backup og meta

Jangan Degil Untuk Ambil Vaksin! Imunisasi Boleh Cegah 10 Jenis Penyakit Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/05/2021

    Jangan Degil Untuk Ambil Vaksin! Imunisasi Boleh Cegah 10 Jenis Penyakit Ini

    Isu vaksinasi telah lama menjadi bualan ramai pihak dan ia kekal hangat hingga sekarang. Ada ibu bapa degil yang masih tidak memahami konsep vaksin wajib yang ‘memayungi’ populasi awam sehinggakan individu yang tidak divaksin turut mendapat perlindungan.

    Ada banyak vaksin yang boleh mencegah penyakit, namun dalam artikel ini kami nyatakan 10 jenis penyakit yang boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin wajib.

    Cegah 10 penyakit ini dengan vaksin wajib

    #1 Diphtheria

    Ia adalah sejenis jangkitan bakteria yang menjejaskan membran mukus pada bahagian hidung dan tekak. Ia biasanya menyebabkan sakit tekak, demam, kelenjar yang membengkak dan lemah badan.

    Penyakit ini sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan oleh penggunaan vaksin secara menyeluruh.

    Di Malaysia, pernah terjadi kematian yang disebabkan oleh penyakit ini di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan diphtheria.

    Kanak-kanak malang tersebut dilaporkan tidak mendapat sebarang vaksin sejak dilahirkan.

    #2 Tetanus 

    Tetanus adalah sejenis penyakit serius yang disebabkan oleh toksin bakteria yang menjejaskan sistem saraf manusia.

    Ia menyebabkan kontraksi otot yang menyakitkan terutama di bahagian rahang dan otot leher, serta menyebabkan kesukaran bernafas dan berpotensi mengancam nyawa.

    Tetanus juga merupakan sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan pemberian vaksin wajib.

    #3 Pertussis atau batuk kokol

    Pertussis atau sering dikenali dengan nama batuk kokol adalah penyakit berbahaya yang menyebabkan batuk teruk yang menjejaskan pernafasan seseorang individu.

    Batuk kokol juga boleh menyebabkan pneumonia, bronkitis, serangan tiba-tiba (seizure), kerosakan otak bahkan kematian.

    Menurut laporan CDC, sejak pengenalan vaksin batuk kokol, kes ini telah menurun dengan drastik daripada 100,000 kes setiap tahun pada tahun 1940, kepada hanya 10,000 kes pada tahun 1965.

    #4 Polio 

    Polio adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus yang mana ia boleh menyebabkan kecederaan saraf yang membawa kepada kelumpuhan, kesukaran bernafas bahkan kematian.

    Pada awal abad ke-20, wabak penyakit ini telah menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat, menyebabkan kematian ribuan nyawa selain menjangkiti ratusan ribu yang lain.

    Namun, dengan adanya vaksin wajib, penyakit ini berkurangan dan dapat dicegah.

    #5 Measles 

    Ia turut dikenali sebagai demam campak, dan merupakan sejenis penyakit jangkitan virus yang menyebabkan demam dan ruam merah pada tubuh.

    Selalunya masalah ini terjadi sewaktu masih kecil. Untuk pengetahuan anda, virus campak ini boleh bertahan di udara selama dua jam apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk atau bersin. Ia juga sangat mudah berjangkit.

    #6 Beguk (mumps)

    Ia adalah penyakit jangkitan virus yang menjejaskan kelenjar penghasilan air liur yang berada berdekatan telinga anda.

    Beguk boleh menyebabkan pembengkakan pada satu atau kedua-dua belah kelenjar.

    Ia pernah menjadi antara penyebab utama ramai individu dimasukkan ke hospital semasa berlakunya Perang Dunia Pertama.

    Sebelum vaksin beguk diperkenalkan, ia merupakan antara penyakit zaman kanak-kanak yang paling kerap berlaku.

    #7 Rubella

    Selain dikenali dengan nama rubella, ia turut dikenali sebagai demam campak Jerman memandangkan Jerman merupakan lokasi pertama penyakit ini dikenal pasti.

    Rubella adalah sejenis penyakit disebabkan virus yang boleh berjangkit.

    Walaupun mempunyai ciri atau simptom yang sama seperti demam campak, rubella dan demam campak adalah dua jenis penyakit berbeza.

    Ia kerana rubella disebabkan oleh jenis virus lain yang tidak sama dengan virus penyebab demam campak.

    #8 Hepatitis B

    Penyakit ini disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV) yang menjangkiti bahagian hati manusia.

    Penyakit ini boleh menjadi sangat kronik disebabkan ia boleh bertahan sehingga lebih daripada 6 bulan.

    Hepatitis B yang kronik boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, kanser hati dan cirrhosis, iaitu keadaan yang menyebabkan parut kekal pada hati.

    Ia boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin wajib, tetapi tidak boleh disembuhkan apabila ia telah menjangkiti anda.

    Ubat-ubatan hanya digunakan untuk mengelakkan penyebaran virus ini pada individu lain.

    #9 Influenza

    Influenza adalah penyakit yang menyerang sistem pernafasn manusia iaitu hidung, tekak dan paru-paru.

    Ia turut dipanggil sebagai flu dan untuk kebanyakan individu, ia akan sembuh dengan sendirinya.

    Walau bagaimanapun, influenza ini boleh menjadi sangat berbahaya sehingga boleh mengorbankan nyawa seperti Spanish Flu yang mengorbankan sekitar 20 hingga 50 juta manusia pada tahun 1918.

    #10 Pneumococcal 

    Penyakit pneumococcal ini disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau juga disebut sebagai pneumococcus.

    Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan telinga dan meningitis. Apabila bakteria tersebut memasuki bahagian paru-paru, ia boleh menjadi pneumonia atau radang paru-paru.

    Cuba periksa, vaksin mana yang anda belum ambil?

    Kini anda telah mengetahui bahawa kebanyakan penularan penyakit-penyakit ini hampir terhapus di negara kita dan juga di negara-negara lain. Tahukah mengapa?

    Ini kerana penggunaan dan kewajipan vaksin secara meluas yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan kesejahteraan kesihatan semua penduduk.

    Anda mungkin tidak mengetahui berkenaan Spanish Flu kerana ia telah menjadi satu sejarah.

    Oleh itu, jangan mulakan sejarah buruk yang baharu disebabkan oleh sikap penting diri dan kecuaian anda dalam memberikan vaksin kepada anak-anak anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan