Perkara yang perlu dilakukan untuk pastikan syelek selamat
Tidak dinafikan, ada banyak fungsi syelek. Sebab itulah ia menjadi pilihan sebagai kemasan.
Ada beberapa langkah yang boleh diambil jika anda ingin kekal selamat semasa menggunakan syelek kayu:
1. Periksa label syelek kayu sebelum beli
Pastikan jenama syelek yang dibeli selamat untuk digunakan dan mendapat pengesahan daripada badan berwajib. Jika boleh, pilih syelek yang berasaskan air, tidak mengandungi pelarut beralkohol atau bahan-bahan berbahaya seperti logam berat dan eter glikol.
2. Lindungi diri anda

Syelek bukan hanya akan melekat pada permukaan perabot, malah ia juga akan melekat pada tangan anda! Oleh sebab itu, pakai sarung tangan getah, baju lama dan kaca mata keselamatan (safety goggles) untuk mengelakkan diri daripada sebarang bahaya.
Malah, syelek juga boleh menyebabkan tindak balas alahan terhadap sesetengah individu. Pastikan anda lebih berhati-hati dan elakkan terkena kesan syelek pada kawasan tangan atau kaki.
3. Jauhkan syelek kayu daripada sumber api
Syelek amat mudah terbakar. Malah, asap yang terhasil daripada proses pembakaran ini juga sangat berbahaya terhadap kesihatan anda.
Jadi, pastikan anda lakukan semua projek DIY di luar rumah. Jangan sesekali berada dekat dengan sumber api. Jika anda merokok, jangan duduk hampir dengan perabot yang baru disapukan syelek. Jika anda tidak berhati-hati, habislah projek DIY anda disambar api!
4. Ventilasi, ventilasi, ventilasi!
Ya, ventilasi sangat penting semasa menggunakan syelek. Jika boleh, cat perabot di luar rumah. Kalau anda terpaksa lakukannya di dalam, buka tingkap dan pasang kipas untuk pastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik.
Berhenti menggunakan syelek jika anda rasa pening kepala atau ingin pitam. Pastikan anda minta ahli keluarga untuk bawa anda ke klinik secepat mungkin.
Baca juga:
5. Buang kain buruk dengan selamat

Ramai yang lupa bahawa kain buruk yang digunakan untuk mengelap syelek juga boleh mendatangkan bahaya. Kain buruk ini mudah terbakar dan mungkin beracun untuk haiwan yang berkeliaran di sekitar rumah.
Oleh sebab itu, rendam kain buruk dalam baldi sebelum buang. Ini akan mengurangkan risiko kebakaran. Kemudian, asingkan kain buruk yang digunakan untuk mengelap syelek daripada sampah lain. Buang dengan betul dan jangan sesekali biarkan kain tersebut terbiar di sekeliling rumah.
Dengan langkah keselamatan yang betul, sesiapa sahaja boleh menggunakan syelek dengan selamat. Pastikan anda ikut semua tip kami di atas untuk pastikan diri anda dan keluarga tidak terdedah dengan bahaya syelek kayu.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen