backup og meta

Sering Jatuh Sakit Jika Di Tempat Kerja? Jaga-Jaga, Anda Mungkin Alami Sindrom Bangunan Sakit!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 25/08/2021

    Sering Jatuh Sakit Jika Di Tempat Kerja? Jaga-Jaga, Anda Mungkin Alami Sindrom Bangunan Sakit!

    Adakah anda familiar dengan sindrom bangunan sakit? Sindrom ini amat berkait rapat dengan kualiti udara di dalam bangunan.

    Namun, apa sebenarnya sick buiding syndrom ini, dan bagaimana ia boleh buatkan penghuninya jatuh sakit?

    Apa itu sindrom bangunan sakit (SBS)?

    Pernah tak anda rasa sakit kepala, sesak nafas dan pedih mata ketika memasuki sesuatu bangunan?

    Anda rasa macam nak demam. Tapi, setelah keluar daripada bangunan, anda terus rasa baik.

    Itulah dia sick building syndrome atau sindrom bangunan sakit! Seperti namanya, penyakit ini adalah disebabkan oleh bangunan yang anda sedang lawati ataupun diami.

    Sebagai contoh, anda mungkin mengalami sick building syndrome ketika berada di tempat kerja. Semua simptom seperti sakit kepala, sakit mata dan juga sesak nafas akan sekali gus datang menyerang anda.

    Tapi, setelah anda meninggalkan bangunan tersebut, semua simptom tersebut hilang!

    Laporan daripada WHO mendapati hampir 30% daripada bangunan yang terdapat di dunia boleh menyebabkan penghuninya mengalami sick building syndrome.

    Bangunan ini termasuklah rumah yang anda diami ataupun pejabat yang anda bekerja setiap hari.

    Punca utama yang menyebabkan masalah ini adalah kualiti udara yang teruk di dalam bangunan.

    Apa petanda saya mempunyai sick building syndrome (SBS)?

    Anda mungkin sedang mengalami sindrom bangunan sakit jika anda kerap rasa sakit hidung, sakit dada ataupun sesak nafas ketika berada dalam satu-satu bangunan.

    Antara simptom lain SBS termasuklah:

    1. Sakit tekak
    2. Pening kepala
    3. Sukar untuk fokus
    4. Rasa penat
    5. Pelupa
    6. Sakit badan
    7. Demam
    8. Kesejukan
    9. Mual

    Selalunya, anda sendiri tidak pasti apa yang menyebabkan anda rasa sakit. Disebabkan simptomnya yang terlalu biasa, anda mungkin akan anggap anda cuma alami demam biasa ataupun alahan.

    Namun, simptom sindrom bangunan sakit hanya akan muncul jika anda berada di dalam bangunan tersebut.

    SBS paling kerap terjadi di dalam bangunan tempat kerja. Oleh sebab ini, ramai yang mengadu sakit kepala, sesak nafas dan sukar untuk fokus ketika bekerja.

    Ramai pekerja yang melaporkan mereka tidak mengalami apa-apa kesan sick building syndrome ketika bercuti ataupun ketika bekerja dari rumah.

    Ada individu yang mengalami tindak balas yang teruk terhadap SBS. Selalunya, individu yang mengalami alahan ataupun asma akan rasa sangat tidak selesa dan terkesan dengan kualiti udara yang teruk di tempat kerja.

    Walau bagaimanapun, ada juga individu yang tidak akan menunjukkan apa-apa simptom pun terhadap SBS.

    Apa sebenarnya punca sindrom bangunan sakit?

    sindrom bangunan sakit

    1. Ventilasi yang tidak sempurna

    Bangunan yang mempunyai sistem ventilasi yang teruk selalunya akan menyebabkan kualiti udara di dalam satu-satu kawasan itu terjejas.

    Tahukah anda, tahap pencemaran udara di dalam kawasan bertutup adalah 2 hingga 5 kali lebih tinggi daripada tahap pencemaran udara di luar bangunan!

    Oleh itu, kadangkala udara di dalam bangunan boleh jadi lebih bahaya daripada udara luar!

    Penggunaan pendingin hawa yang tidak pernah diservis dan sistem ventilasi tidak efisien di dalam bangunan juga boleh menjadi punca sindrom bangunan sakit.

    Selain itu, pencahayaan dalam bangunan yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan kulat dan kulapuk mudah tumbuh pada permukaan dinding.

    2. Pencemaran kimia

    Kebanyakan punca pencemaran udara dalam bangunan datangnya daripada bahan-bahan yang ada di dalam bangunan itu sendiri.

    Sebagai contoh, karpet, perabot, mesin fotostat, racun serangga dan bahan pencuci boleh mengeluarkan formaldehyde, sejenis gas yang boleh akibatkan iritasi pada mata, hidung dan tekak.

    Gas beracun daripada asap rokok juga boleh kekal berada di dalam satu kawasan yang mempunyai kadar ventilasi yang rendah.

    Bahan kimia yang berbahaya ini kemudiannya terperangkap di dalam bangunan dan disedut pula oleh penghuninya. Sebab itulah ramai yang mengadu sakit kepala, rupanya ada pencemaran kimia dalam pejabat!

    3. Pencemaran biologi dalam bangunan

    Cuba periksa sama ada kawasan yang anda duduk mempunyai masalah tikus, lipas ataupun serangga.

    Najis haiwan-haiwan perosak ini boleh mendatangkan bahaya kepada individu yang menghidunya dalam jangka masa yang panjang.

    Bakteria juga boleh membiak dalam pendingin hawa, ataupun berkumpul di celahan karpet ataupun siling.

    Selain itu, bahan binaan bangunan itu sendiri boleh mengakibatkan pencemaran kimia, lebih-lebih lagi jika bahan itu menyebabkan tumbuhnya kulat pada dinding bangunan.

    Semua ini boleh mengakibatkan batuk, sakit dada, sakit badan dan juga menyebabkan alergi.

    Kesimpulan

    Kualiti udara

    Ada pelbagai cara untuk elakkan SBS, antaranya adalah dengan melakukan pembersihan secara berkala. Anda juga boleh cuba buka tingkap dan galakkan udara luar masuk.

    Sindrom bangunan sakit mungkin tidak akan berikan anda sakit yang teruk, tetapi ketidakselesaan di tempat kerja atau di rumah boleh mempengaruhi emosi anda.

    Cuba periksa tanda-tanda di atas dan cuba baikinya untuk elakkan sindrom bangunan sakit ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 25/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan