backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Justin Bieber Lumpuh Sebelah Muka? Ini Tanda Anda Boleh Terkena Sindrom Ramsay Hunt!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 28/07/2022

    Justin Bieber Lumpuh Sebelah Muka? Ini Tanda Anda Boleh Terkena Sindrom Ramsay Hunt!

    Baru-baru ini, bintang sensasi pop, Justin Bieber telah membatalkan beberapa siri konsert jelajahnya disebabkan satu kondisi yang menyebabkan beliau lumpuh sebelah muka. Menurut video yang dimuat naik di dalam laman Instagramnya, penyanyi ini telah disahkan menghidap Sindrom Ramsay Hunt.

    “Seperti yang semua boleh nampak, sebelah mata saya tidak berkedip. Saya juga tidak boleh senyum di sebelah muka,” ulas pelantun lagu, Love Yourself ini, Jumaat lalu.

    Penyanyi berusia 28 tahun ini juga berkata, virus tersebut telah menyerang saraf pada kawasan telinga dan wajah beliau lalu menyebabkan kelumpuhan.

    Tahukah anda, Sindrom Ramsay Hunt berpunca daripada virus varicella zoster, virus yang sama menyebabkan cacar air (chicken pox)?

    Malah, virus yang telah dorman atau tidak aktif ini boleh menjadi aktif semula dan menyerang kawasan saraf. Walau bagaimanapun, punca mengapa virus tersebut kembali aktif masih lagi menjadi tanda tanya dalam kalangan pakar.

    Sindrom ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang pernah menghidap cacar air. Namun, ia lebih lazim dalam kalangan orang yang lebih berusia, terutamanya mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Virus ini jarang menyerang kanak-kanak.

    Mari ketahui lebih lanjut mengenai Sindrom Ramsay Hunt serta perbezaannya dengan satu lagi kondisi yang boleh menyebabkan lumpuh sebelah muka, Bell’s Palsy.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Saraf & Otak, anda boleh klik di sini.

    Lumpuh sebelah muka disebabkan Sindrom Ramsay Hunt

    lumpuh sebelah muka

    Sindrom Ramsay Hunt (herpes zoster oticus) berlaku apabila kayap menyerang saraf di kawasan muka, berdekatan dengan salah satu telinga pesakit. Selain ruam kayap yang menyakitkan, pesakit juga akan lumpuh sebelah muka dan hilang deria pendengaran di sisi wajah yang terkesan.

    Selain itu, ruam juga boleh tumbuh di bahagian dalam telinga, lidah dan lelangit. Disebabkan pesakit boleh alami kecederaan di dalam telinga, mereka yang menghidap Sindrom Ramsay Hunt juga akan mengalami vertigo (satu sensasi yang menyebabkan pening kepala atau objek berputar di sekeliling anda) dan tinnitus, bunyi nyaring dan bingit dalam telinga.

    Ada dua tanda dan simptom Sindrom Ramsay Hunt:

    1. Ruam berwarna merah dan dipenuhi cecair di dalam dan luar sebelah telinga.
    2. Lumpuh sebelah muka pada sisi yang sama dengan telinga yang terkesan.

    Selalunya, ruam dan kelumpuhan akan berlaku pada waktu yang sama. Namun, kadangkala, salah satu simptom boleh muncul terlebih dahulu.

    Selain itu, penghidap Sindrom Ramsay Hunt juga mungkin akan mengalami:

    1. Sakit telinga.
    2. Hilang deria pendengaran.
    3. Bunyi nyaring dalam telinga (tinnitus).
    4. Sukar menutup sebelah mata.
    5. Rasa persekitaran berpusing (vertigo).
    6. Mulut dan mata kering.

    Beza Sindrom Ramsay Hunt dengan Bell’s Palsy

    lumpuh sebelah muka

    Bell’s Palsy mempunyai simptom yang seakan-akan sama dengan Sindrom Ramsay Hunt.

    Walau bagaimanapun, beza utama dua kondisi ini ialah ruam yang disebabkan oleh kayap. Penghidap Bell’s Palsy tidak akan mengalami ruam ini.

    Antara simptom lain Bell’s Palsy:

  • Kelumpuhan berlaku dengan sangat pantas – dalam masa beberapa jam ke hari.
  • Lumpuh sebelah muka menyebabkan pesakit sukar mengelip mata atau senyum.
  • Keluar air liur dari mulut.
  • Sakit di kawasan rahang atau belakang telinga.
  • Pening kepala.
  • Sensitif kepada bunyi, terutamanya pada bahagian telinga yang terjejas.
  • Hilang deria rasa.
  • Perubahan jumlah air liur dan air mata yang dihasilkan.
  • Jika tidak dirawat, penghidap Sindrom Ramsay Hunt lebih sukar untuk sembuh sepenuhnya. Malah, hampir 50% daripadanya akan mengalami masalah untuk menggerakkan otot pada bahagian wajah yang terjejas. Sebahagian pesakit juga akan mengalami kelumpuhan kekal.

    Penghidap Bell’s Palsy pula akan mula sembuh dalam masa beberapa minggu dan akan sembuh sepenuhnya dalam masa 6 bulan. Sebahagian kecil akan alami simptom sepanjang hayat. Jarang sekali pesakit diserang Bell’s Palsy sebanyak dua kali seumur hidup.

    Baca juga:

    Apa yang akan berlaku pada Justin Bieber?

    lumpuh sebelah muka

    Menurut video di Instagram penyanyi tersebut, beliau akan ‘cuba sedaya upaya untuk cepat sembuh’. Malah, beliau juga sedang melakukan rawatan dalam bentuk senaman untuk memastikan otot wajah beliau menjadi normal semula.

    Selain itu, Bieber juga akan berehat seketika daripada siri jelajah konsertnya. Beliau sendiri tidak pasti bila penyakit yang dihidapinya itu bakal sembuh. Namun, beliau yakin akan cepat sembuh dengan rawatan yang betul.

    Menurut Mount Sinai, kesembuhan 100% daripada Sindrom Ramsay Hunt adalah sesuatu yang tidak pasti. Walaupun begitu, ada pesakit yang mengalami lumpuh sebelah muka dapat sembuh dalam masa beberapa bulan. Semakin cepat kondisi ini dirawat, semakin cerahlah peluang untuk sembuh.

    Malah, menurut Facial Palsy UK, rawatan segera dapat meningkatkan peluang untuk sembuh. 70% pesakit yang mendapat ubat antiviral dalam masa 3 hari akan sembuh sepenuhnya.

    Kes yang sederhana juga akan sembuh dalam masa beberapa minggu. Jadi, buat peminat Justin Bieber yang telah membeli tiket konsert, sama-samalah kita berdoa untuk kesembuhan beliau, ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 28/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan