Penyakit Alzheimer

Oleh

Definisi

Apa itu penyakit Alzheimer?

Alzheimer merupakan satu penyakit yang progresif memadam ingatan dan fungsi mental penting yang lain. Pada mulanya, seseorang pesakit Alzheimer akan mengalami sedikit kekeliruan dan sukar untuk mengingati sesuatu perkara. Lama-kelamaan, mereka akan melupakan orang yang penting dalam hidup mereka dan melalui perubahan personaliti yang mendadak.

Penyakit ini juga selalunya dikatikan sebagai punca demensia — sejenis kumpulan kecelaruan minda yang mengakibatkan kehilangan kemahiran intelektual dan sosial. Dalam penyakit Alzheimer, sel-sel otak tidak berkembang dan mati, menyebabkan kemerosotan ingatan dan fungsi mental.

Kaedah pengubatan dan strategi pengurusan penyakit Alzheimer yang ada pada masa kini hanya dapat merawat simptom untuk sementara waktu sahaja. Ini dapat membantu pesakit Alzheimer untuk memaksimakan fungsi serta berdikari buat sesuatu masa yang lebih lama sedikit. Namun demikian, penyakit Alzheimer masih lagi tidak mempunyai ubat, ia amat penting untuk meminta bantuan daripada perkhidmatan sokongan dan merujuk kepada rangkaian sokongan sedia ada sedari awal yang mungkin.

Apakah kebarangkalian penyakit Alzheimer?

Penyakit ini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Ia boleh diatasi dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berhubung dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom pesakit Alzheimer?

Pada mulanya akan sering terlupa dan mengalami sedikit kekeliruan — mungkin petanda awal yang dapat kita lihat pada pesakit Alzheimer. Tetapi lama-kelamaan, penyakit ini akan menghapus lebih banyak ingatan, terutama sekali ingatan yang baru tercipta. Kadar kemerosotan simptom adalah tertakluk kepada seseorang individu. Perubahan otak yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer membawa peningkatan kepada masalah:

Ingatan

Setiap orang mempunyai kehilangan ingatan atau terlupa sekali-sekala. Tetapi kehilangan ingatan yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer akan bertambah buruk, yang mempengaruhi keupayaan anda berfungsi di tempat kerja dan di rumah. Pesakit Alzheimer boleh:

  • Ulangi pernyataan dan soalan berulang-ulang, tidak menyedari bahawa mereka telah mengajukan pertanyaan sebelum ini
  • melupakan perbualan, janji temu atau peristiwa, dan langsung tidak menyedarinya
  • Terlupa di mana mereka meletak/menyimpan harta benda dan sering meletakkannya di lokasi tidak logik
  • Sesat di tempat biasa yang mereka sering kunjungi
  • Semakin melupakan lupa nama ahli keluarga dan objek setiap hari
  • Mempunyai masalah mencari perkataan yang betul untuk mengenal pasti objek, mengutarakan pemikiran atau menyertai perbualan

Berfikir secara rasional

Penyakit Alzheimer menyebabkan kesukaran menumpukan perhatian dan berfikir, terutamanya mengenai konsep abstrak seperti nombor. Amat sukar untuk melakukan pelbagai kerja dalam sesuatu masa, dan ia mungkin mencabar untuk menguruskan kewangan, memeriksa baki simpanan dan membayar bil tepat pada waktunya. Kesukaran ini boleh semakin teruk dengan ketidakupayaan untuk mengenal dan menangani nombor.

Membuat pertimbangan dan keputusan

Menangani masalah sehari-hari dengan berkesan, seperti membiarkan makanan hangus di atas dapur atau situasi memandu yang tidak dijangka juga menjadi semakin mencabar.

Merancang dan melaksanakan kerja-kerja yang biasa dilakukan

Kegiatan rutin yang memerlukan langkah-langkah berikutan, seperti perancangan dan memasak makanan atau bermain permainan kegemaran, menjadi satu kepayahan seiring dengan perkembangan penyakit ini. Akhirnya, pesakit Alzheimer akan melupakan bagaimana melaksanakan tugas asas seperti berpakaian dan mandi.

Perubahan pada personaliti dan tingkahlaku

Perubahan otak yang berlaku dalam penyakit Alzheimer boleh menjejaskan cara bertindak dan perasaan anda. Pesakit Alzheimer boleh mengalami:

  • Kemurungan
  • Sikap tidak ambil peduli
  • Lebih suka menyendiri
  • Perubahan mood yang mendadak
  • Tidak mempercayai orang lain
  • Mudah naik angin dan bersikap kasar
  • Perubahan pada pola rehat/tidur
  • Sering menyimpang atau merayau-rayau
  • Kehilangan perasaan
  • Berilusi, mempercayai sesuatu barang telah dicuri

Banyak kemahiran penting tidak hilang sehingga penghujung penyakit ini. Ini termasuk keupayaan untuk membaca, menari dan menyanyi, menikmati muzik, terlibat dalam kraf dan hobi, mengingati dan berkongsi cerita.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Seharusnya anda berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca penyakit Alzheimer?

Para saintis percaya bahawa bagi kebanyakan orang, penyakit Alzheimer disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, gaya hidup dan faktor persekitaran yang mempengaruhi otak dari masa ke masa. Kurang daripada 5 peratus, Alzheimer disebabkan oleh perubahan genetik tertentu yang hampir memastikan seseorang akan menghidap penyakit ini.

Walaupun punca penyakit ini masih belum dikenalpasti sepenuhnya, namun kesannya terhadap otak memang sangat jelas. Alzheimer merosakkan dan membunuh sel-sel otak. Otak yang terkesan dengan Alzheimer mempunyai kurang sel dan tidak banyak berhubung dengan sel-sel otak lain yang masih terselamat berbanding otak pada tubuh badan seseorang yang sihat.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada penyakit Alzheimer?

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keadaan kesihatan ini:

  • Umur: Umur meningkat adalah faktor risiko yang paling terkenal bagi Alzheimer. Alzheimer bukan sebahagian daripada penuaan normal, tetapi risiko anda bertambah tinggi selepas anda mencapai umur 65 tahun. Orang yang mengalami perubahan genetik yang jarang dikaitkan dengan petanda awal Alzheimer mula mengalami gejala seawal usia 30-an.
  • Sejarah keluarga dan genetik: Risiko anda mengalami Alzheimer akan lebih tinggi jika saudara rapat – ibu atau bapa anda – mempunyai penyakit ini. Kebanyakan mekanisme genetik keluarga Alzheimer kekal sebagai sesuatu yang sukar dijelaskan
  • Sindrom Down: Ramai pesakit Sindrom Down mengalami penyakit Alzheimer. Tanda-tanda dan gejala Alzheimer cenderung muncul 10 hingga 20 tahun lebih awal pada orang yang mengalami sindrom Down berbanding mereka yang lain.
  • Jantina: Wanita kelihatan lebih cenderung daripada lelaki untuk menghdaip penyakit Alzheimer, ini kerana mereka hidup lebih lama.
  • Kerosakan kognitif yang ringan: Orang yang mengalami masalah kognitif ringan (MCI) mempunyai masalah ingatan atau gejala penurunan kognitif yang lebih buruk daripada yang dijangkakan untuk usia mereka, tetapi tidak cukup teruk untuk didiagnosis sebagai demensia.
  • Trauma di kepala: Mereka yang mempunyai trauma kepala yang teruk mempunyai risiko penyakit Alzheimer yang lebih besar.
  • Gaya hidup dan kesihatan jantung: Tidak ada faktor gaya hidup yang menunjukkan secara jelas pengurangan risiko penyakit Alzheimer anda. Walau bagaimanapun, beberapa bukti menunjukkan bahawa faktor yang sama yang memberi anda risiko penyakit jantung juga boleh meningkatkan kemungkinan anda menghidap Alzheimer. Contohnya termasuk:
    • Kurang bersenam
    • Obesiti
    • Merokok atau terdedah kepada asap rokok
    • Tekanan darah tinggi
    • Kadar kolesterol tinggi dalam darah
    • Diabetes jenis kedua yang tidak dikawal
    • Diet yang kurang buah-buahan dan sayuran
  • Pembelajaran sepanjang hayat dan penglibatan sosial: Kajian telah menemui perkaitan antara penglibatan seumur hidup dalam aktiviti merangsang mental dan sosial dapat mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Tahap pendidikan rendah – kurang daripada pendidikan sekolah menengahi – merupakan faktor risiko penyakit Alzheimer

Diagnosis & Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana diagnosis ditentukan terhadap pesakit Alzheimer?

Tiada ujian khusus buat masa ini yang dapat mengesahkan bahawa anda mempunyai penyakit Alzheimer. Doktor akan membuat penilaian mengenai sama ada Alzheimer adalah penyebab simptom berdasarkan maklumat yang diberikan dan keputusan pelbagai ujian yang membantu menjelaskan diagnosis. Penyakit Alzheimer boleh didiagnosis dengan ketepatan yang lengkap hanya selepas kematian, apabila pemeriksaan mikroskopik otak mendedahkan ciri serta kekusutan dalam otak..

Bagi membantu membezakan penyakit Alzheimer daripada sebab-sebab kehilangan ingatan yang lain, doktor kini biasanya bergantung pada jenis ujian berikut:

Ujian Fizikal dan neurologikal

Doktor akan menjalankan ujian fizikal dan akan memeriksa keadaan keseluruhan kesihatan neurologikal anda berdasarkan ujian berikut:

  • Tindakbalas saraf
  • Kekuatan otot
  • Keupayaan untuk bangkit dari kerusi dan berjalan di dalam bilik
  • Keupayaan melihat dan mendengar dengan jelas
  • Penyelarasan tubuh badan
  • Keseimbangan tubuh badan

Ujian makmal

Ujian darah boleh membantu doktor mengetepikan sebab-sebab lain yang menyebabkan kehilangan ingatan dan kekeliruan, seperti gangguan tiroid atau kekurangan vitamin.

Ujian status mental dan neuropsikologikal

Doktor anda akan menjalankan ujian status mental ringkas untuk menilai ingatan dan kemahiran berfikir yang lain. Di samping itu, doktor anda mungkin mencadangkan penilaian yang lebih luas mengenai pemikiran dan ingatan anda. Bentuk-bentuk ujian neuropsikologi yang lebih komprehensif boleh memberikan maklumat tambahan tentang fungsi mental anda berbanding orang lain yang mempunyai tahap pendidikan yang sama.

Pengimejan Otak

Imej otak kini digunakan terutamanya untuk menunjukkan keadaan tidak normal berkaitan simptom selain penyakit Alzheimer —- seperti strok, trauma atau tumor – yang boleh menyebabkan perubahan kognitif. Aplikasi pengimejan baru – yang kini digunakan terutamanya di pusat-pusat perubatan utama atau di dalam percubaan klinikal;  memembolehkan doktor mengesan perubahan otak tertentu yang disebabkan oleh Alzheimer. Teknologi pengimejan otak termasuk: pengimejan resonans magnetik (MRI), tomografi berkomputer (CT) dan tomografi pelepasan Positron (PET).

Bagaimana penyakit Alzheimer dirawat?

Rawatan Alzheimer ketika ini boleh membantu untuk seketika dengan gejala ingatan dan perubahan kognitif yang lain. Dua jenis rawatan yang digunakan untuk merawat gejala kognitif:

  • Cholinesterase inhibitors. Ubat-ubatan ini berfungsi dengan meningkatkan tahap komunikasi sel-ke-sel dengan menyediakan neurotransmitter (acetylcholine) yang musnah di dalam otak oleh penyakit Alzheimer. Peningkatan ini sederhana. Inhibitor Cholinesterase boleh meningkatkan gejala neuropsikiiatrik, seperti pergolakan atau kemurungan. Perencat cholinesterase yang biasa disediakan termasuk donepezil (Aricept), galantamine (Razadyne) dan rivastigmine (Exelon). Kesan sampingan utama ubat-ubatan ini termasuk cirit-birit, mual, kehilangan selera makan dan gangguan tidur. Pada mereka yang mengalami masalah pengaliran jantung, kesan sampingan yang serius mungkin termasuk kadar jantung yang rendah dan injap jantung tersekat.
  • Memantine (Namenda). Ubat ini berfungsi dalam rangkaian komunikasi sel otak yang lain dan melambatkan perkembangan simptom oleh penyakit Alzheimer yang sederhana dan parah. Kadangkala ia digunakan dalam kombinasi dengan perencat cholinesterase. Kesan sampingan mungkin termasuk sembelit, pening kepala dan sakit kepala.

Kadang-kadang ubat-ubatan lain seperti anti-kemurungan digunakan untuk membantu mengawal simptom tingkah laku yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer. Tetapi beberapa ubat hanya boleh digunakan dengan berhati-hati. Sebagai contoh, beberapa ubat tidur biasa – zolpidem (Ambien), eszopiklone (Lunesta) dan lain-lain – boleh meningkatkan kekeliruan dan risiko ketidakstabilan tubuh sehingga terjatuh. .

Ubat anti-kemurungan – klonazepam (Klonopin) dan lorazepam (Ativan) – meningkatkan risiko jatuh, kekeliruan dan pening. Sentiasa periksa dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan baru.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Alzheimer?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menghadapi penyakit Alzheimer:

Mewujudkan suasana yang selamat dan kondusif:

  • Sentiasa simpan kunci, dompet, telefon bimbit dan barang berharga lain di tempat yang sama di rumah, supaya tidak hilang.
  • Berbincang dengan doktor anda jika beliau dapat mempermudahkan gabungan ubat anda untuk dos sekali sehari, dan mengatur kewangan anda untuk pembayaran perubatan secara automatik.
  • Menjadikan kebiasaan membawa telefon bimbit dengan keupayaan lokasi (GPS) supaya anda boleh menghubungi kaum keluarga sekiranya anda hilang atau keliru dan mereka boleh mengesan lokasi anda melalui telefon. Selain itu, setkan nombor telefon penting ke dalam telefon anda, jadi anda tidak perlu cuba mengingatnya.
  • Pastikan temujanji tetap pada hari yang sama pada masa yang sama sebanyak mungkin.
  • Gunakan kalendar atau papan putih di rumah untuk menjejak jadual harian. Amalkan tabiat memeriksa perkara yang telah dilaksanakan supaya anda dapat memastikan ia selesai.
  • Keluarkan perabot berlebihan, barangan yang mengakibat kekacauan dan buang karpet yang tidak perlu.
  • Pasangkan pemegang tangan di atas tangga dan di bilik mandi.
  • Pastikan kasut dan sandal selesa dan memberikan daya geseran yang baik.
  • Kurangkan jumlah cermin. Pesakit Alzheimer berasa takut dan keliru dengan imej di dalam cermin.
  • Simpan gambar dan benda-benda penting lain di sekeliling rumah.

Bersenam

  • Senaman yang kerap merupakan kunci kesihatan untuk semua orang – dan mereka yang mempunyai Alzheimer tidak terkecuali. Aktiviti seperti berjalan kaki harian boleh membantu meningkatkan mood dan mengekalkan kesihatan sendi, otot dan jantung.
  • Senaman juga boleh menggalakkan tidur yang nyenyak dan mengelakkan sembelit. Pastikan orang yang mempunyai Alzheimer membawa identiti atau memakai gelang amaran perubatan jika mereka bersenam sendirian.
  • Pesakit Alzheimer yang mengalami masalah berjalan mungkin boleh menggunakan basikal bersandar atau menyertai senaman kerusi. Anda mungkin dapat mencari program senaman yang ditujukan kepada orang dewasa yang lebih tua di TV atau dalam internet.

Pemakanan

Pesakit Alzheimer mungkin lupa untuk makan, kehilangan minat dalam menyediakan makanan atau tidak makan gabungan makanan yang sihat. Mereka juga mungkin lupa untuk minum dengan secukupnya dan menyebabkan dehidrasi dan sembelit. Seharusnya mereka mengamalkan:

  • Kalori tinggi, shake yang sihat dan smoothies. Anda boleh menambah susu lembu dengan serbuk protein (tersedia di kedai runcit dan farmasi) atau gunakan pengisar anda untuk membuat smoothies dengan buah-buahan dan sayuran kegemaran anda.
  • Air, jus dan minuman sihat yang lain. Cuba pastikan pesakit Alzheimer minum air secukupnya setiap hari. Elakkan minuman dengan kafein, yang boleh meningkatkan kegelisahan, mengganggu tidur dan mencetuskan keperluan untuk membuang air kecil.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mac 19, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mac 19, 2018

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut