Eat clean, antara diet pemakanan yang popular terutamanya di media sosial. Ia banyak dipaparkan di iklan-iklan makanan sihat, kecergasan badan, dan seumpamanya.
Bagi yang masih asing dengan diet ini, jangan terkeliru kerana clean eating tiada kena mengena dengan tahap kebersihan suatu makanan.
Ia merujuk kepada usaha dan kesedaran untuk makan makanan yang memberikan manfaat dan nutrisi terbaik kepada tubuh.
Justeru, kepada para pembaca di luar sana yang berazam untuk kelihatan ramping dan sihat pada tahun baharu ini, diet eat clean adalah pilihan terbaik untuk dicuba!
Tip-tip diet eat clean
#1 Kurangkan pengambilan gula
Mengurangkan jumlah gula dalam diet harian boleh menjadi antara cabaran yang paling sukar untuk dilakukan bagi sesetengah individu, baik orang muda mahupun tua.
Untuk mengurangkan pengambilan gula, kurangkan ambil makanan dengan gula tambahan seperti soda, gula-gula, kek, dan lain-lain.
Jika anda sudah terlalu ‘sangkut’ dengan gula, antara alternatif yang boleh dicuba adalah dengan memakan banyak buah. Gula yang terkandung di dalam buah-buahan adalah sihat.
Ini kerana kesan gula dalam buah tidak dapat dilihat dengan segera. Ia berkait rapat dengan beberapa nutrien lain seperti protein, vitamin, dan serat.
Oleh itu, makanlah seberapa banyak buahan yang anda mahukan! Tetapi, jangan keterlaluan pula ya.
#2 Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan
Sayur-sayuran dan buah-buahan, sememangnya tidak dapat dinafikan amat menyihatkan.
Ia penuh dengan serat, vitamin, mineral, dan sebatian tumbuhan yang membantu melawan keradangan dan melindungi sel anda daripada kerosakan.
Sebenarnya, banyak kajian besar mengaitkan pengambilan buahan dan sayuran yang tinggi dengan pengurangan risiko penyakit seperti kanser dan penyakit jantung.
Sayuran dan buah-buahan segar sangat sesuai untuk konsep diet eat clean, kerana kebanyakannya boleh dimakan mentah sebaik sahaja dipetik dan dicuci.
Manakala, memilih hasil organik pula dapat bantu anda mengamalkan diet ini selangkah lebih jauh dengan mengurangkan pendedahan racun perosak dan berpotensi meningkatkan kesihatan.
Berikut adalah beberapa cara mudah untuk memasukkan lebih banyak buahan dan sayuran ke dalam pemakanan anda:
- Jadikan salad anda berwarna-warni dan menarik, sertakan sekurang-kurangnya 3 jenis sayur dengan warna berbeza
- Tambahkan buah beri, epal, atau oren ke dalam makanan kegemaran anda
- Basuh dan potong sayuran, masukkan minyak zaitun dan herba, kemudian letakkan di dalam bekas dalam peti sejuk untuk mudah diambil dan makan
#3 Hadkan makanan yang diproses
Pengambilan makanan diproses adalah bertentangan dengan gaya hidup clean eating, kerana makanan tersebut telah diubah daripada keadaan semula jadinya.
Sebilangan besar makanan yang diproses kehilangan sebahagian serat dan nutrien malah dimasukkan pula gula dan bahan-bahan kimia lain.
Tambah lagi, makanan yang diproses dikaitkan dengan isu keradangan dan peningkatan terhadap risiko penyakit jantung.
#4 Memasukkan sumber protein, karbohidrat, dan lemak dalam setiap hidangan
Untuk mendapatkan zat terbaik, anda harus mencuba masukkan seberapa banyak yang mungkin sumber-sumber protein, karbohidrat dan lemak dalam setiap hidangan harian.
Bagi kebanyakan individu, memasukkan sumber karbohidrat dan lemak dalam makanan, terutamanya untuk sarapan pagi dan makan tengah hari, tidaklah begitu sukar.
Ini kerana cabaran sebenarnya adalah untuk memasukkan sumber protein ke dalam makanan harian.
Oleh itu, mulai sekarang, latih diri untuk sentiasa sertakan ketiga-tiga sumber ini setiap kali anda menyediakan makanan.
#5 Baca label
Walaupun clean eating berdasarkan makanan segar, namun sesetengah jenis makanan tertentu boleh disertakan dalam diet harian, seperti sayur-sayuran, kekacang, dan daging yang dipek.
Namun, penting untuk membaca label bagi memastikan tidak ada bahan pengawet, gula tambahan, atau lemak yang tidak sihat.
Sebagai contoh, banyak kacang dipanggang menggunakan minyak sayuran, yang boleh menyebabkan kerosakan berkaitan suhu.
Sebaiknya makan kacang mentah atau panggang sendiri pada suhu rendah.
Selain itu, campuran salad yang sudah dicuci dapat menjimatkan masa tetapi mungkin mengandungi bahan tambahan terutamanya dalam dressing yang sering disertakan sekali.
#6 Bersenam
Anda mungkin tertanya-tanya kenapa senaman dikaitkan dengan diet eat clean pula, bukan?
Sebenarnya, adalah sia-sia usaha kalian untuk kekal sihat tanpa melakukan sebarang aktiviti senaman.
Tidak kisah berapa banyak jumlah protein dan karbohidrat diambil, jika anda tidak bersenam langsung, adalah mustahil untuk kekal fit.
Sama seperti tip-tip lain, pastikan anda melakukannya secara sederhana.
Senaman yang sederhana seperti berjalan dan tali skipping bermanfaat untuk jantung dan paru-paru anda.
Kesimpulannya…
Eat clean boleh dianggap sebagai ‘pelaburan’ yang tidak berkesudahan manfaatnya dalam jangka masa panjang terhadap kesihatan.
Dengan perubahan dalam gaya hidup dan pemakanan, anda mampu mempengaruhi jangka hayat dan kualiti kehidupan kalian. Selamat mencuba ya!
[embed-health-tool-bmi]