Pernahkah anda dengar tentang diet Dukan? Diet Dukan adalah sejenis diet rendah karbohidrat, tinggi protein yang seakan-akan sama dengan diet Atkins. Artis popular seperti Jennifer Lopez dan Kerabat Diraja British, Kate Middleton juga pernah melakukan diet Dukan.
Diet ini dicipta oleh Dr. Pierre Dukan selepas diinspirasikan oleh seorang pesakit yang obes.
Pesakit tersebut telah memberitahu Dr. Dukan bahawa dia boleh berhenti makan apa sahaja makanan di dunia ini, kecuali daging.
Pada tahun 2000, Dr. Dukan telah melancarkan buku The Dukan Diet yang terjual hampir 3 juta salinan di seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, diet Dukan mempunyai kontroversinya yang tersendiri dan telah menerima krtikan daripada profesional disebabkan cara pemakanan yang tidak seimbang.
Diet Dukan dapat membantu menurunkan berat badan. Namun, ia juga boleh menyebabkan komplikasi kesihatan seperti penyakit buah pinggang dan hati.
Tambah lagi, diet ini juga tidak membekalkan nutrisi yang sempurna mengikut apa yang diperlukan oleh tubuh badan kita.
Namun, apakah yang istimewa mengenai diet Dukan Kate Middleton ini? Jom sama-sama baca kupasan tentangnya dalam artikel di bawah.
Apakah maksud diet Dukan?
Diet Dukan adalah sejenis diet yang memfokuskan pada pengambilan makanan yang tinggi protein. Dalam masa yang sama, pengamalnya perlu mengurangkan pengambilan karbohidrat dan lemak.
Pengamal diet ini digalakkan untuk mengambil makanan semula jadi dan bukannya makanan yang dibungkus atau diproses. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu melakukan senaman setiap hari.
Di dalam laman sesawang diet Dukan, terdapat senarai 100 makanan yang dibolehkan dalam diet. Di antara 100 makanan tersebut, 68 adalah protein dan 32 lagi adalah sayuran.
Diet ini juga terbahagi kepada 4 tahap. Makanan lain boleh dimasukkan ke dalam diet pada tahap terakhir.
Namun, bagaimana diet Dukan membantu kita menurunkan berat badan?
Antara teori diet dukan adalah:
- Makanan tinggi protein mempunyai kalori yang lebih rendah.
- Makan protein boleh membuatkan kita kenyang.
- Mencerna protein memerlukan lebih banyak tenaga, jadi badan akan membakar lebih kalori.
4 fasa diet Dukan
Semasa melakukan diet Dukan, anda akan mengambil banyak protein dan oat. Diet ini terbahagi kepada 4 fasa utama iaitu:
1. Fasa serangan (Attack phase)
Fasa pertama berlangsung selama 5 hingga 10 hari dan menjanjikan keputusan pantas.
Pada waktu ini, anda boleh makan semua protein yang anda mampu, bersama 1.5 sudu oat dan sekurang-kurangnya 6 cawan air setiap hari.
Pengamal diet Dukan mempunyai 72 jenis protein berbeza untuk dipilih pada fasa awal ini. Mereka juga tidak dibenarkan mengambil karbohidrat langsung.
2. Fasa ‘cruising’ (Cruising phase)
Pada fasa ‘cruising’, berat badan akan terus menurun. Namun, mereka yang menjalani diet Dukan kini boleh mengambil 32 jenis sayuran yang berbeza.
Selain itu, tempoh fasa ini juga akan berbeza mengikut jumlah berat yang ingin dikurangkan. Bagi setiap paun (0.5 kg), anda perlu menambah 3 hari diet.
Mereka juga dikehendaki bersenam selama 30 hingga 60 minit setiap hari dan makan 2 sudu oat bran.
3. Fasa pengukuhan (Consolidation phase)
Makanan yang sebelum ini tidak dibenarkan seperti buah-buahan dan produk tenusu boleh dimasukkan kembali ke dalam diet secara perlahan-lahan.
Malah, mereka yang melakukan diet Dukan juga boleh mengambil dua ‘makanan istimewa’ seminggu sebagai cheat day. Pada fasa ini, anda dibenarkan mengambil apa sahaja makanan yang anda inginkan.
Tujuan utamanya bukanlah untuk menurunkan berat badan namun untuk mengekalkan berat yang sedia ada.
Fasa ini juga memerlukan anda untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya 25 minit sehari.
4. Fasa stabilisasi (Stabilization phase)
Pada fasa ini, apa yang penting adalah mengekalkan tabiat serta berat badan yang sedia ada.
Malah, anda boleh makan apa sahaja yang disukai pada fasa ini, kecuali satu hari dalam seminggu di mana anda perlu mengikuti pelan makan yang sama seperti dalam fasa serangan.
Pada hari ini, anda boleh makan 3 sudu oat bran dan berjalan kaki selama 20 minit sehari.
Diet Dukan adalah berkesan jika…
Kajian menunjukkan, diet tinggi protein berkesan untuk menurunkan berat badan. Namun, kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan masih belum diketahui.
Malah, belum ada bukti yang dapat menyokong gabungan diet tinggi protein dan senaman dapat mengekalkan penurunan berat badan.
Ada juga risiko untuk anda kembali makan seperti biasa selepas diet berakhir. Jadi, besar kemungkinan berat anda akan meningkat semula pada masa hadapan.
Tidak seperti diet lain, diet Dukan menfokuskan pada pengambilan protein daripada daging pejal dan bukannya daging yang mengandungi banyak lemak tepu.
Pengambilan protein juga dapat membuatkan anda rasa kenyang lebih lama dan membantu penurunan berat badan.
Diet Dukan adalah sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan dengan pantas.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang menghidap penyakit tertentu, pastikan anda mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang diet.
[embed-health-tool-bmr]