Mengapa hidung tersumbat tapi tidak selsema? Peliknya! Sebenarnya, ada beberapa kondisi atau penyakit yang boleh membuatkan anda alami masalah hidung tersumbat tanpa selsema. Antaranya ialah alahan, polip hidung dan juga tulang hidung bengkok.
Jadi, bukan demam sahaja yang boleh menyebabkan hidung anda tersumbat. Jika anda ingin tahu apakah punca masalah hidung tersumbat tanpa selsema, jom ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Apakah penyebab hidung tersumbat tapi tidak selsema?
Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan hidung tersumbat. Namun, selalunya ia berlaku disebabkan alahan atau inflamasi, contohnya jangkitan.
Bakteria dan virus boleh menjangkiti lapisan dalam hidung dan menyebabkannya bengkak lalu menghalang saluran pernafasan.
Disebabkan puncanya yang pelbagai, anda perlulah tahu apa yang menyebabkan hidung tersumbat supaya rawatan yang efektif dapat diberikan.
Antara punca lazim masalah hidung tersumbat tapi tak selsema ialah:
1. Alahan
Anda mengalami masalah hidung tersumbat yang berpanjangan? Simptom pula akan menjadi semakin serius ketika hujan atau apabila ada perubahan cuaca? Besar kemungkinan, anda mengalami alahan rinitis.
Alahan rinitis akan menyebabkan simptom seakan-akan demam seperti bersin, gatal-gatal dan juga hidung tersumbat. Simptom alahan akan bermula sejurus berlakunya pendedahan terhadap alergen seperti habuk, debu, debunga dan sebagainya.
Simptom alahan boleh dirawat dengan mudah dan efektif. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami masalah ini setiap hari, simptom alahan mungkin akan menyebabkan masalah tidur dan mengganggu aktiviti harian.
2. Intoleransi makanan
Sebenarnya, makanan pun boleh buatkan saluran pernafasan anda bengkak!
Sekiranya anda mengalami intoleransi terhadap produk tenusu atau gluten, anda mungkin akan alami masalah hidung tersumbat tapi tidak selsema disebabkan keradangan yang berpanjangan.
Intoleransi makanan boleh dikurangkan. Sebelum makan, pastikan anda baca dahulu label yang tertulis di belakang pek pembungkus.
Jika anda sudah kenal pasti makanan apakah yang boleh menyebabkan intoleransi, kurangkan pengambilan makanan tersebut.
Ada banyak makanan yang boleh menyebabkan intoleransi, jadi mungkin sukar untuk anda kenal pasti makanan apakah yang menyebabkan anda alami simptom.
Baca juga:
- Hidung Tersumbat Buat Si Kecil Tak Selesa? Mama Boleh Try 6 Cara Mudah Ini, Berkesan!
- Aduh, Tak Selesanya Bila Hidung Tersumbat Sebelah! Atasinya Dengan 5 Cara Ini
3. Polip hidung membuatkan hidung tersumbat tapi tidak selsema
Pada peringkat awal, polip hidung mungkin tidak akan menunjukkan sebarang simptom.
Namun, selepas ia membesar, anda mungkin akan alami masalah hidung tersumbat, batuk, pening kepala dan kehilangan deria rasa serta bau.
Polip hidung juga boleh menghalang pernafasan. Individu yang menghidap alahan rinitis kronik lebih berisiko mengalami polip hidung.
Polip selalunya tidak mendatangkan bahaya terhadap kesihatan. Namun, simptom boleh dikurangkan sekiranya polip dibuang atau dikecilkan.
4. Tulang hidung bengkok (deviated septum)
Tulang hidung merupakan sejenis tulang rawan yang membahagikan hidung kita kepada 2 bahagian yang berbeza.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang tidak mempunyai saiz lubang hidung yang sama disebabkan tulang hidung yang bengkok atau menyenget.
Ini boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan hidung tersumbat pada lubang yang terjejas. Malah, kadangkala hingus sukar untuk keluar disebabkan saiznya yang kecil.
5. Hidung tersumbat tapi tidak selsema disebabkan merokok
Bahan kimia dalam rokok boleh menyebabkan keradangan pada lapisan mukus dalam hidung.
Setiap kali anda merokok, keradangan tersebut akan menjadi semakin serius. Oleh sebab itu, individu yang kerap merokok akan lebih kerap mengalami masalah hidung tersumbat.
6. Ada halangan dalam hidung
Masalah ini mungkin jarang berlaku dalam kalangan orang dewasa. Ia lebih berisiko dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai tabiat menolak mainan atau apa-apa sahaja objek kecil ke dalam hidung masing-masing.
Jika anak anda mengadu sakit hidung atau hidung tersumbat tapi tidak selsema, cuba periksa. Mana tahu, ada mainan ‘tersimpan’ di dalamnya!
Apa yang anda perlu lakukan sekiranya ada mainan tersangkut dalam hidung anak? Jom, ikuti tip kami di bawah:
Tip membuang objek dari hidung anak:
- Jangan panik. Tenangkan anak dan minta mereka bernafas melalui mulut.
- Suruh anak duduk.
- Periksa hidung anak. Bolehkah anda nampak mainan yang tersangkut?
- Jika ya, minta anak hembus objek tersebut keluar.
- Jika objek tidak keluar, gunakan penyepit untuk buang objek tersebut dari hidung anak.
- Jika tidak boleh, jumpa doktor secepat mungkin.
[embed-health-tool-bmi]