Mungkin ada sesetengah daripada pembaca kami yang kurang arif berkenaan cara pilih ketam di pasar. Siapa sahaja yang tidak mahu ketam dengan telur yang banyak dan berisi penuh kan? Kami kongsikan kepada anda beberapa petua cara memilih ketam berserta cara siang ketam.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Cara nak pilih ketam confirm manis dan banyak isi!
Ketam sememangnya adalah antara makanan laut yang tinggi nutrisi dan mineral penting.
Bagi orang Melayu, ketam biasa dimasak lemak atau digoreng bercili. Ada juga yang lebih gemar direbus kosong sahaja kerana isi ketam lebih manis dan terasa.
Apa pun masakannya, ketam yang dimasak itu mestilah yang berkualiti tinggi.
Ketam yang penuh isi dan banyak telur merupakan jenis yang perlu dicari.
Tetapi, bagaimana hendak memilih ketam yang sebegini? Sebelum anda belajar cara siang ketam, anda perlu tahu cara memilih ketam terlebih dahulu.
#1. Ketam mesti berat
Ketam yang berat merupakan tanda pertama bahawa ia mempunyai isi yang banyak.
Tidak kira apa pun saiznya, ia boleh dirasa dengan tangan sama ada ia ringan atau berat.
Namun perlu diingat, ketam yang bersaiz besar biasanya lebih mahal berbanding ketam bersaiz kecil.
Oleh itu, pilih saiz dan gred ketam mengikut bajet anda dahulu sebelum menganggarkan berat ketam.
#2. Lihat warna ketam
Hendak tahu cara siang ketam, kena tahu beza warna ketam dahulu.
Bagi jenis ketam bunga, ia sebenarnya mempunyai dua warna. Satu berwarna kebiruan dan satu lagi berwarna kecoklatan atau sedikit kehijauan.
Kedua-duanya mempunyai bintik putih, namun bintik pada ketam bunga biru lebih besar dan menyerlah.
Ketam berwarna biru juga mempunyai sepit yang lebih besar dan panjang berbanding ketam bunga coklat.
Sebenarnya, ketam bunga biru adalah ketam jantan manakala yang berwarna kecoklatan pula merupakan ketam betina.
Pilihlah ketam betina kerana ia mempunyai telur yang banyak.
#3. Lihat bawah ketam
Jika anda menterbalikkan badan ketam, anda boleh melihat bahagian tengah cangkerangnya.
Bagi ketam jantan, ia mempunyai bentuk cangkerang tengah yang agak lurus memanjang.
Manakala untuk ketam betina, bahagian tengahnya mempunyai bentuk yang membulat atau melebar.
#4. Beli ketam semasa bulan mengambang
Jika anda lihat bulan pada malam ini adalah bulan penuh atau mengambang, anda boleh cuba mendapatkan ketam di pasar pada keesokan hari.
Biasanya, ketam pada waktu bulan mengambang mempunyai isi yang padat dan tebal.
#5. Lihat tanda oren bawah ketam
Ketam betina yang mempunyai banyak telur biasanya akan mempunyai tanda berwarna oren pada bahagian cengkerang bawah.
Anda boleh cuba membuka sedikit cangkerang bawahnya untuk melihat tanda-tanda ketam sedang bertelur banyak.
Cara siang ketam yang boleh anda buat
Terdapat banyak kaedah dan cara siang ketam yang boleh anda gunakan. Ia sebenarnya bergantung kepada individu dan cara masakan tersebut.
Biasanya, ketam akan disiang seperti berikut:
- Basuh bersih ketam dengan air paip bagi membuang segala pasir dan batu.
- Kemudian, terbalikkan badan ketam dan lihat pada bahagian tengah cangkerang di bawahnya. Kopek dan tanggalkan cangkerang bawah tersebut kerana ia merupakan bahagian insang ketam.
- Apabila anda menanggalkan bahagian bawah ketam, bahagian cangkerang atas ketam juga akan turut tertanggal sekali.
- Setelah itu, buang segala insang yang masih melekat dan juga isi perutnya.
- Bersihkan dengan menggunakan air paip.
- Kemudian, potong bahagian hujung semua kaki ketam kerana ia tidak mempunyai isi.
- Selepas itu, belah ketam kepada dua bahagian.
- Untuk sepit ketam, anda boleh memisahkannya daripada badan jika ia agak besar. Ketuk sedikit dengan lesung batu agar ia lebih mudah untuk dimakan nanti.
- Basuh sehingga bersih dan siap untuk dimasak.
Kesimpulan
Kini anda telah tahu cara pilih ketam dan juga cara siang ketam yang paling mudah.
Selepas ini, anda boleh memilih ketam di pasar atau ketam segar near me dengan yakin dan boleh mendapatkan ketam yang berkualiti.
Tapi tengok-tengok juga harganya kerana ketam bukanlah makanan laut yang murah ya!
Ahli keluarga anda pasti akan lebih puas menikmati ketam yang penuh isi dan juga telur.
[embed-health-tool-bmi]