Kelesuan Kerja Boleh Sebabkan Masalah Jantung – Kajian

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Ramai individu tahu bahawa stres (termasuk kelesuan kerja) boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan. Namun, fakta tersebut sering diambil mudah memandangkan kebanyakan individu mahu bersaing bagi mendapatkan prestasi yang baik di tempat kerja.

Tahukah anda kelesuan kerja boleh meningkatkan risiko untuk anda mendapat masalah jantung? Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kelesuan dan masalah jantung

Kajian yang telah diterbitkan pada tahun 2020 oleh Garg PK et al telah menunjukkan mereka yang mengalami kelesuan kerja berisiko untuk mendapat masalah degupan jantung tidak sekata. Artikel tersebut telah diterbitkan dalam laman European Journal of Preventive Cardiology

Dalam kalangan 11,000 subjek, mereka yang mengalami simptom kelesuan mempunyai risiko setinggi 20% untuk mendapat pemfibrilan atrium (atrial fibrillation) kelak. Tanpa rawatan awal, individu tersebut bakal berhadapan dengan permasalahan kardiovaskular seperti sakit jantung dan strok.

Menurut pakar dari Universiti California Selatan, kelesuan kerja boleh mencetuskan proses keradangan dan menyebabkan peningkatan sensitiviti kepada stres. Kedua-dua faktor tersebut menyebabkan jantung sukar untuk mengepam darah ke seluruh badan, maka ia boleh menyebabkan terjadinya masalah pemfibrilan atrium.

Pemfibrilan atrium

Keadaan kesihatan ini merupakan masalah degupan jantung tidak sekata yang lazim yang boleh menyebabkan gangguan pada aliran darah normal. Perkara ini boleh meningkatkan risiko untuk darah membeku dan menyebabkan masalah strok.

Walaupun masalah pemfibrilan atrium tidak mengenal usia, ia lazim berlaku kepada golongan tua (65 tahun dan ke atas). Keadaan kesihatan ini mempengaruhi rentak degupan dua ruang jantung atas yang dikenali sebagai atria. 

Perkara ini boleh menyebabkan gangguan aliran darah kepada dua ruang jantung bawah (ventrikel) seterusnya gangguan aliran darah ke seluruh badan. 

Antara simptom yang boleh dialami adalah:

Tanpa rawatan, mereka yang mengalami masalah ini berisiko untuk mati.

Jangan pandang ringan isu kelesuan kerja

Sindrom kelesuan kerja (burnout syndrome) bukan lagi keadaan kesihatan yang boleh diambil mudah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan ia sebagai satu fenomena di tempat kerja yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu secara menyeluruh. 

Ia merupakan satu sindrom (satu set gejala/simptom) yang disebabkan oleh masalah stres kronik di tempat kerja. Terdapat 3 elemen yang membentuk permasalahan ini iaitu kelesuan, kurang minat terhadap kerja dan penurunan tahap keyakinan di tempat kerja.

Kelesuan

Kelesuan merupakan tanda utama dalam permasalahan sindrom kelesuan kerja. Walaupun ia adalah satu tanda yang mudah dikesan, namun, kebanyakan individu sering tidak mengendahkannya sehingga boleh menyebabkan komplikasi seperti pengsan.

Apa yang anda perlu tahu adalah stres akut (jangka masa pendek) seringkali tidak dapat dielakkan. Ia seperti anda tersekat dalam kesesakan jalan raya, bertelingkah dengan pasangan atau ketika anda menerima kritikan daripada majikan.

Tahap stres mungkin tinggi namun dalam jangka masa yang singkat, kita boleh menyesuaikan diri dengannya.

Stres kronik pula merupakan satu situasi yang sepatutnya dielakkan. Seringkali kita tahu apa yang membuatkan kita stres namun tiada tindakan yang diambil menyebabkan ia semakin teruk. 

Mungkin ramai individu yang akan menasihatkan anda untuk bersabar dan terus menyesuaikan diri dalam keadaan stres tersebut. Namun, langkah terbaik adalah untuk memikirkan cara bagi mengurangi tahap stres tersebut.

Jika anda mempunyai majikan yang garang, siapkan kerja tepat pada waktunya. Jika anda kerap bekerja lebih masa, ambil cuti atau pulang pada waktunya. Jika anda tidak dapat menyesuaikan diri dalam situasi tersebut, anda akan berisiko untuk mendapat masalah kelesuan kerja.

Kurang minat terhadap kerja

kelesuan kerja

Ini merupakan faktor kedua yang telah dikenal pasti oleh WHO. Apabila anda mula berasa negatif atau berjauhan daripada kerja anda, ia merupakan salah satu tanda kelesuan kerja yang perlu ditangani. 

Situasi ini berbeza dengan apabila anda berasa tertekan ketika bekerja. Tekanan sewaktu kerja adalah satu perkara yang lazim dialami oleh setiap individu. 

Anda mungkin rasa berdebar-debar atau takut dengan hasil kerja anda, namun minat anda tidak berkurangan dan anda masih komited untuk terus berusaha bagi meningkatkan pencapaian anda.

Apabila seseorang yang meminati sesuatu pekerjaan itu merasakan dirinya semakin jauh daripada kerjaya yang diceburinya, itu merupakan tanda awal sindrom kelesuan kerja.

Mereka yang mengalami masalah tersebut cenderung untuk mengambil cuti sakit atau mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital. Majikan seharusnya memberikan penekanan terhadap isu kesihatan pekerja kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti semasa.

Penurunan tahap keyakinan di tempat kerja

Sasaran yang melangkaui kebolehan pekerja untuk memenuhinya boleh menurunkan tahap keyakinan diri mereka di tempat kerja. 

Pekerja akan berasa lebih yakin untuk terus bekerja apabila majikan dan rakan sekerja mempercayai kebolehan mereka untuk memenuhi tugas yang diberikan. 

Mereka juga perlu diberikan sokongan berbentuk peralatan, kewangan dan sokongan moral bagi meningkatkan motivasi di tempat kerja. 

Kurangkan sindrom kelesuan kerja

  1. Bersenam secara kerap. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal malah kesihatan mental anda. Anda tidak perlu menghabiskan duit dan masa di gim jika anda tidak mahu melakukan senaman angkat berat. Pergi berjoging, berjalan dan berbasikal. Lakukan apa sahaja yang boleh membuatkan anda berpeluh.
  2. Amalkan gaya pemakanan seimbang. Ambil makanan yang mengandungi nutrien omega 3 seperti ikan dan kekacang berikutan ia mempunyai fungsi anti kemurungan semula jadi.
  3. Dapatkan waktu tidur secukupnya. Elakkan daripada mengambil minuman berkafein dan tutup peranti mudah alih anda.
  4. Jika anda berasa stres, luahkan perasaan anda pada keluarga atau rakan yang anda percaya. Anda boleh juga mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor, ahli psikologi dan pakar psikiatri.

Konklusi

Jika anda mengalami kelesuan kerja, kenal pasti puncanya. Sindrom kelesuan kerja bukanlah satu keadaan kesihatan yang boleh dipandang ringan. Jika anda mempunyai sebarang tanda atau mengalami keadaan seperti yang dinyatakan, dapatkan bantuan daripada pihak profesional.

Jika anda merupakan majikan dalam sebuah syarikat, ambil tahu berkenaan dengan kesihatan fizikal, mental dan emosi pekerja anda. Berikan nasihat, kata-kata semangat dan ganjaran (kepada yang berkenaan) untuk meningkatkan motivasi kerja mereka.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 28, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 28, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut