
Sering Terjaga Pada Waktu Malam? Ini 4 Posisi Tidur Yang Anda Boleh Cuba Untuk Tidur Nyenyak
Posisi tidur yang betul boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk mendapatkan jumlah jam tidur yang cukup pada waktu malam.

Sedar atau tidak sedar, tidur merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia dan ia boleh mempengaruhi kelanjutan usia.
Kebanyakan pakar menyarankan jumlah jam minimum 7 jam bagi orang dewasa. Mungkin nampak mudah namun untuk mencapai jumlah jam tersebut pun boleh jadi mencabar.
Kebanyakan individu hanyut dengan kesibukan kerja sehingga lupa bahawa badan mereka juga memerlukan rehat yang cukup.
Bagi mengatasi masalah ini, anda perlu mengamalkan posisi tidur yang betul agak manfaat tidur nyenyak dapat dinikmati.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
#1 Posisi fetal, bukan baik untuk sakit sahaja, ia juga boleh bantu anda tidur nyenyak
Anda mungkin meringkuk dalam posisi fetal ketika mengalami sakit perut. Posisi tersebut boleh membantu anda untuk mengawal rasa sakit dan memberikan kelegaan dalam situasi tertentu.
Apa yang anda mungkin tidak perasan adalah posisi fetal juga boleh membantu anda untuk mencapai jumlah jam tidur yang cukup.
Posisi tidur ini juga baik untuk mereka yang mengalami sakit belakang, sedang hamil atau sering berdengkur.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah posisi tidur yang betul bagi setiap individu.
Anda perlu memastikan postur anda berada dalam keadaan yang relaks bagi memudahkan proses pernafasan semasa sedang tidur.
Selain daripada itu, mereka yang mempunyai masalah sendi juga boleh berasa sengal-sengal apabila bangun pada waktu pagi.
#2 Tidur mengiring bantu sistem pencernaan manusia
Posisi tidur mengiring bukan sahaja boleh membantu mengurangkan dengkuran, ia juga baik untuk sistem pencernaan dan boleh mengurangkan masalah pedih ulu hati.
Kebaikan ini boleh dinikmati terutamanya jika anda mengiring ke sebelah kiri.
Perkara ini terbukti melalui sebuah kajian kecil yang melibatkan 10 individu dalam tempoh masa dua hari.
Pada hari pertama, subjek berehat dalam keadaan mengiring ke sebelah kanan selepas mengambil makanan yang mengandungi lemak tinggi.
Keadaan ini kemudiannya diulangi pada hari kedua, cuma subjek berehat dalam posisi mengiring ke sebelah kiri.
Dapatan menunjukkan, ketika mereka mengiring ke sebelah kanan, pedih ulu hati dan refluks asid lebih mudah berlaku.
Pun begitu, tidur dalam posisi sebegini boleh menyebabkan bahu anda terasa kaku. Ada juga kajian yang menunjukkan tidur mengiring boleh menyumbang kepada kedutan kulit.
#3 Tidur meniarap juga boleh dianggap sebagai posisi tidur yang betul. Tapi…
Posisi tidur meniarap bagus untuk mereka yang sering mengalami masalah apnea tidur dan tidur berdengkur.
Walau bagaimanapun, jika kita hendak memilih posisi tidur yang betul, gaya tidur ini mungkin adalah pilihan terakhir bagi setiap individu.
Ia boleh menyebabkan leher dan belakang sakit ditambah juga dengan sengal otot dan sendi apabila anda bangun pada waktu pagi.
Bagi mengurangkan masalah sakit belakang, anda boleh meletakkan bantal di bawah abdomen untuk melaras posisi semasa tidur meniarap.
#4 Tidur terlentang, posisi tidur yang betul dan popular
Apabila kita baring untuk tidur, posisi ini kebiasaannya menjadi kedudukan permulaan pada fasa awal tidur sebelum seseorang itu beralih ke posisi lain.
Ia merupakan posisi yang boleh melegakan sakit pinggul dan sakit lutut di samping melindungi tulang belakang anda semasa tidur.
Perkara ini telah diperjelaskan oleh Klinik Cleveland. Tidur terlentang boleh memanfaatkan graviti bagi mengekalkan badan dan kedudukan tulang belakang pada posisi yang lebih selesa.
Keadaan ini boleh mengurangkan tekanan terhadap belakang badan dan sendi.
Tambahan pula, bagi yang risau akan keadaan kulit mereka, posisi tidur terlentang boleh melindunginya daripada bantal atau sebarang fenomena kedutan akibat graviti.
Walau bagaimanapun, bagi individu yang mengalami masalah berdengkur dan apnea tidur, posisi ini mungkin sukar untuk mereka.
Konklusi
Kita luangkan 1 per 3 daripada hidup kita untuk tidur maka posisi tidur memainkan peranan penting terhadap tahap kesihatan setiap individu.
Tambahan pula, masalah tidur kebiasaannya bukan hanya melibatkan masalah berkaitan dengan jumlah jam tidur yang cukup atau tidak.
Ia juga berkait dengan kualiti tidur. Jika anda berasa penat selepas bangun tidur, mungkin ini waktu yang sesuai untuk anda mencuba kedudukan tidur yang berlainan untuk mengenal pasti posisi yang sesuai bagi anda.