Kami percaya pasti ramai yang gemar makan petai. Selain untuk mendapatkan khasiat petai itu sendiri, ramai yang gemarkan ulam ini disebabkan rasa dan baunya yang membangkitkan selera dalam sesuatu hidangan. Apatah lagi jika dimasak bersama sambal udang atau sotong. Bagi anda yang membeli petai dengan kuantiti yang banyak, ikuti cara simpan petai tahan lama ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
3 cara simpan petai tahan lama
Buat peminat petai, anda mesti tahu kaedah simpan petai agar ia sentiasa segar dan tahan lama untuk dimasak berkali-kali.
Ini kerana, jika di luar musim, buah petai mungkin dijual dengan harga yang lebih tinggi daripada biasa.
Oleh itu, adalah lebih baik untuk membelinya pada harga yang murah dengan kuantiti yang banyak bagi dijadikan stok untuk memasak.
Ikuti tiga cara simpan petai tahan lama di bawah ini.
Cara simpan petai tahan lama 1: Simpan dalam bekas air
Cara pertama yang boleh anda lakukan untuk menyimpan petai adalah dengan meletakkannya dalam bekas air.
Cara ini dikatakan boleh mengekalkan kesegaran petai selain menjadikan ia lebih rangup. Lihat caranya di bawah ini:
- Anda boleh mengopek petai daripada kulitnya terlebih dahulu, atau dibiarkan bersama kulitnya. Jika petai dibiarkan bersama kulitnya, ia mestilah dipotong kecil-kecil mengikut ‘mata’ petai tersebut.
- Petai yang telah dikopek atau dipotong kecil perlu dibersihkan terlebih dahulu bagi mengelakkan kerosakan pada petai tersebut.
- Kemudian, masukkan petai ke dalam balang kaca atau botol plastik yang bersih.
- Isikan air sehingga menutupi keseluruhan petai tersebut.
- Simpan botol atau balang tersebut dalam peti sejuk di bahagian bawah.
- Pastikan anda menukar air dalam botol petai sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Ini bagi mengelakkan air menjadi busuk dan merosakkan petai yang disimpan.
Cara simpan petai tahan lama 2: Bilas dengan air panas
Selain daripada cara di atas, ada juga kaedah kedua yang boleh digunakan agar petai yang disimpan tahan lebih lama.
Cara ini mungkin agak jarang diamalkan namun ia boleh dicuba sebagai satu kaedah yang baharu.
Caranya ialah:
- Masak air sehingga mendidih atau sediakan air panas.
- Kopek biji petai daripada kulitnya dan basuh sehingga bersih.
- Tuangkan air panas ke dalam mangkuk petai yang telah dikopek. Kemudian, kacau petai selama 3 hingga 5 minit. Hati-hati ketika mengacau buah petai kerana ia melibatkan penggunaan air panas.
- Kemudian, toskan petai tersebut.
- Dalam bekas yang lain, sediakan ais batu dan isikan dengan air sejuk. Selepas itu, masukkan petai yang telah ditoskan ke dalam air ais tersebut.
- Kacau dengan menggunakan sudu selama 2 minit, kemudian toskan petai tersebut. Penggunaan air sejuk boleh membantu menghentikan pemanasan pada petai dan mengekalkan tekstur yang rangup pada petai.
- Selepas ditoskan, lap petai dengan menggunakan tisu dapur sehingga benar-benar kering.
- Seterusnya, masukkan petai yang telah kering ke dalam beg plastik atau bekas kedap udara.
- Masukkan bekas petai ke dalam bahagian sejuk beku peti ais. Ia boleh disimpan sehingga satu tahun.
Tip simpan petai tahan lama 3: Bekukan dalam peti sejuk
Cara yang ketiga ini juga boleh membantu anda menyimpan stok petai lebih lama. Ia juga dikatakan boleh mengekalkan khasiat buah petai daripada hilang.
Ikuti cara penyimpanannya seperti di bawah ini:
- Kopek kulit petai dan pastikan anda membuang selaput yang menempel pada buah petai tersebut.
- Sediakan air garam dan rendamkan buah petai dalam air tersebut selama 10 hingga 15 minit.
- Bilas buah petai dengan air bersih dan toskan.
- Kemudian, masukkan buah petai ke dalam bekas kecil dan bekukannya dalam peti ais. Jangan sesekali memasukkan air ke dalam bekas petai.
- Sebelum dimasak, rendam petai terlebih dahulu dalam air biasa untuk menyahbekukannya.
Kesimpulan
Tiga cara simpan petai tahan lama yang telah dikongsikan ini bukan sahaja mengekalkan khasiat petai, tetapi juga menjadikan petai kekal segar dan rangup.
Selain itu, penyimpanan petai dengan tiga kaedah tersebut juga boleh mengelakkan petai menjadi lecuh dan seterusnya rosak.
Sebaiknya, gunakan buah petai segar untuk sebarang hidangan kerana aroma dan rasanya lebih kuat.
Namun, jika sukar untuk mendapatkan petai, anda boleh membeli dengan kuantiti yang banyak dan menyimpannya di dalam peti sejuk.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]