
Tatoo Kulit Kepala Sebagai Ilusi Rambut Lebat, Ini 3 Bahaya Bakal Berlaku!
Pelbagai rawatan yang anda boleh cuba untuk menumbuh, menebal dan melebat rambut seperti menanam rambut asli atau sintetik namun tidak ramai yang tahu jika anda juga mungkin boleh mencacah tattoo di kepala sebagai sebuah ‘ilusi’.

Persoalannya, apa dan bagaimana prosedur ini akan dilakukan? Jom baca artikel ini untuk tahu!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Berkenaan prosedur tatu rambut…
Memandangkan prosedur tatu rambut atau scalp micropigmentation (SMP) masih baru di dalam dunia perubatan atau perawatan rambut, tidak mustahil jika masih ramai belum tahu tentangnya.
Jadi, kami akan bantu anda menerangkan apa, bagaimana dan siapa yang mungkin perlu buat ia:
Apa itu SMP?
Untuk pengetahuan anda semua, ia adalah sejenis prosedur mencacah tatu berupa helai rambut di atas kulit kepala untuk memberi ilusi seakan rambut yang tebal dan lebat.
Menggunakan jarum tatu jenis elektrik, dakwat yang berwarna sama dengan rambut akan dicacah ke dalam kulit kepala bergantung kepada permintaan penerima rawatan itu.
Berbeza dengan tatu di kulit badan lain, ia tidak kekal. Kebiasaannya, tattoo di kepala ini boleh bertahan sehingga 8 ke 10 tahun angkara pengelupasan kulit secara semula jadi.

Dalam erti kata lebih mudah, ia tidak sama dengan rawatan menanam rambut kerana prosedur SMP ini hanya mampu untuk menutup permukaan kulit kepala yang tidak berbulu sahaja dengan mencacah tatu berbentuk bintik atau titik seperti folikel rambut.
Bagaimana buat SMP?
Prosedur ini akan dimulakan dengan pakar meneliti kulit kepala yang mungkin perlu rawatan. Selepas kawasan tumpuan telah dapat dipastikan, maka dakwat akan mula dicacah.
Prosedur ini mungkin akan memerlukan kira-kira 4 ke 5 jam dan juga 4 ke 5 sesi bergantung pada kondisi rambut anda. Dalam pada itu, kos rawatan ini juga sudah tentu tinggi.
Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu sebelum dan selepas rawatan ini seperti yang berikut:
Sebelum rawatan
- Sila mandi setiap kali sebelum rawatan kerana anda tidak boleh melakukannya selepas itu.
- Rawatan ini memerlukan masa dan tempoh yang lama untuk benar menunjukkan kesan.
Selepas rawatan
- Elak daripada aktiviti sauna, stim atau renang selama sebulan selepas rawatan terakhir anda.
- Cegah daripada aktiviti air atau berat yang boleh mengeluarkan peluh dan menjejaskan tatu.
- Kerap melembapkan kawasan rawatan dengan menggunakan produk pelembap kulit.
- Jauhi cahaya matahari dan gunakan krim pelindung sinar ultra ungu.

Siapa perlu tattoo di kepala?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, rawatan ini boleh dilakukan dengan tujuan menutup kawasan kulit kepala bermasalah dan tidak berbulu akibat faktor risiko tertentu.
Sebenarnya, seseiapa sahaja boleh buat prosedur ini namun penting buat mereka dengan kondisi:
- Alopecia
- Hypotrichosis
- Masalah rambut nipis
- Masalah rambut gugur
- Kanser
Ini dia bahaya cacah tattoo di kepala!
Pertama, anda tidak perlu jadi pakar perubatan untuk tahu jika pencacahan tattoo di kepala itu akan mengakibatkan rasa tidak selesa dan sakit yang teruk namun ia mungkin juga bergantung pada tahap toleransi individu terhadap kesakitan.
Selain itu juga, wujud juga bahaya lain prosedur ini terhadap kecantikan dan kesihatan termasuk:
#1. Risiko infeksi dan alergi
Penggunaan jarum tatu rambut yang tidak bersih dan tanpa steril mungkin akan meningkatkan risiko anda untuk dapat infeksi mikrobiom seperti kuman, bakteria atau virus.
Dalam pada itu, wujud juga risiko di mana kulit individu itu menolak atau tidak menerima dakwat yang cuba dicacah ke dalam kulit kepala lantas menjadi punca reaksi alergi.

#2. Kesan pada rambut asal
Rawatan tattoo di kepala ini juga ditakuti mampu menyebabkan rambut asal anda lebih mudah nipis, gugur dan botak. Jadi, kesan sampingan rawatan mungkin ini lebih bahaya.
Bukan sahaja pada rambut, malah kulit kepala juga mungkin berisiko mengalami kemerahan, kerengsaan, keradangan, kegatalan serta kesakitan yang punca tidak dapat dijelaskan.
#3. Hasil yang tidak bagus
Bayangkan jika anda sudah habis banyak wang, masa dan tenaga untuk tujuan rawatan ini namun hasilnya tidak bagus. Sudah tentu ia akan merugikan diri sendiri juga bukan?
Disebabkan itu juga, anda perlu tahu ada risiko untuk rawatan ini tidak menjadi di mana dakwat tatu itu mungkin berbeza warna dengan rambut asal, cacahan tidak kena pada tempat yang betul atau cacahan mudah tanggal walau belum sampai masa.