‘Hutang tidur’ (sleep debt) adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan kehilangan waktu tidur terkumpul disebabkan oleh kekurangan tidur yang berterusan. Namun, ramai yang menggunakan alasan tebus waktu tidur untuk menggantikan kembali tidur yang tidak cukup sebelumnya.
Baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.
Hutang tidur dan tebus waktu tidur
Jika anda kerap kurang tidur daripada yang anda perlukan, hutang tidur akan terkumpul dan bertambah dari masa ke masa. Ada yang mengatakan hutang tidur terkumpul inilah yang membuat anda penat, marah, dan berisiko kepada kemalangan dan penyakit.
Jika tidur adalah syarikat kad kredit, barangkali sebahagian besar daripada kita merupakan penghutang kronik yang mempunyai tunggakan hutang yang tinggi, malah mungkin ada yang muflis kerananya!
Oleh itu, wujudlah istilah qada’ tidur kerana beranggapan waktu tidur boleh ditebus semula jika individu tidak cukup tidur.
Berapa jam hutang tidur saya?
Keperluan tidur orang dewasa adalah sebanyak 7 hingga 9 jam sehari. Kekurangan tidur yang berterusan memberi kesan buruk kepada mood dan keupayaan berfikir. Risiko penyakit kardiovaskular dan metabolik, kemalangan, dan keletihan juga meningkat dengan masalah tidur.
Jika anda memerlukan 8 jam tidur setiap malam agar berasa cukup rehat tetapi hanya mendapat 7 jam, secara purata, anda mengumpul hutang tidur sebanyak 7 jam setiap minggu. Sepanjang setahun, anda telah kehilangan 364 jam tidur, bersamaan dengan hampir 7 minggu tidur.
Bolehkah saya tebus waktu tidur?
Dengan peningkatan kesedaran mengenai bahaya kekurangan tidur, ramai penghutang tidur yang berjaga malam tertanya-tanya jika mereka boleh membayar balik hutang tidur mereka. Bahkan mungkin ramai di antara kita yang biasa meng-‘qada’ tidur pada hujung minggu.
Jawapannya, tidak. Sebaik sahaja tidur terlepas, anda sudah kehilangannya.
Tidur lebih lama untuk satu atau dua malam mungkin boleh membantu memulihkan beberapa kemerosotan dalam keupayaan berfikir disebabkan oleh hutang tidur yang terkumpul. Tetapi, ia tidak mungkin dapat membayar balik hutang tidur berjumlah ratusan jam.
Walau bagaimanapun, jika anda kekurangan tidur, tubuh anda bertindak menebusnya dengan menjadikan anda berada dalam peringkat tidur yang lebih dalam dan mengurangkan peringkat tidur yang ringan apabila anda tidur.
Pun begitu, ini hanyalah solusi sementara kerana setiap peringkat tidur adalah penting untuk kesejahteraan mental dan fizikal anda. Oleh itu, adalah penting untuk memberikan masa yang cukup untuk badan melalui semua peringkat tidur.
Memperbaiki keperluan tidur anda
Cara terbaik untuk menjauhi hutang tidur? Hentikan menambah hutang tidur anda dengan cara berusaha mendapatkan tidur mencukupi setiap malam. Tentukan jumlah tidur yang anda perlukan untuk berasa cukup istirahat dan buat jadual yang membolehkan anda tidur dengan mencukupi.
Sebaik sahaja anda memutuskan berapa banyak tidur yang anda perlukan setiap malam, ikut aturan tidur dengan konsisten supaya anda dapat mengembalikan rutin tidur anda kepada normal. Jauhkan elektronik dan media sosial daripada ruang tidur anda dan pastikan tempat tidur anda selesa.
[embed-health-tool-bmi]