Apabila tiba musim perayaan, pastinya ia juga seperti satu pesta makanan. Sebagai contoh, ketika sambutan Tahun Baru Cina, pelbagai hidangan seperti Yee Sang, dumpling atau kuih bakul akan disediakan. Namun, hidangan-hidangan yang tinggi kalori seperti ini pastinya merosakkan cara berdiet anda. Jangan risau, ikut sahaja cara kekal kurus semasa Tahun Baru Cina yang kami kongsikan di sini.
Tahun Baru Cina, sambutan signifikan masyarakat Tionghua
Bagi masyarakat Cina, perayaan sambutan Tahun Baru Cina boleh dikatakan sebagai perayaan yang terbesar dan terpenting setiap tahun.
Boleh dikatakan kesemua ahli keluarga akan kembali ke kampung halaman untuk berkumpul sesama mereka dan menyambutnya bersama.
Acara yang paling penting semestinya acara makan besar atau makan malam besar sebelum keesokan hari tahun baru.
Semasa acara ini, pelbagai hidangan akan disediakan dan Yee Sang akan menjadi hidangan utama pada waktu ini.
Jadi, ramai yang mungkin akan makan secara berlebihan disebabkan tidak mengetahui jumlah kalori sebenar bagi setiap jenis makanan tersebut.
Mari kita lihat, berapakah kalori bagi setiap hidangan makanan seperti Yee Sang ini.
Ini jumlah kalori bagi setiap hidangan klasik Tahun Baru Cina
Seperti Hari Raya Aidilfitri, sambutan Tahun Baru Cina juga mempunyai hidangan tradisinya yang tersendiri.
Berikut merupakan antara jenis hidangan popular ketika Tahun Baru Cina berserta dengan jumlah kalori bagi setiap hidangan:
- Yee Sang: 60 kcal bagi setiap 40 gram / dua sudu
- Ayam panggang: 100 kcal bagi dua ketul ayam
- Itik panggang: 110 kcal bagi dua ketul itik
- Mi panjang umur (Cheong Sow Mien): 100 kcal bagi setiap dua sudu
- Sayur campur reneh (Luo Han Zhai): 95 kcal bagi setiap dua sudu
- Tempura udang: 120 kcal bagi setiap tiga ekor udang
- Bebola pulut (Tang Yuan): 100 kcal bagi setiap mangkuk yang mengandungi tujuh biji bebola berserta sirap
- Kuih bakul (Nian Gao): 690 kcal bagi setiap biji kuih
- Cucur kuih bakul: 220 kcal bagi setiap satu biji
- Kek lobak putih: 160 kcal bagi setiap potong
[embed-health-tool-bmr]
Bagi jenis makanan yang tinggi penggunaan gula dalam penyediaannya, semestinya jumlah kalori yang dimiliki adalah lebih tinggi.
Ini boleh dilihat melalui hidangan pencuci mulut seperti kuih bakul.
Jika kalori yang diambil ini tidak dikawal semasa sambutan Tahun Baru Cina, maka cara berdiet anda selama ini mungkin akan menjadi sia-sia.
Ini cara berdiet atau cara kekal kurus semasa Tahun Baru Cina
Bayangkan anda sedang berdiet dan perlu patuh dengan tuntutan diet anda.
Tiba-tiba, rakan atau jiran anda menjemput anda untuk hadir ke jamuan Tahun Baru Cina di rumahnya.
Adakah anda akan hadir atau ragu-ragu kerana memikirkan kesan makan banyak semasa sedang berdiet?
Tak perlu risau, anda masih boleh hadir ke jamuan tersebut dan menikmati hidangan di sana.
Namun, anda mesti mengikuti cara kekal kurus yang disenaraikan ini agar anda masih boleh mengekalkan berat badan anda:
Cara berdiet 1: Kawal saiz hidangan
Walaupun dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan, anda masih perlu mengawal saiz pengambilannya.
Tidak salah untuk merasa setiap hidangan, tetapi sila kawal saiz hidangan yang anda ingin makan.
Gunakan mangkuk berbanding pinggan bagi membantu anda mengawal saiz makanan anda.
Cara kekal kurus 2: Pilih salah satu, minuman manis atau pencuci mulut
Salah satu cara yang paling berkesan untuk mengurangkan pengambilan gula adalah melalui pilihan makanan.
Hanya pilih sama ada anda ingin minum minuman manis atau menikmati pencuci mulut.
Cara ini boleh mengurangkan pengambilan gula dan jumlah kalori ketika jamuan.
Cara berdiet 3: Minum banyak air kosong
Air kosong tidak mempunyai sebarang kalori. Oleh itu, ia merupakan pilihan yang amat baik di saat anda menjamah pelbagai jenis hidangan lain yang tinggi kalori.
Sekurang-kurangnya, air kosong boleh membantu anda kekal hidrat tanpa menaikkan jumlah kalori.
Cara kekal kurus 4: Makan sebelum hadir jamuan
Kebanyakan daripada kita gemar membiarkan perut kosong dengan niat untuk makan sebanyak mungkin ketika jamuan perayaan.
Ini bukanlah tabiat yang baik jika anda mahu amalkan cara kekal kurus yang berterusan.
Anda dinasihatkan untuk makan terlebih dahulu sebelum hadir ke jamuan Tahun Baru Cina.
Dengan cara ini, anda masih berasa kenyang dan hanya akan makan sedikit ketika hadir di jamuan rakan atau jiran anda.
Cara berdiet 5: Pilih jenis makanan rendah kalori
Untuk mengurangkan pengambilan kalori, pilihlah jenis hidangan yang lebih rendah kalori berbanding yang lain.
Antaranya buah-buahan, hidangan yang kurang berminyak atau hidangan yang kurang menggunakan lemak atau santan kelapa.
Baca juga:
Kekalkan tradisi tanpa korbankan diri
Kita sering membayangkan bahawa kita mesti makan dengan banyak ketika hadir jamuan sesuatu perayaan.
Namun, tabiat ini mestilah dihentikan. Kita masih boleh menikmati sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina seperti biasa, tanpa perlu makan berlebihan.
Ingatlah, makan secara berlebihan boleh meningkatkan risiko obesiti, sekali gus meningkatkan risiko penyakit kronik yang lain.
Jadikan tahun baru ini sebagai tahun yang lebih baik berbanding tahun yang lalu.