backup og meta

Tak Hamil, Tapi Ada Garis Hitam Macam Mengandung Di Perut? Ini Punca & Cara Hilangkannya!

Tak Hamil, Tapi Ada Garis Hitam Macam Mengandung Di Perut? Ini Punca & Cara Hilangkannya!

Perasan tak garisan hitam di perut? Garis hitam itu namanya linea nigra yang biasa kelihatan pada perut wanita hamil. Tapi anda tidak mengandung, jadi kenapa ia boleh ada? 

Garis hitam linea nigra

Semasa tempoh kehamilan, kebanyakan mak buyung akan mempunyai garis hitam di perut yang menegak. 

Ia dikenali sebagai linea nigra dan selalunya akan mula kelihatan pada sekitar pertengahan kehamilan. 

Pun begitu, bukan wanita mengandung sahaja yang akan mengembangkan garis hitam bawah pusat ini. 

Bahkan, kajian menunjukkan lelaki, wanita yang tidak mengandung dan kanak-kanak turut mempunyai garis gelap pada perut. 

Persoalannya kini, kenapa garisan tersebut berkembang? Apakah wujud cara untuk menghilangkannya?

Memahami tentang garisan hitam di perut

Linea nigra yang dianggap sebagai tanda biasa kehamilan, berasal daripada istilah Latin yang diterjemahkan menjadi ‘garis hitam’.

Garisan gelap pada perut adalah garis gelap dan kecoklatan secara menegak di bahagian perut. Saiz lebar garisan tersebut biasanya tidak lebih daripada ¼ hingga ½ inci. 

Namun bagi sesetengah individu, garis hitam bawah pusat itu mungkin lebih lebar.

Kebiasaannya garisan itu akan kelihatan antara lubang pusat dan kawasan kemaluan. Tetapi ia mungkin dapat dilihat daripada pusat ke bahagian abdomen atas.

Umumnya, kita menganggap garisan hitam di perut muncul semasa kehamilan sahaja, tetapi hakikatnya ia selalu ada walaupun anda tidak mengandung

Garisan yang tidak dapat dilihat dikenali sebagai linea alba. Pada waktu kehamilan, garis tersebut boleh menjadi lebih gelap dan lebih jelas.

garis hitam

Berdasarkan kajian, 92% wanita hamil akan mengalami linea nigra ini. Dalam kumpulan usia yang sama, 16% wanita tidak mengandung turut mempunyai garis gelap pada perut.

Bukan itu sahaja, garisan hitam juga terdapat pada lelaki dan kanak-kanak yang terlibat dalam kajian ini. Maka, garis hitam bukan ciri unik kepada kehamilan semata-mata. 

Punca kewujudan linea nigra jika tidak hamil

Masih tidak dapat ditentukan mengapa garisan hitam di perut menjadi lebih gelap semasa mengandung atau di luar kehamilan.

Rata-rata pakar mempercayai ia mempunyai kaitan dengan hormon.

  1. Hormon faktor penyumbang

Sudah tentu, hormon memainkan peranan besar kepada perubahan badan individu sama ada ketika berbadan dua atau tidak. 

Dipercayai gabungan estrogen dan progesteron menyebabkan melanosit badan atau sel penghasil melanin, membentuk lebih banyak melanin.

Melanin adalah pigmen yang bertanggungjawab untuk warna kulit yang lebih gelap. Individu yang mempunyai kadar melanin yang tinggi akan mempunyai warna kulit lebih gelap. 

Ia melibatkan bahagian kulit yang tersembunyi, atau kawasan kulit lebih ringan seperti linea alba.

  1. Penyakit Addison

Merupakan penyakit yang berlaku disebabkan kekurangan adrenalin dalam badan. 

Keadaan ini sekali gus akan meningkatkan jumlah melanin dalam badan dan menjadikan pembentukan linea nigra walaupun anda tidak hamil. 

Wanita dengan penyakit Addison akan berkemungkinan untuk mempunyai bintik-bintik gelap pada seluruh badan. 

  1. Sindrom ovari polisistik (PCOS)

Keadaan ini menyumbang dominasi estrogen dalam badan, secara tidak langsung menjadikan garisan hitam di perut lebih jelas. 

Jika anda tidak hamil dan garisan gelap pada perut tampak jelas, anda perlu melakukan pemeriksaan PCOS.

  1. Ubat dan persekitaran

Bagi wanita tidak hamil, pengambilan pil kawalan kelahiran dan ubatan tertentu turut menjadi punca kepada tahap perubahan hormon badan. 

Pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari turut meningkatkan pengeluaran melanin. 

Walaupun terdedah kepada sinar UV akan menjadikan kulit yang terdedah berubah gelap, tetapi ia juga menyebabkan bahagian kulit tertentu seperti linea alba tampak lebih hitam. 

  1. Keadaan kesihatan

Jika berasakan keadaan kesihatan mungkin penyebabkan garis hitam bawah pusat semakin jelas, berbincanglah dengan doktor anda. 

Kaedah menghilangkan linea nigra

Sekiranya anda ingin mengurangkan kadar kegelapan garisan hitam di perut, berikut ada beberapa cara yang mungkin dapat membantu.

# Pelindung matahari

Pendedahan kepada cahaya matahari secara berlebihan atau untuk tempoh yang lama mengakibatkan sel kulit menghasilkan lebih banyak melanin. Ini sekali gus menjadi punca kulit gelap.

Akan tetapi anda boleh mengurangkannya dengan menggunakan krim pelindung matahari.

# Asid folik

Pemakanan tinggi asid folik dapat mengurangkan pewarnaan garis kehamilan. Sayuran berdaun dan hijau memberikan sumber asid folik yang baik. 

Namun anda bukan sahaja perlu memperbanyakkan pengambilan asid folik, tetapi menjaga aspek pemakanan agar seimbang dan sihat setiap hari. 

garis hitam

# Vitamin E

Menyapu gel vitamin E dapat memberikan keremajaan yang diperlukan oleh kulit. 

Menyapu gel ini pada kulit setiap hari, dipercayai dapat mengurangkan garisan gelap di perut. Pastikan anda memakainya secara berkala, okay?

Hilang dari masa ke masa

Mengalami tanda kehamilan sedangkan pada realitinya anda tidak mengandung, mungkin sesuatu yang merisaukan. 

Tetapi dalam kes berkaitan linea nigra ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Ia 1 keadaan normal untuk mempunyai garisan gelap pada perut walaupun tidak berbadan dua. 

Ia sesuatu faktor yang di luar kawalan anda. Jadi, usah terlalu bimbang mengenainya, okay?

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Symptoms Linea Nigra. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/addisons-disease/symptoms-causes/syc-20350293/ Accessed on June 18, 2020
  2. Linea Nigra. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19637295/ Accessed on June 18, 2020
  3. Linea Nigra. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2569341/pdf/jnma00186-0055.pdf/ Accessed on June 18, 2020
  4. Linea Nigra. https://dermnetnz.org/topics/linea-nigra/ Accessed on June 18, 2020
  5. Linea Nigra. https://healthjade.net/linea-nigra/ Accessed on June 18, 2020

Versi Terbaru

12/09/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Isteri Selalu Tolak Jika Diajak Bersama? Ini MUNGKIN Sebab Sakit Kelentit! Suami Sila Ambil Tahu

Payudara Lelaki Sama Besar Macam Wanita? Ini Bukan Sebab Gemuk! Tapi Bahaya Tak Macam Ni?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan