Jerawat boleh muncul pada mana-mana bahagian badan. Anda mungkin fikir wajah merupakan kawasan yang paling terdedah kepada jerawat. Namun, pernahkah anda alami jerawat di celah kelangkang atau di paha?
Tidak kiralah betapa bersihnya celah paha anda, jerawat masih boleh naik di kawasan ini. Manakan tidak, segala peluh dan kelembapan yang ‘tersekat’ di kawasan kelangkang boleh menggalakkan pertumbuhan Miss J.
Jerawat di celah kelangkang juga dikenali sebagai hidradenitis suppurativa (HS) atau acne inversa. Jerawat ini berwarna merah dan sangat menyakitkan.
Malah, ia juga mengeluarkan bau yang busuk dan cecair yang melekit. Kadangkala, cecair ini boleh melekat pada pakaian dan merosakkan baju.
Sekali anda mengalami jangkitan hidradenitis suppurativa, besar kemungkinan anda akan alami jerawat di celah kelangkang atau tempat yang sama pada masa hadapan.
Apakah hidradenitis suppurativa dan mengapa ia berlaku di celah kelangkang?
Hidradenitis suppurativa selalunya berlaku pada bahagian badan yang bergesel antara satu sama lain seperti di celah kelangkang dan paha.
Kawasan ini dipenuhi kelenjar minyak dan peluh. Oleh sebab itu, kelenjar ini lebih mudah tersumbat dengan bakteria dan partikel lain. Sebab itulah, jerawat mudah tumbuh di kawasan ini.
Bukan celah kelangkang sahaja yang terdedah dengan jerawat, bawah ketiak dan celah paha juga sama.
Dalam kalangan wanita, jerawat ini selalunya muncul di sekitar vagina. Manakala, kaum lelaki pula akan mengalaminya di sekitar anus.
Hidradenitis suppurativa bukanlah sejenis penyakit berjangkit. Ia juga bukan disebabkan penghidapnya merupakan seorang yang pengotor.
Hingga hari ini, pakar juga tidak pasti apakah yang menyebabkan jerawat di celah kelangkang. Walau bagaimanapun, mereka berpendapat ia mungkin disebabkan faktor genetik atau persekitaran.
Selain itu, wanita lebih berisiko untuk mengalami kondisi ini.
Menurut American Academy of Dermatology, reaksi sistem imun badan yang berlebihan terhadap kelenjar yang tersumbat juga mungkin merupakan salah satu faktor hidradenitis suppurativa.
Selain itu, perubahan hormon seks juga mungkin boleh menyebabkan jerawat di sekitar kelangkang. Kebanyakan kes jerawat ini selalunya berlaku selepas akil baligh.
Tanda-tanda Hidradenitis suppurativa
Kondisi ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan. Antara tanda dan simptom penyakit ini termasuklah:
- Munculnya bintik hitam di kawasan badan. Selalunya bintik hitam ini akan muncul secara berpasangan.
- Jerawat atau ketulan sebesar kacang. Ketulan ini selalunya berkekalan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Kemudian, lebih banyak ketulan akan muncul lebih-lebih lagi pada kawasan yang terdedah dengan geseran.
- Berbau busuk dan bernanah. Lama-kelamaan, jerawat ini akan pecah dan mengeluarkan nanah yang berdarah dan berbau busuk.
Ada individu yang tidak mengalami simptom yang teruk. Namun, orang yang berbeza selalunya mendapat simptom yang tidak sama.
Berat badan berlebihan serta amalan merokok selalunya akan membuatkan simptom menjadi semakin teruk.
Bagaimanakah saya boleh elakkan jerawat di celah kelangkang?
Jerawat di kawasan kelangkang amat sukar untuk dirawat. Ramai penghidap hidradenitis suppurativa akan rasa tertekan kerana kondisi ini amat sukar untuk ditangani.
Namun, jangan mengalah. Setiap penyakit ada cara rawatan dan pencegahannya.
Jika anda menghidap hidradenitis suppurativa, anda perlulah:
Turunkan berat badan, terutamanya jika anda mempunyai berat badan berlebihan.
- Berhenti merokok.
- Gunakan sabun antiseptik. Doktor akan memberikan sabun ini sebagai preskripsi kepada pesakit hidradenitis suppurativa.
- Letakkan kain hangat pada kawasan jerawat untuk pastikan nanah keluar.
- Pakai pakaian yang longar untuk elakkan geseran.
- Elakkan bercukur di kawasan yang terjejas. Selain itu, jangan pakai minyak wangi atau deodoran.
Kesimpulan
Walaupun hidradenitis suppurativa boleh berlaku selama bertahun-tahun, individu yang mendapat diagnosis awal selalunya mempunyai simptom yang dapat dikurangkan dengan rawatan.
Namun, kondisi ini boleh memberikan impak yang besar terhadap pesakit. Jerawat di celah kelangkang bukan sahaja menyakitkan, malahan pesakit juga terpaksa menukar pakaian dengan kerap disebabkan baunya yang tidak menyenangkan.
Malah, ada pesakit yang menjadi tertekan dan stres disebabkan rasa malu yang amat sangat terhadap kondisi diri.
Selain itu, pesakit hidradenitis suppurativa juga sering menghidap kondisi lain seperti:
- Masalah jerawat.
- Diabetes.
- Sakit jantung.
- Penyakit radang usus (seperti Penyakit Crohn’s).
- Dissecting cellulitis (keguguran rambut yang serius).
- PCOS.
- Berat badan berlebihan atau obes.
Penghidap hidradenitis suppurativa perlu berjumpa doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan. Dengan bantuan doktor, penyakit ini dapat diatasi.