Biasanya kita tidak ambil peduli tentang pundi hempedu. Namun apabila timbul masalah kesihatan seperti sakit hempedu, ia boleh menjadi situasi yang sangat menyakitkan.
Pundi hempedu – organ kecil dalam badan
Pundi hempedu atau gallbladder adalah organ yang berbentuk seperti buah pir, dengan kepanjangan 4 inci. Ia terletak di bawah hati pada bahagian kanan atas perut.
Ia menyimpan hempedu (bile) – sebatian yang dihasilkan oleh hati untuk mencerna lemak serta membantu badan menyerap vitamin dan nutrien larut dalam lemak.
Pada pundi hempedu yang sihat, proses ini akan berlaku tanpa rasa sakit.
Pun begitu, jika berlaku penyumbatan di pundi hempedu, ia akan menjejaskan fungsi atau mewujudkan masalah sakit hempedu dan ketidakselesaan boleh terjadi.
Masalah kesihatan berkaitan sakit hempedu
Segala penyakit atau masalah kesihatan yang menjejaskan keadaan mahupun fungsi organ ini akan dianggap sebagai penyakit pundi hempedu.
Keadaan berikut adalah melibatkan semua masalah sakit hempedu, seperti:
- Keradangan pundi hempedu
Turut dikenali sebagai kolesistitis (cholecystitis). Ia boleh menjadi masalah kesihatan akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang).
Keradangan kronik adalah hasil daripada beberapa serangan kolesistitis akut.
Keradangan yang berlaku boleh merosakkan organ ini sehingga menghilangkan kemampuannya untuk berfungsi dengan baik.
- Batu hempedu
Gallstones adalah deposit kecil dan keras terbentuk di pundi hempedu. Deposit ini boleh berkembang tanpa dikesan selama bertahun-tahun.
Batu ini boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti radang, jangkitan dan kesakitan. Ia juga boleh mengakibatkan kolesistitis akut.
Umumnya, saiz batu hempedu sangat kecil. Tetapi ia boleh bertambah besar sehingga menyekat saluran keluar daripada pundi hempedu.
Kebanyakan batu ini terhasil daripada kolesterol dalam hempedu.
Ada juga batu lain seperti batu pigmen yang terbentuk daripada kalsium bilirubinate – bahan kimia yang dihasilkan ketika badan memecahkan sel darah merah.
- Batu hempedu biasa
Sakit hempedu ini terjadi apabila wujud batu pada saluran hempedu biasa, ia dikenali sebagai choledocholithiasis.
Dalam kebanyakan kes, batu jenis ini sebenarnya batu yang berkembang pada gallbladder dan kemudian disalurkan ke saluran hempedu. Ia turut disebut sebagai batu sekunder.
Ada juga batu yang berkembang pada saluran hempedu dan dikenali sebagai batu primer. Ia lebih berisiko menyebabkan jangkitan berbanding batu sekunder.
- Penyakit hempedu tanpa batu
Batu hempedu bukanlah punca kepada semua masalah kesihatan berkaitan organ berbentuk pir ini.
Penyakit hempedu tanpa batu boleh dialami di dalam gallbladder anda.
- Jangkitan saluran biasa
Berlaku apabila saluran tersumbat.
Umumnya, rawatan yang tersedia berkesan jika jangkitan dijumpai lebih awal. Sekiranya tidak, ia boleh merebak dan membawa maut.
- Nanah
Sebilangan pesakit batu hempedu mungkin mengalami nanah pada organ tersebut. Keadaan sakit hempedu ini dikenali sebagai empyema.
Nanah atau abses yang terhasil daripada gabungan sel darah putih, bakteria dan tisu mati boleh menyebabkan sakit perut yang teruk.
Jika masalah kesihatan ini tidak dirawat, ia boleh mengancam nyawa apabila jangkitan mula merebak.
- Ileus batu hempedu
Batu hempedu boleh masuk ke usus dan menyekatnya. Ia keadaan jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.
Biasa terjadi kepada individu berusia 65 tahun ke atas.
- Pundi berlubang
Jika dibiarkan terlalu lama sebelum rawatan, gallstone boleh mengakibatkan pundi berlubang. Ia boleh mengancam nyawa.
Sekiranya tidak dikesan, jangkitan perut berbahaya boleh berkembang dan merebak.
- Polip
Merupakan pertumbuhan tisu abnormal. Ia biasanya jinak atau bukan kanser. Dalam kebanyakan kes polip bersaiz kecil, ia tidak mendatangkan bahaya.
Namun, polip bersaiz besar mungkin perlu dikeluarkan secara pembedahan sebelum berkembang menjadi barah atau menyebabkan masalah kesihatan lain.
- Porcelain gallbladder
Organ sihat akan mempunyai dinding yang sangat berotot. Lama-kelamaan, deposit kalsium boleh mengeraskan dinding ini dan menjadikannya kaku – dikenali sebagai pundi hempedu porselin.
Jika mengalami keadaan ini, anda berisiko untuk menghidapi barah pundi hempedu.
- Kanser
Sakit hempedu melibatkan kanser ini jarang berlaku. Namun jika tidak dikesan dan dirawat, ia boleh merebak ke organ lain dengan cepat.
Merawat sakit hempedu
Antara simptom berkaitan penyakit melibatkan organ kecil ini adalah:
- Sakit di bahagian tengah atau kanan atas perut
- Mual atau muntah
- Demam menggigil
- Perubahan pergerakan usus
- Perubahan dalam air kencing
- Penyakit kuning
Individu dengan gejala penyakit ini disarankan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Jika ada kebimbangan atau keraguan tentang masalah kesihatan yang dialami, lakukan pemeriksaan dengan doktor bertauliah dan elakkan daripada sekadar menggunakan perkhidmatan Dr. Google.
[embed-health-tool-bmr]