brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Kajian Kata Pencemaran Udara Punca Osteoporosis Meningkat, Ini Sebabnya!

Kajian pada tahun 2020 telah menemui kaitan di antara pencemaran udara dan masalah tulang rapuh (osteoporosis).

Kajian Kata Pencemaran Udara Punca Osteoporosis Meningkat, Ini Sebabnya!

Perkara ini telah dibuktikan oleh pengkaji dari Institut Barcelona yang telah menganalisis kaitan di antara pencemaran udara dan kesihatan tulang dalam kalangan 3,700 subjek.

Kesemua subjek berasal dari Hyderabad yang terletak di India Selatan dan mereka sering mempraktiskan amalan pembakaran terbuka untuk menyediakan makanan.

Melalui kajian tersebut, mereka mendapati bahawa pendedahan penduduk terhadap bahan pencemaran (PM2.5) adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan apa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Akibatnya, dapatan menunjukkan ketumpatan tulang mereka turut terjejas.

Jika anda ingin mengetahui pencemaran udara punca sakit badan dengan lebih lanjut, baca artikel ini sehingga habis.

Fahami apa itu osteoporosis

Osteoporosis adalah penyakit tulang yang berlaku apabila badan anda kehilangan atau menghasilkan jumlah sel tulang yang rendah atau kedua-duanya sekali.

Kesannya, tulang mereka yang mengalami masalah ini akan menjadi rapuh dan mudah patah apabila mereka jatuh. Lebih teruk lagi, ada yang patah tulang selepas bersin!

Selain daripada pencemaran udara, terdapat pelbagai faktor yang sering dikaitkan dengan masalah osteoporosis seperti peningkatan usia, ketidakseimbangan hormon dan malnutrisi.

Jika dilihat melalui mikroskop khas, struktur tulang yang padat akan bertukar seakan-akan bentuk sarang lebah dengan lubang di tengahnya.

Keadaan ini membuatkan ia menjadi kurang tumpat dengan struktur tisu menjadi tidak normal.

Kesannya, tulang menjadi lemah dan lebih mudah mengalami keretakan dan patah. 

Masalah kesihatan ini mempengaruhi jutaan individu di seluruh dunia. Lebih berisiko lagi bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti apa yang cuba digambarkan dalam kajian oleh Institut Barcelona.

Pencemaran udara bukanlah sesuatu yang asing terutamanya di kawasan bandar. Apabila berlakunya fenomena besar seperti hutan terbakar dan sebagainya, ia boleh menyebabkan masalah pencemaran seperti jerebu. 

Penting bagi setiap individu untuk memahami bahawa kedua-dua perkara ini (pencemaran udara dan osteoporosis) saling berkait.

Maka, tanggungjawab untuk memelihara tahap kesihatan warga tua dan golongan yang berisiko jatuh ke atas bahu kita semua.

Apa sains di sebalik pencemaran udara punca sakit badan?

Apabila partikel pencemaran masuk ke dalam sistem pernafasan manusia, ia boleh menyebabkan proses keradangan dan tekanan oksidatif meningkat.

Dalam konteks artikel ini, pada tulang mereka yang menghidu partikel tersebut.

Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa pencemaran boleh membentuk penghalang fizikal terhadap radiasi ultraungu B.

Keadaan ini bukanlah sesuatu yang elok memandangkan radiasi tersebut penting dalam penghasilan vitamin D untuk memperkayakan tulang manusia.

Menurut ramalan pengkaji, pada tahun 2050, masalah tulang pinggul retak akan meningkat sehingga mencecah 51% berikutan peningkatan populasi berusia dan kesan urbanisasi.

Mereka meramalkan terdapat kaitan di antara kehidupan bandar dengan kesihatan tulang melalui pencemaran udara.

Ia membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan untuk mengawal pencemaran udara bagi memastikan tahap kesihatan tulang berada pada paras yang optimum.

Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar pencemaran udara

Bukan mudah untuk kita mengurangkan pencemaran udara. Ia merupakan satu bentuk usahasama yang perlu dipraktikkan oleh setiap individu bagi melihat kesan baik dalam satu jangka masa.

Antara tip bagi mengurangkan pencemaran udara punca sakit badan, terutamanya di dalam kawasan rumah, yang boleh diamalkan oleh anda adalah:

  1. Gunakan kenderaan awam, tumpang kereta kawan atau lebih baik, berjalan bagi mereka yang mampu untuk ke destinasi tertentu (kerja, membeli belah dan sebagainya).
  2. Pastikan anda memeriksa kenderaan anda dan memastikan sistem penapisan udara dan sebagainya berfungsi dengan baik.
  3. Berhenti merokok atau pastikan anda tidak merokok di dalam rumah.
  4. Pastikan rumah anda mempunyai sistem pengudaraan yang efisien.
  5. Pastikan kawasan anda memasak mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
  6. Kurangkan penggunaan wangian di dalam rumah.
  7. Gunakan penyaman udara untuk mengurangkan tahap lembapan di dalam rumah.
  8. Bersihkan permukaan berhabuk dan vakum secara berkala.
  9. Kurangkan penggunaan barangan elektrik di rumah dan gunakan kuasa solar, jika mampu.
  10. Tanam lebih banyak tumbuhan terutamanya yang terbukti boleh membasmi karbon monoksida.

Konklusi

Pencemaran udara punca sakit badan boleh mempengaruhi tahap kerapuhan tulang. Kajian menunjukkan mereka yang terdedah kepada partikel pencemaran lebih berisiko untuk mengalami osteoporosis.

Sekiranya anda mempunyai faktor risiko atau lambat sembuh setelah mengalami masalah tulang retak/ patah, rujuk doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.

medical
Dr. Joseph Tan
Disemak secara perubatan oleh
Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada seminggu lalu