backup og meta

Bahaya Produk Wajah Ada Merkuri! Ikut Tip Ini, Biar Tak Tersalah Beli

Bahaya Produk Wajah Ada Merkuri! Ikut Tip Ini, Biar Tak Tersalah Beli

Kebanyakan kita tahu akan bahaya atau kesan pakai produk merkuri – sejenis logam berat bertoksik yang digunakan di dalam termometer, barometer dan juga perkakas elektrik. 

Namun, tahukah anda ia juga boleh didapati di dalam produk penjagaan kulit wajah?

Tidak dinafikan, kulit yang putih dan cantik merupakan idaman setiap wanita. 

Disebabkan obsesi ini, ramai yang sanggup membeli produk viral di pasaran semata-mata untuk memutihkan wajah.

Namun, kebanyakan produk ini mengandungi merkuri, satu bahan yang amat berbahaya terhadap kesihatan.

Malah, kesan pakai produk merkuri juga amatlah serius. Ia boleh merosakkan wajah dan membuatkan kulit terbakar dan melepuh.

Industri kecantikan, terutamanya pemutihan wajah sedang berkembang dengan sangat pesat terutamanya di negara-negara Afrika, Asia dan Caribbean. 

Bukan wanita sahaja yang menggunakan produk pemutihan wajah, lelaki juga sama!

Produk merkuri dikilangkan di banyak negara termasuklah Bangladesh, China, Hong Kong, Jamaica, Mexico, Pakistan, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat. 

Malah, negara kita juga merupakan antara pengilang terbesar produk yang mengandungi merkuri.

Kesan pakai produk merkuri terhadap kesihatan

bahaya kosmetik

Pendedahan terhadap merkuri boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Malah, bahayanya juga bukan terhad hanya pada pemakai, ia juga boleh memberikan impak yang negatif terhadap ahli keluarga serta orang sekeliling.

Apabila anda menggunakan produk yang mengandungi merkuri, orang lain turut terdedah kepada wapnya. Barang kegunaan harian seperti tuala atau span mandi yang dikongsi boleh menjadi tercemar dengan merkuri.

Ibu mengandung, bayi yang sedang menyusu dan kanak-kanak amat mudah dipengaruhi dengan produk yang mengandungi merkuri.

Bayi juga lebih sensitif kerana merkuri boleh menyebabkan kerosakan pada otak dan sistem saraf mereka.

Sama jugalah dengan bayi yang sedang menyusu. Merkuri yang digunakan oleh ibu boleh meresap ke dalam badan dan masuk ke dalam susu ibu.

Bagaimana hendak kenal pasti produk yang mengandungi merkuri?

kesan pakai produk merkuri

Tidak kiralah apa jua warna kulit anda, pilihlah produk kecantikan yang selamat dan tidak akan merosakkan kulit.

Selalunya, produk yang mengandungi merkuri dijual sebagai produk pemutih wajah atau antipenuaan.

Periksa label di belakang produk. Jika ada perkataan ‘mercurous chloride’, ‘calomel’, ‘mercuric’, ‘mercurio’ atau ‘mercury’, anda perlu berhenti menggunakan produk tersebut secepat mungkin.

Malah, ia juga dikatakan boleh membuang bintik usia, kedutan dan juga membuatkan wajah menjadi lebih cerah dan berseri.

Namun, merkuri juga boleh didapati di dalam alat solek yang digunakan pada kawasan mata seperti celak dan pencuci make-up (merkuri selalunya digunakan sebagai bahan pengawet).

Merkuri yang digunakan dalam alat solek juga mempunyai ketoksikan yang berbeza dan boleh mempengaruhi sistem saraf, pencernaan dan imun. 

Malah, kesan pakai produk merkuri juga boleh merosakkan paru-paru, buah pinggang, kulit dan mata.

Tanda-tanda keracunan merkuri

Antara kesan pakai produk merkuri ialah:

  1. Cepat marah.
  2. Rasa malu secara tiba-tiba.
  3. Tangan menggeletar.
  4. Masalah ingatan.
  5. Tidak boleh mendengar dan melihat dengan baik.
  6. Rasa kebas tangan, kaki atau di sekitar mulut.

Ikut tip ini jika tidak mahu dapat kesan pakai produk merkuri

kesan pakai produk merkuri

Tidak dinafikan, produk yang mengandungi merkuri amat berbahaya terhadap kesihatan.

Namun, sebagai pengguna yang bijak, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk tersebut selamat dan berkesan.

Ada satu tip untuk memeriksa sama ada krim yang anda beli mengandungi merkuri atau tidak.

Cuba sapukan krim tersebut pada tangan dan gosokkan barang kemas yang diperbuat daripada emas. Jika krim tersebut bertukar warna kepada kelabu atau kehitam-hitaman, ia mengandungi merkuri.

Sebab itulah, ada produk yang melarang pengguna untuk menyapu krim pada barang kemas yang mengandungi emas, perak atau aluminium kerana kandungan bahan mereka mungkin akan terbongkar.

Selain itu, krim yang mengandungi merkuri juga mempunyai bau yang kuat dan menusuk hidung.

Ibu yang mengandung dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan produk yang mengandungi merkuri. Implikasinya bukan sahaja akan menimpa si ibu, ia juga boleh membawa masalah kepada bayi dalam kandungan.

Jadilah pembeli yang bijak

kesan pakai produk merkuri

Ingin elak kesan pakai produk merkuri? Hindari daripada membeli produk kecantikan yang diimport atau tertulis bahasa lain pada pek pembungkusnya.

Walaupun produk tersebut dikatakan selamat dan berkesan, namun semua produk yang tidak dilabel dengan betul mungkin mengandungi merkuri, lebih-lebih lagi jika ia menjanjikan perubahan dalam masa yang sangat singkat.

Jika anda terbeli produk yang mengandungi merkuri, buangkannya secepat mungkin.

Merkuri merupakan bahan yang dikategorikan sebagai buangan berbahaya. Jadi, anda perlu membuangnya dengan cara yang betul.

Selain itu, basuh atau buang tuala yang pernah digunakan untuk mengelap produk tersebut. Besar kemungkinan, sisanya masih terlekat pada tuala tersebut.

Anda boleh memeriksa jenama produk yang mengandungi merkuri melalui laman sesawang NPRA. 

Selalunya, produk ini tidak lagi dibenar untuk dikilang, diedar atau dijual di negara kita. Malah, pembekal dan penjual produk merkuri di negara kita boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Hazardous Products: Mercury in Soaps and Creams. https://www1.nyc.gov/site/doh/health/health-topics/mercury-in-soaps-and-creams.page. Accessed on Feb 9, 2022.
  2. Mercury in Consumer Products. https://www.epa.gov/mercury/mercury-consumer-products. Accessed on Feb 9, 2022.
  3. Mercury in skin lightening products. https://www.who.int/publications/i/item/WHO-CED-PHE-EPE-19.13. Accessed on Feb 9, 2022.
  4. Mercury Poisoning Linked to Skin Products. https://www.fda.gov/consumers/consumer-updates/mercury-poisoning-linked-skin-products. Accessed on Feb 9, 2022.
  5. Pembatalan Notifikasi Produk Kosmetik. https://www.npra.gov.my/index.php/en/consumers/safety-information/cancellation-of-notified-cosmetic-products.html. Accessed on Feb 9, 2022.
  6. Skin Products Containing Mercury. https://www.fda.gov/consumers/health-fraud-scams/skin-products-containing-mercury. Accessed on Feb 9, 2022.

Versi Terbaru

23/12/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Mengapa Microbead Diharamkan daripada Produk Kecantikan

Produk Kecantikan dan Kesan Sampingan Bahan Kimia Berbahaya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/12/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan