Tidak dinafikan bahawa hidup bermadu atau berpoligami itu bukan suatu perkara mudah buat seorang wanita. Banyak perkara yang perlu untuk mereka pertimbangkan.
Selain berkongsi kasih sayang, perhatian dan penjagaan daripada suami, mereka juga mungkin akan rasa risau berkaitan dengan aspek kehidupan seksual di kamar tidur.
Kenapa? Untuk tahu tentang perkara ini dengan lebih lanjut lagi, jom terus baca artikel kami ini!
Berkenaan hidup bermadu atau berpoligami
Meskipun perkara ini tidak dibenarkan atau dibolehkan di dalam agama lain, namun Islam tidak pernah melarang kaum lelaki itu untuk berkahwin lebih daripada satu wanita.
Memandangkan Islam adalah agama rasmi di negara kita ini, maka tidak hairan jika anda pernah terdengar atau terbaca tentang perkara ini. Ia bukan satu benda asing.
Pun begitu, seorang lelaki yang berniat atau berhasrat untuk berkahwin lebih daripada satu, anda mesti mampu dari aspek kesihatan, keperibadian dan kewangan.
Jika tidak, perkahwinan itu mungkin hanya berdasarkan kepada syahwat yang berisiko tinggi untuk berakhir dengan kegagalan. Lelaki, sila ukur baju di badan sendiri!
Dalam pada itu, wanita yang hidup bermadu atau berpoligami ini juga harus lebih berwaspada ya!
Mengapa? Teruskan pembacaan anda.
Risiko penyakit jangkitan kelamin lebih tinggi?
Sekiranya anda adalah salah seorang wanita yang berkongsi suami, anda perlu lebih berwaspada dalam aspek kesihatan dan keselamatan seksual. Jangan ambil mudah ya.
Ya, memang benar bahawa seks itu perlu di dalam hubungan suami isteri. Namun, wujud juga risiko apabila pasangan anda itu turut aktif berhubungan dengan orang lain.
Untuk pengetahuan anda semua, individu itu mungkin akan lebih tinggi risiko terkena penyakit jangkitan kelamin (STD) apabila pasangan mereka tidak mengamalkan seks selamat.
Dalam kes hidup bermadu atau berpoligami, tidak mustahil untuk suami anda itu terkena STD daripada pasangan mereka yang satu lagi lantas membuatkan anda juga terdedah.
Selain kondisi HIV atau HPV, penyakit jangkitan kelamin lain seperti sifilis, herpes, klamidia, gonorea, trikomoniasis dan lain-lain jenis juga akan lebih tinggi risikonya.
Maka, sila amalkan seks yang sihat lagi selamat!
Khas buat wanita yang hidup bermadu atau berpoligami, ada beberapa tip yang anda boleh amalkan:
- Gunakan kondom ketika seks (opsyenel): Selain untuk cegah kehamilan luar jangka, kondom sama ada untuk lelaki atau wanita itu mampu untuk elak penyakit jangkitan kelamin
- Elakkan seks yang bahaya: Anda juga perlu ajar diri untuk tolak permintaan pasangan yang ingin seks bahaya seperti melakukan seks BDSM atau berkongsi alat permainan seks dan lain-lain
- Dapatkan rawatan dan ubatan segera: Sekiranya dapat tahu bahawa anda, pasangan atau pihak ketiga telah dijangkiti STD, segera dapatkan rawatan dan ubatan
- Lakukan rutin pemeriksaan dengan kerap: Bukan niat untuk bersangka buruk pada pasangan, namun pemeriksaan kerap mampu untuk buat anda lebih berwaspada
- Berkomunikasi: Komunikasi itu perkara paling penting. Dengannya, anda dan pasangan mampu untuk bertutur dan berbincang tentang hal kehidupan seksual kalian
Dalam pada itu, anda juga perlu tahu dan buat amalan penjagaan kebersihan anggota seksual agar risiko penyakit jangkitan kelamin itu akan dapat dielak serta dicegah.
Amalan penjagaan kebersihan anggota seksual!
Sebenarnya, amalan penjagaan kebersihan anggota seksual ini tidak hanya penting buat wanita yang hidup bermadu atau berpoligami sahaja. Semua perempuan juga kena tahu.
Miss V yang tidak dipantau dan dijaga dengan baik boleh bawa banyak masalah seperti tinggi risiko STD, menjejaskan kesuburan, keinginan seks serta keupayaan orgasme.
Akibatnya, ia bukan sahaja akan beri kesan buruk kepada kesihatan wanita malah juga kehidupan rumah tangga. Maka, sila periksa faraj anda dengan lebih baik dan kerap.
Jika tidak mahu ia merosakkan kehidupan seksual anda serta pasangan, amalkan perkara berikut:
- Basuh faraj dengan baik dan kerap sebelum dan selepas seks
- Buang air kecil di dalam bilik air sebelum dan selepas seks
- Ambil suntikan vaksinasi untuk elak penyakit yang berkaitan
- Elak tabiat buruk seperti merokok, mengambil alkohol atau dadah
- Buat pemeriksaan faraj secara berkala dan berjadual
Konklusinya, hidup berpoligami atau bermadu itu mungkin masih boleh meningkatkan risiko penyakit jangkitan kelamin meskipun kalian sudah amalkan seks sihat dan selamat.
Untuk kehidupan seksual dan rumah tangga yang bahagia, jangan lalai dalam hal keintiman ya!
[embed-health-tool-ovulation]