home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Mengapa Lelaki Lebih Berisiko Jadi Botak? Ini 5 Cara Kawal Hormon Elak Rambut Gugur

Mengapa Lelaki Lebih Berisiko Jadi Botak? Ini 5 Cara Kawal Hormon Elak Rambut Gugur

Hormon DHT sering dianggap sebagai hormon lelaki yang menyebabkan masalah rambut gugur.

Namun, apa yang anda perlu tahu adalah ia tidak eksklusif kepada satu jantina sahaja.

DHT merupakan hormon yang berasal daripada testosteron.

Secara amnya, kedua-dua lelaki dan wanita mempunyai hormon tersebut tetapi jumlahnya lebih tinggi pada lelaki.

Hormon DHT mempunyai kepentingan kepada lelaki memandangkan ia adalah komponen utama dalam membentuk ciri-ciri fizikal dan seksual lelaki setelah akil baligh.

Antaranya adalah:

  1. Suara garau.
  2. Peningkatan pada saiz penis, kantung telur dan testis.
  3. Perubahan pada corak penyimpanan lemak di seluruh badan.
  4. Komposisi otot badan.

Apabila meningkat usia lelaki, semakin pentinglah peranan hormon DHT dan testosteron dalam mengekalkan komposisi otot dan menggalakkan tahap kesihatan seksual yang optimum.

Walau bagaimanapun, DHT tidak begitu mesra dengan folikel rambut terutamanya yang berada di atas kepala.

Ia boleh menyebabkan perubahan fisiologi sehingga berlaku masalah keguguran rambut dan kebotakan.

Nak tahu apa kaitannya? Teruskan membaca.

Hubungan antara masalah kebotakan dan peningkatan pada hormon DHT

hormon dht

Dianggarkan kira-kira 10% testosteron akan ditukarkan kepada hormon DHT dengan bantuan enzim 5-alpha reductase (5-AR).

Apabila ia masuk ke dalam aliran darah, ia boleh berhubung dengan reseptor yang terletak pada folikel rambut sehingga menyebabkan perubahan patologi pada struktur tersebut.

Rambut pada seluruh badan manusia tumbuh melalui struktur di bawah kulit yang menyerupai kapsul. Ia dikenali sebagai folikel rambut.

Secara amnya, rambut di dalam satu folikel akan mengalami proses tumbesaran selama 2 hingga 6 tahun.

Ini bermakna, tidak kiralah jika anda cukur sekalipun, ia akan tetap memanjang sehingga sampai ke fasa rehat.

Setelah rambut masuk ke dalam fasa rehat, ia tidak akan tumbuh lagi dan gugur beberapa bulan kemudian.

Folikel rambut kemudiannya akan menghasilkan rambut baharu dan kitaran tersebut bermula semula.

Pun begitu, hormon DHT boleh mengganggu kestabilan proses fisiologi seperti yang dinyatakan.

Ia berupaya untuk mengecutkan struktur folikel menyebabkan rambut yang tumbuh kelihatan lebih nipis dan rapuh akibat kekurangan nutrien.

Apa yang lebih teruk lagi adalah hormon DHT boleh menyebabkan proses rambut baharu tumbuh berlaku pada kadar yang sangat perlahan setelah rambut lain gugur.

Kenapa ada lelaki yang mudah botak, dan ada lelaki tak botak?

rambut gugur

Bukan semua individu akan mengalami kebotakan akibat daripada kesan sampingan hormon DHT.

Jika dilihat pada individu tua, ada yang masih berambut tebal dan ada juga yang berambut nipis.

Berdasarkan kepada maklumat genetik yang terkandung pada struktur folikel rambut, ada variasi genetik yang akan menyebabkan reseptor pada rambut di atas kepala lebih sensitif terhadap tindakan hormon DHT.

Folikel rambut mereka akan lebih mudah mengecut, kadar keguguran berlaku secara tidak normal dan rambut baharu gagal dihasilkan kesan daripada perubahan patologi tersebut.

Oleh sebab fenomena ini berlaku berpunca daripada masalah genetik, prosesnya sukar untuk dihalang dan hanya boleh dikawal melalui penggunaan ubat.

Pun begitu, jangan anggap semua masalah kebotakan adalah disebabkan oleh genetik.

Ada juga penyakit yang boleh menyebabkan anda mengalami keguguran dan masalah kebotakan.

Dalam kes sebegitu, rawatan terhadap penyakit yang dialami boleh membantu memulihkan pertumbuhan rambut meskipun dalam situasi tertentu, masalah tersebut tidak boleh dirawat.

Antara masalah kesihatan yang boleh menyebabkan keguguran rambut adalah:

  1. Masalah tiroid.
  2. Penyakit celiac.
  3. Jangkitan pada kulit kepala.
  4. Penyakit autoimun (lichen planus, alopecia areata).

Rawatan bagi kebotakan berpunca daripada masalah hormon DHT

hormon dht

Jika anda mengalami kebotakan, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu.

Punca kepada masalah tersebut perlu dikenal pasti sebelum anda boleh mengambil ubat.

Terdapat beberapa jenis ubat, suplemen dan makanan semula jadi yang boleh menghalang tindakan hormon DHT terhadap folikel rambut.

Antaranya adalah:

  1. Finasteride dan dutasteride. Kedua-dua ubat ini boleh menghalang pertukaran hormon testosteron kepada hormon DHT. Secara amnya, finasteride telah diluluskan bagi kegunaan rawatan rambut gugur manakala dutasteride pula sering digunakan bagi merawat masalah prostat bengkak (BPH). Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan kesan dutasteride adalah lebih hebat berbanding dengan finasteride.
  2. Minoxidil. Ubat ini boleh menyebabkan salur darah pada kulit kepala mengembang. Aliran darah akan menjadi bertambah lancar dan rambut pada permukaan kulit kepala boleh menerima jumlah nutrien yang mencukupi.
  3. Biotin. Ini merupakan sub jenis vitamin B yang mengawal paras protein yang dikenali sebagai keratin. Makanan seperti kuning telur, kekacang dan bijirin mengandungi vitamin ini. Ia juga boleh didapati dalam bentuk pil suplemen.
  4. Kulit kayu pygeum. Ia merupakan herba yang diambil daripada pokok ceri Afrika. Herba ini boleh menghalang tindakan hormon DHT membuatkan ia berkesan dalam rawatan prostat dan keguguran rambut.
  5. Kafein. Masih lagi kurang kajian yang menyokong kafein sebagai bahan yang boleh menyebabkan pertumbuhan rambut. Namun, kajian pada tahun 2014 menunjukkan ia boleh menghalang keguguran rambut melalui penghasilan keratin, meningkatkan kepanjangan asli rambut dan memanjangkan fasa pertumbuhan rambut.

Konklusi

Masalah keguguran rambut boleh mempengaruhi kesihatan individu secara tidak langsung.

Mereka yang mengalami masalah kebotakan kebiasaannya mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan mudah mendapat masalah berkaitan dengan mental.

Jika anda mengalami masalah keguguran rambut, rujuk kepada doktor bagi mendapatkan pemeriksaan untuk mengetahui punca sebelum memulakan rawatan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Male Androgenetic Alopecia. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK278957/). Diakses pada 7 Ogos 2020.
  2. Dihydrotestosterone. (https://www.yourhormones.info/hormones/dihydrotestosterone.aspx). Diakses pada 7 Ogos 2020.
  3. Differential effects of caffeine on hair shaft elongation, matrix and outer root sheath keratinocyte proliferation, and transforming growth factor-β2/insulin-like growth factor-1-mediated regulation of the hair cycle in male and female human hair follicles in vitro. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/24836650/). Diakses pada 7 Ogos 2020.
  4. A 3-Month, Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Study Evaluating the Ability of an Extra-Strength Marine Protein Supplement to Promote Hair Growth and Decrease Shedding in Women with Self-Perceived Thinning Hair. (https://www.hindawi.com/journals/drp/2015/841570/). Diakses pada 7 Ogos 2020.
  5. Evaluation of efficacy and safety of finasteride 1 mg in 3177 Japanese men with androgenetic alopecia. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21980923/). Diakses pada 7 Ogos 2020.
  6. The efficacy and safety of dutasteride compared with finasteride in treating men with androgenetic alopecia: a systematic review and meta-analysis. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6388756/). Diakses pada 7 Ogos 2020.
  7. Psychological effects of hair loss. (https://dermnetnz.org/topics/psychological-effects-of-hair-loss/). Diakses pada 7 Ogos 2020.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 07/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan
x