kita boleh gayakan ketika tiba waktu malam. Ada yang memakai pijama, baju labuh, seluar pendek, seluar panjang ataupun pakaian dalam sahaja. Pun begitu, tahukah anda ada satu lagi gaya tidur yang paling bagus untuk kesihatan kita? Ia adalah tidur tanpa pakaian!

    Ya, ia mungkin kedengaran agak memeranjatkan. Namun, ia boleh mendatangkan banyak manfaat. Tidak percaya? Jom sama-sama kita selami artikel ini dengan lebih dalam lagi!

    Apa manfaat tidur tanpa pakaian yang diperkatakan?

    Tidur bogel akan membuat anda kelihatan seperti orang yang tidak senonoh. Manakan tidak, tiada seurat benang pun yang melindungi tubuh anda ketika sedang lena diulit mimpi.

    Dalam fikiran pula, terbayang-bayang serangga menakutkan seperti lipan dan lipas merayap di atas tubuh. Atau bagaimana jika tiba-tiba orang masuk ke kamar beradu anda? Ia sangat memalukan dan menakutkan!

    Pun begitu, usah khuatir. Di sebalik kebimbangan itu, tersembunyi banyak lagi manfaat tidur tanpa pakaian yang anda perlu tahu dan buat, termasuklah:

    #1. Suhu ideal untuk tidur

    Menurut National Sleep Foundation, suhu persekitaran yang paling sesuai dan tepat untuk tidur adalah sekitar 15 hingga 19°C. Jika dibandingkan dengan suhu iklim di Malaysia, ia adalah seumpama kita menggunakan penyaman udara dengan suhu yang sangat rendah di dalam bilik tidur.

    Disebabkan itu, tidur bogel sangat membantu anda mendapatkan suhu persekitaran yang rendah ini. Ia dikatakan mampu membuat tubuh badan dan otak anda untuk berehat sekali gus mendapatkan tidur yang berkualiti.

    #2. Lena dengan lebih cepat

    Tidur tanpa pakaian juga akan membantu anda untuk lena dengan lebih cepat. Kenapa? Ini berkaitan dengan faktor suhu ideal yang diperkatakan tadi. Dengannya, tiada lagi drama sukar melelapkan mata!

    Anda juga perlu tahu bahawa lena dengan lebih cepat akan memberi kesan positif kepada kualiti tidur anda. Kualiti tidur yang tidak bagus akan memberi kesan kepada tenaga, memori serta kesihatan mental anda.

    tidur tanpa pakaian

    #3. Tidur bogel mampu mengurangkan stres dan kegelisahan

    Manfaat tidur tanpa pakaian lain adalah ia dikatakan mungkin mengurangkan stres dan kegelisahan yang dialami. Ini kerana kualiti waktu tidur adalah sangat penting bagi kesihatan mental dan tanpanya, anda mungkin akan mengalami depresi atau insomnia.

    Jadi, sila jaga kualiti tidur anda sebaiknya dengan memastikan suhu dan waktu tidur adalah ideal. Salah satu caranya, cuba tidur tanpa pakaian.

    #4. Bagus untuk kesuburan kaum Adam

    Dalam 1 kajian mendapati bahawa individu yang tidur dengan boxer mempunyai kiraan sperma yang lebih tinggi berbanding individu yang tidur dengan memakai seluar dalam yang lebih ketat.

    Ini menunjukkan bahawa pemakaian seluar yang lebih longgar atau lebih bebas akan membantu membuat suhu testis tidak terlalu panas. Suhu yang terlalu tinggi pada skrotum boleh memberi kesan negatif kepada fungsi testis.

    Jadi, tidur tanpa pakaian mungkin boleh membantu membuat testis lebih sejuk dan nyaman sekali gus meningkatkan kiraan sperma!

    #5. Bagus untuk kesihatan kaum Hawa

    Perbuatan tidur tanpa pakaian juga sebenarnya bagus untuk kesihatan kaum wanita.

    Ini kerana tidur dengan memakai seluar dalam yang ketat dan menyerap peluh boleh meninggikan risiko jangkitan yis pada faraj yang sangat gemar persekitaran yang lembap dan hangat.

    Begitu juga dengan penggunaan baju dalam. Ramai wanita percaya tidur dengan memakai bra boleh meninggikan risiko kanser payudara. Pun begitu, kajian lanjutan masih diperlukan untuk benar-benar mengesahkannya.

    Oleh itu, tanpa mengira apa yang anda pakai semasa hari siang, tidur tanpa seurat benang di waktu malam mungkin boleh memastikan tubuh badan anda lebih sihat dan kuat!

    #6. Tidur tanpa pakaian bermanfaat buat suami isteri

    tidur tanpa pakaian

    Seperti yang telah diketahui umum, seks adalah satu perkara yang penting dan bagus buat perhubungan suami isteri. Tanpanya, kehidupan anda berdua sangatlah sia-sia.

    Pun begitu, bukan hanya seks yang boleh memberi manfaat kepada anda dan pasangan, tidur bogel juga turut boleh mendatangkan manfaat.

    Ini kerana ia akan menyebabkan sentuhan kulit ke kulit yang lebih banyak lantas mengakibatkan pengeluaran hormon oksitoksin yang lebih banyak ke tubuh badan.

    Buat anda yang belum tahu, oksitoksin ini adalah sejenis hormon yang turut dikenali sebagai ‘hormon cinta’ kerana ia sangat berfungsi mengawal perasaan bahagia, yang sangat diperlukan dalam hubungan perkahwinan.

    Jadi, anda sudah tahu rahsianya! Maka, apa lagi yang anda tunggu?

    Konklusi

    Tidur tanpa pakaian adalah sangat bagus untuk individu terutamanya yang bergelar suami isteri. Pun begitu, anda juga harus tahu bahawa hukum tidur tanpa seurat benang dalam agama Islam adalah makhruh.

    Namun, ia bukan tidak boleh atau haram untuk dilakukan. Jika anda dan pasangan masih berniat untuk melakukannya, gunakanlah selimut untuk menutup tubuh badan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan