backup og meta

Aduh, Bagaimana Nak Kawal Kalori & BMI Semasa Hari Raya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/05/2022

    Aduh, Bagaimana Nak Kawal Kalori & BMI Semasa Hari Raya?

    Hari Raya adalah antara saat yang paling indah bagi umat Islam setelah berpuasa selama sebulan. Namun, dalam berseronok itu, anda harus ikut panduan kalori makanan agar tiada pertambahan berat selepas raya nanti. 

    Di sebalik keenakan hidangan tersebut, cabaran terbesar bagi kita adalah untuk mengawal pengambilannya dan mengikut panduan kalori makanan. 

    Bayangkanlah, jika setiap rumah menyajikan satu hidangan, berapa pinggan yang kita perlu makan?

    Jadi, sebelum keadaan menjadi bertambah parah (berat badan naik) apa kata anda ukur nilai BMI terlebih dahulu dengan menggunakan Kalkulator ini. 

    Panduan kalori makanan

    panduan kalori makanan

    Apakah itu kalori dalam panduan kalori makanan? 

    Kalori (cal) adalah jumlah haba yang diperlukan untuk menaikkan suhu satu gram air sebanyak 1 darjah celsius.

    Kalori makanan pula ialah jumlah tenaga di dalam makanan tertentu berbentuk haba untuk membolehkan badan kita menjalani fungsinya. Ia biasanya diukur dalam unit kalori kilogram (kcal).

    Bagaimana ia terkait dengan berat badan? Untuk mengekalkan berat badan, jumlah kalori yang masuk harus sama dengan jumlah yang keluar.

    Jika anda ingin turunkan berat badan, pastikan jumlah kalori masuk lebih rendah dari jumlah kalori keluar. Mudah sahaja sifirnya tapi nak amalkan sangat susah, lebih-lebih lagi di musim perayaan.

    Selain jumlah kalori, gaya hidup juga memainkan peranan dalam mengawal berat badan. Semakin aktif, maka semakin banyak kalori yang anda perlukan dan sekali gus mudah untuk menurunkan berat badan.

    Membuat kiraan kalori

    Sebelum merancang diet, anda perlu mengira keperluan kalori makanan secara harian dengan menggunakan kalkulator BMI yang disediakan ini.

    Sebagai contoh, seorang lelaki berumur 25 tahun dengan berat 70 kg, tinggi 168 cm dan bersenam 3 kali seminggu, keperluan kalori hariannya ialah 2200 kcal.

    Perempuan secara umumnya memerlukan jumlah kalori lebih rendah. Dengan umur, berat, tinggi dan kekerapan bersenam yang sama seperti di atas, seorang perempuan hanya memerlukan kalori 2000 kcal.

    Daripada nilai tersebut, anda boleh menyusun makanan mengikut bilangan kalori masing-masing agar ia selari dengan sasaran dan keperluan diri. Jika ingin turunkan berat badan, ambil kurang daripada 2200 kcal atau sebaliknya.

    Panduan kalori makanan di Hari Raya  

    panduan kalori makanan

    Mengira kalori semata-mata tidak mencukupi. Jadi untuk membantu, penulis sediakan tip dan panduan kalori makanan semasa di Hari Raya Aidilfitri nanti. 

    1. Jangan makan terlalu banyak di pagi Hari Raya. Sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya, kita disunatkan makan. Ambil makanan untuk alas perut dan menghilangkan rasa lapar.
    2. Ambil jumlah yang sedikit setiap kali makan. Anda tidak perlu menolak pelawaan tuan rumah sehingga membuatkan mereka berkecil hati. Tapi anda boleh makan dengan kuantiti yang sedikit, contohnya ambil sebiji ketupat dan setengah senduk kuah kacang. Itu hanya 150 kcal. 
    3. Elak minuman manis. Hidangan air kebiasaannya lebih mudah ditolak berbanding makanan. Segelas atau dua sudah cukup dalam satu hari. Tapi banyakkan minum air kosong.
    4. Kurangkan nasi dan ketupat, lebihkan lauk jika mahu. Nasi dan ketupat mengandungi kalori yang tinggi terutamanya nasi briyani dan ketupat palas.
    5. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Contohnya, ambil lebih timun yang biasa dihidangkan bersama nasi impit. 
    6. Banyakkan masa berbual dan bersosial berbanding makan. Waktu berkumpul seperti di Hari Raya ini jarang kita dapat. Daripada asyik membesarkan perut, gunakan peluang ini untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan sesama keluarga.
    7. Cuba kembali bersenam secepat mungkin. Memang susah untuk mencari masa bersenam di musim perayaan. Namun, berlari keliling taman atau kampung selama 15 minit setiap pagi sudah cukup baik untuk membakar “kalori raya”.

    Hari Raya bukanlah hari membalas dendam selepas sebulan berpuasa. Ia sebaliknya adalah hari meraikan kemenangan selepas sebulan berjaya melawan hawa nafsu. Sepatutnya, kita menjadi lebih berhemah dan berjimat di Aidilfitri. Itu lebih dekat dengan ajaran Islam.

    Namun, kita tidak dilarang untuk bersuka ria di Hari Raya, bahkan disuruh untuk bergembira pada hari yang mulia ini.

    Dalam apa pun yang kita lakukan, jangan sehingga melepasi batasnya. Silap haribulan, macam-macam penyakit boleh datang hasil daripada pemakanan tidak sihat yang diamalkan pada hari raya.

    Justeru, berpada-padalah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan