Apa? Kulit manusia juga adalah organ dan ada banyak struktur dan fungsi kulit itu sendiri?
Bercakap mengenai organ, mungkin anda akan membayangkan tentang hati, jantung, otak, dan buah pinggang.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya kulit manusia juga merupakan sejenis organ pada tubuh badan.
Malahan, ia merupakan organ paling besar dalam tubuh badan manusia dan saiznya boleh mencecah sehingga 20 kaki persegi!
Ramai individu mengambil berat mengenai kulitnya yang penting untuk penampilan diri tetapi mungkin tidak ramai yang tahu apakah struktur dan fungsi organ ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Kulit manusia mempunyai 3 lapisan
Mungkin ia nampak nipis tetapi kulit anda sebenarnya mempunyai 3 lapisan:
- Epidermis – lapisan kulit paling luar, kalis air dan memberikan warna serta tona kulit.
- Dermis – berada di bawah epidermis, mengandungi tisu penghubung yang kuat, folikel rambut, dan kelenjar peluh.
- Hipodermis – lapisan paling dalam ini mengandungi lemak dan tisu penghubung.
Sementara itu, warna kulit anda pula dikawal oleh sel bernama melanosit (melanocytes).
Sel ini terletak di lapisan epidermis dan menghasilkan pewarna atau pigmen yang disebut sebagai melanin.
Semakin banyak melanin dihasilkan, semakin gelap warna kulit seseorang.
Apakah fungsi kulit manusia?
Fungsi kulit boleh dibahagikan kepada 3 yang utama iaitu perlindungan, pengawalan (regulasi), dan deria rasa (sensation).
Perlindungan
Sebagai lapisan tubuh paling luar, kulit berperanan sebagai pelindung fizikal dari tekanan, kecederaan fizikal, radiasi, bahan kimia, dan mikroorganisme.
Tanpa kulit, tisu serta organ dalaman lebih terdedah kepada kecederaan dan jangkitan.
Persekitaran anda sebenarnya penuh dengan pelbagai mikroorganisme.
Anda harus bersyukur kerana mempunyai kulit sihat yang mampu berperanan sebagai pelindung yang menghalang kuman dari masuk ke dalam badan.
Pengawalan (regulasi)
Kulit manusia berperanan mengawal beberapa aspek fisiologi tubuh badan termasuk:
- Suhu badan. Kelenjar peluh di dalam lapisan dermis melepaskan peluh ketika cuaca panas bertujuan merendahkan suhu badan. Sebaliknya pula berlaku semasa cuaca sejuk. Selain itu, rambut dan bulu pada kulit juga membantu mengawal suhu badan.
- Keseimbangan cecair tubuh. Selain mengawal suhu badan, peluh juga membantu mengekalkan keseimbangan cecair di dalam tubuh badan anda. Selain peluh, ceacair badan juga dibuang melalui air kencing dan pernafasan.
- Vitamin D. Interaksi kulit dengan cahaya matahari akan menghasilkan vitamin D melalui proses tertentu dalam tubuh.
Deria rasa (sensation).
Kulit manusia mengandungi jaringan urat saraf yang luas.
Ia berfungsi mengesan deria rasa berbeza seperti panas, sejuk, sentuhan, dan sakit.
Gangguan pada deria ini boleh memberikan kesan yang besar.
Contohnya pesakit diabetes yang menderita kurang deria rasa membuatkan luka yang dialami (biasanya pada kaki) tidak disedari (tiada rasa sakit) sehingga mengalami jangkitan.
Kulit manusia adalah antara organ terpenting!
Jadi, ternyatalah bahawa terdapat banyak struktur dan fungsi kulit di sebalik strukturnya yang agak kompleks ini.
Oleh itu, hargailah organ terbesar tubuh badan ini sama seperti kalian menghargai diri secara total.
Tidak kira warna apa sekalipun, ia tidak membezakan kita dengan mana-mana individu yang lain.