Euww..Kenapa Kencing Berbau Kuat Ni, Salah Makan Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda pasti pernah berdepan situasi apabila membuang air kecil, kemudian timbul bau yang tidak menyenangkan. Tetapi kenapa ya boleh wujud masalah kencing berbau ini?

Punca kencing berbau

Air kencing berwarna jernih atau mungkin sedikit kekuningan, dengan sedikit bau adalah perkara normal. Tetapi apabila bau yang timbul terlalu kuat, ia mungkin didasari punca tertentu.  Terdapat beberapa faktor utama yang boleh menjadi punca berlaku masalah urin berbau, antara:

Wanita mengandung

Dikatakan sewaktu hamil, kandungan hormon chorionic gonadotrophin (HCG) akan meningkat di dalam darah dan akan disingkirkan melalui pembuangan air kecil. Keadaan ini sekali gus menjadi penyebab mengapa bau urin sedikit kuat.

Penyakit dan keadaan kesihatan

Terdapat beberapa keadaan penyakit serta keadaan yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku, seperti:

  • Jangkitan saluran kencing. Apabila keadaan ini berlaku urin akan kelihatan lebih keruh dan anda mungkin merasa sakit ketika membuang air kecil
  • Diabetes. Selain berasa berasa kerap dahaga dan kerap membuang air kecil, individu dengan diabetes juga akan berdepan isu kencing berbau
  • Fistula pundi kencing (Bladder fistula)
  • Penyakit berkaitan hati
  • Penyakit maple syrup urine

Pemakanan

Diet makanan tertentu juga boleh menyebabkan urin berbau. Ia disebabkan kandungan mineral atau nutrisi dalam makan yang dimakan. Makanan seperti asparagus, makanan berempah, bawang putih, petai, dan jering merupakan antara makanan punca urin berbau kuat.

Ubat 

Pengambilan ubatan tertentu seperti antibiotik, vitamin juga boleh menyebabkan seseorang individu mengalami masalah urin berbau.

Dehidrasi 

Jika kuantiti urin anda sedikit dan pekat, ia menunjukkan bahawa badan anda kekurangan air. Keadaan ini biasanya berlaku pada waktu pagi dan menyebabkan urin lebih berbau.

Minuman

Selepas meminum minuman seperti kopi, perasan tak urin anda sedikit berbau? Jika bau yang terhasil kuat, itu tandanya anda perlu mengurangkan pengambilan minuman berkafein ini. Malahan minuman beralkohol juga dikatakan boleh menyebabkan urin berbau. 

Tip mencegah kencing berbau

  1. Perbanyakan minum air sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas sehari. Pastikan air kosong, okay? 
  2. Jika terasa ingin membuang air kecil, jangan tahan dan hindari daripada membuang air kecil secara tergesa-gesa. 
  3. Cuci bahagian intim dari depan ke belakang. Ini dapat mengelakkan risiko berlakunya jangkitan
  4. Biasakan diri untuk membuang air kecil lebih daripada lima kali sehari. Jika kurang daripada jumlah itu, lebihkan pengambilan air kosong.

Kesimpulan

Masalah kencing berbau mungkin boleh dianggap sebagai satu isu yang biasa jika faktor yang mendasari keadaan itu adalah disebabkan pemakanan. Walau bagaimanapun, jika keadaan ini semakin teruk, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rundingan daripada pakar perubatan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.