backup og meta

Benarkah Saluran Usus & Otak Saling Berkaitan? Ini 4 Keadaan PATUT Anda Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/06/2022

    Benarkah Saluran Usus & Otak Saling Berkaitan? Ini 4 Keadaan PATUT Anda Tahu

    Pernah dengar peribahasa ‘have butterflies in the stomach’? Apa kaitan rasa gemuruh dengan perut? Ini hubung kait antara kesihatan usus dan keadaan otak yang perlu anda fahami.

    Berdasarkan kajian, otak anda boleh mempengaruhi kesihatan usus dan juga sebaliknya. 

    Hubungan antara kesihatan usus dan keadaan otak

    Sistem komunikasi antara usus dan otak disebut sebagai paksi otak-usus (gut-brain axis). Kedua-dua organ ini dihubungkan secara fizikal dan biokimia dalam beberapa cara yang berbeza.

    Ia bermula dengan usus dan otak yang berasal daripada gumpalan tisu yang sama pada embrio. 

    Semasa embrio berkembang dan membesar, otak berada pada bahagian hujung. Manakala usus pula berada pada hujung yang bertentangan. 

    Namun, ia tidak bermakna kedua-duanya tidak berhubung. Bahkan, keadaan otak dan usus masih bersambung melalui saraf Vagus atau sistem saraf viseral/periferal.

    4 kaitan kesihatan usus vs otak

    Umumnya, terdapat hubungan kuat dalam sistem saraf antara otak dan sistem gastrousus.

    Ia adalah dalam bentuk neurotransmitter yang menyampaikan maklumat daripada usus ke otak.

    Oleh itu, otak memberi isyarat kepada sistem usus melalui saraf yang membawa mesej dan mengawal corak aktiviti di usus.

    Hakikat yang tidak diketahui adalah usus sebenarnya mengandungi banyak neuron (sel saraf) seperti saraf tunjang

    Rangkaian saraf pada usus dikenali sebagai Enteric Nervous Systems (ENS), juga disebut sebagai otak kedua atau mini – kerana kemampuannya bekerja dengan, dan bebas daripada otak (Central Nervous systems).

    • Saraf vagus dan sistem saraf

    Neuron adalah sel yang terdapat pada otak dan sistem saraf pusat yang memberitahu tubuh bagaimana untuk beraksi.

    Terdapat kira-kira 100 bilion neuron di otak manusia.

    Menariknya, usus mengandungi 500 juta neuron, yang disambungkan ke otak melalui saraf di sistem saraf.

    Saraf vagus adalah salah satu saraf terbesar yang menghubungkan kesihatan usus dan otak anda. Ia menghantar isyarat kepada kedua-dua arah. 

    Sebagai contoh, dalam kajian haiwan, tekanan menghalang isyarat yang dihantar melalui saraf vagus dan juga menyebabkan masalah gastrousus. 

    Ini menunjukkan saraf vagus penting dalam komunikasi paksi otak-usus.

    • Neurotransmitter

    Kesihatan usus dan keadaan otak juga dihubungkan melalui bahan kimia yang disebut neurotransmitter – dihasilkan di otak yang mengawal perasaan dan emosi.

    Misalnya, serotonin neurotransmitter menyumbang kepada perasaan bahagia dan juga membantu mengawal jam badan anda.

    Menariknya, kebanyakan neurotransmitter ini juga dihasilkan oleh sel usus dan trilion mikroba yang tinggal di sana. Bahkan, sebilangan besar serotonin dihasilkan dalam usus.

    keadaan otak

    Mikroba usus anda juga menghasilkan neurotransmitter yang disebut asid gamma-aminobutyric (GABA) – membantu mengawal perasaan ketakutan dan kegelisahan.

    • Mikroba usus hasilkan bahan kimia lain yang mempengaruhi otak

    Trilion mikroba yang tinggal dalam usus juga menghasilkan bahan kimia lain yang mempengaruhi bagaimana otak berfungsi.

    Mikroba usus menghasilkan banyak asid lemak rantai pendek (SCFA) seperti butirat, propionat dan asetat.

    SCFA dihasilkan dengan mencerna serat. SCFA mempengaruhi fungsi otak dalam beberapa cara, seperti mengurangkan selera makan.

    Satu kajian mendapati bahawa pengambilan propionat dapat mengurangkan pengambilan makanan.

    Di samping itu, ia juga mengurangkan aktiviti di otak yang berkaitan dengan ganjaran makanan bertenaga tinggi (reward from high-energy food).

    SCFA lain – butirat dan mikroba yang menghasilkannya juga penting untuk membentuk penghalang antara otak dan darah, yang disebut penghalang darah-otak (blood-brain barrier).

    Mikroba usus juga memetabolismekan asid hempedu dan asid amino untuk menghasilkan bahan kimia lain yang mempengaruhi keadaan otak.

    Asid hempedu adalah bahan kimia yang dibuat oleh hati yang biasanya terlibat dalam menyerap lemak makanan. Walau bagaimanapun, ia juga boleh mempengaruhi otak.

    Dua kajian pada tikus makmal mendapati bahawa tekanan dan gangguan sosial mengurangkan pengeluaran asid hempedu oleh bakteria usus dan mengubah gen yang terlibat dalam pengeluarannya.

  • Mikroba usus mempengaruhi keradangan

  • Komunikasi paksi otak-usus juga dihubungkan melalui sistem imun.

    Mikroba usus dan usus memainkan peranan penting dalam sistem imun dan keradangan dengan mengawal apa yang disalurkan ke dalam badan dan apa yang dikeluarkan.

    tekanan

    Jika sistem imun terganggu untuk tempoh jangka masa lama, ia boleh menyebabkan keradangan. Keadaan tersebut boleh mengakibatkan gangguan pada otak seperti kemurungan dan penyakit Alzheimer.

    Hubungan fizikal dan kimia usus dan otak

    Paksi usus-otak merujuk kepada hubungan fizikal dan kimia antara kesihatan usus dan keadaan otak anda.

    Berjuta-juta saraf dan neuron bergerak di antara usus dan otak anda. Neurotransmitter dan bahan kimia lain yang dihasilkan dalam usus juga boleh mempengaruhi otak. 

    Dengan mengubah jenis bakteria berkaitan kesihatan usus seperti menjaga aspek diet pemakanan harian, mungkin dapat meningkatkan kesihatan otak anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan